Sunday, August 14, 2022

Jangan berhenti desak isu LCS, peserta protes beritahu rakyat

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad dan Reshna Reem Ganesan
-August 14, 2022 5:22 PM

Peserta protes membawa plakad antaranya tertera ‘H20 letak jawatan’, ‘buang penyamun’, ‘RM6 bilion hilang’ dan ‘kapal hilang radar!’.

KUALA LUMPUR: Rakyat digesa jangan berhenti mendesak isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM6 bilion supaya tindakan dapat diambil terhadap pihak terlibat.

Pengasas bersama Muda, Amir Abd Hadi, yang mengetuai protes “Mana Kapal LCS” berkata menjadi hak orang ramai untuk menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu itu.

“Mereka tidak boleh mendiamkan kita. Kami akan terus memperjuangkan kebenaran dan memastikan mereka yang terlibat bertanggungjawab,” katanya di hadapan kira-kira 200 peserta yang hadir.

Amir turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan imej kapal yang tidak lengkap hasil lawatan media ke tapak pembinaan LCS di Lumut, Perak, semalam.

“Memalukan kerana kapal itu kelihatan sama seperti yang mereka tunjukkan kepada kami pada 2017,” katanya.

Amir menggesa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein meletak jawatan kerana gagal bertanggungjawab ke atas projek LCS yang mengalami kelewatan selama bertahun-tahun.
Kira-kira 200 peserta protes isu kapal tempur pesisir (LCS) berhimpun di depan pusat membeli-belah Sogo.

Sementara itu, Naib Presiden Muda, Shahrizal Denci mempersoalkan bagaimana Malaysia mahu melawan lanun di perairan negara tanpa adanya kapal perang.

“Macam mana mahu lawan lanun di Semporna kalau pakai kapal kayu,” soalnya.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyambut baik tindakan kerajaan bersetuju laporan LCS dinyahklasifikasikan serta laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) disiarkan kepada umum.

“Namun, semuanya mesti didedahkan secara terbuka. Jangan sunting sebarang nama dalam laporan itu,” katanya.

Protes yang berlangsung dalam hujan di depan pusat membeli-belah Sogo hari ini turut dihadiri gabungan mahasiswa, NGO dan wakil parti politik yang semuanya memakai baju berwarna hitam.

Mereka turut membawa replika LCS dan plakad dengan tulisan antaranya “H20 letak jawatan”, “buang penyamun”, “RM6 bilion hilang”, “kapal hilang radar!” serta “Jawab surat panglima TLDM”.

Turut kedengaran laungan “hidup rakyat” dan “mana LCS”. Peserta protes bersurai pada 3.30 petang.

Sebelum protes berlangsung, anggota polis menghalang kenderaan dari memasuki Jalan Tuanku Abdul Rahman.

LCS mendapat perhatian selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengkritik kelewatan projek itu.

PAC berkata, sehingga kini tiada satu pun LCS disiapkan dan diserah kepada tentera laut walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 iaitu dua kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

Semalam, dalam lawatan media ke Lumut, Perak, Boustead Naval Shipyard (BNS) menunjukkan terdapat lima LCS sedang dalam pembinaan dengan salah satunya sudah mencapai kemajuan 60%, manakala empat lagi mencapai kemajuan 48%, 43%, 36% dan 22%.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-