Tuesday, June 28, 2022

Zahid tak jawab bila ditanya isu SD sokong cikgunya

agendaily.com
28/06/2022
Bekas Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetepikan soalan wartawan yang meminta beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkaitan Akuan Bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM).

Sebaliknya beliau mempertikaikan kedudukan Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang hanya menganggotai Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebagai ahli yang dilantik, bukan dipilih pada pemilihan parti 2018 lalu.

Terdaahulu wartawan bertanyakan mengenai pengumpulan SD Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan digerakkan oleh Zahid, sebagaimana didedahkan Tajuddin pada sidang medianya semalam.

Menjawab soalan itu, Zahid berkata: “Saya menghormati apa jua kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan. Tetapi pokoknya bahawa beliau (Tajuddin) tidak lagi menjadi ahli MT.

“Beliau dilantik… setelah membuat rayuan selepas beliau kalah (dalam pemilihan) sebagai naib presiden,” kata Zahid kepada pemberita ketika ditemui di kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini selepas prosiding perbicaraannya.

Semalam, Tajuddin berkata walaupun, pemimpin UMNO melaung-laungkan “No DAP, No Anwar” sebaliknya mereka menandatangani SD menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri tahun lalu.

Tajuddin juga mengakui beliau adalah salah seorang yang diminta menandatangani SD kerjasama Zahid dan Anwar.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau terpaksa akur pada arahan dan menandatangani SD itu selepas bermasam muka dengan Zahid kerana tidak menyokong Anwar.

Mengulas lanjut, Zahid berkata beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan terhadap Tajuddin kerana mengkritik beliau dan parti semalam.

Zahid berkata perkara seperti itu terletak di bawah kuasa lembaga disiplin parti, yang atas syornya MT UMNO akan bertindak.

“Saya juga menghormati perlembagaan parti, di mana ada lembaga tatatertib.

“Sekiranya lembaga tatatertib menerima laporan atau permintaan untuk sebarang siasatan untuk tindakan diambil, maka sebarang cadangan oleh lembaga tatatertib akan dipertimbangkan dan diputuskan oleh MT,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-