Sunday, August 14, 2022

PRU-15: Selepas skandal kapal LCS terbongkar BN tak yakin tubuh kerajaan sendirian

agendaily.com
14/08/2022
Projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai bernilai lebih RM9 bilion dimulakan kerajaan Barisan Nasional/UMNO pada 2011 tetapi sehingga 2022 sebuah pun belum siap lagi walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat tidak yakin gabungan parti itu mampu menubuhkan kerajaan sendiri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, walaupun kekal menyatakan mereka akan bertanding secara solo.

Ini berdasarkan kenyataan terbaharu beliau semalam bahawa BN bersedia berunding dengan parti lain bagi menubuhkan kerajaan jika gabungan itu gagal menubuhkan kerajaan secara sendirian.

Memetik Bernama pada Pelancaran Jentera PRU-15 BN Negeri Terengganu di Pantai Penunjuk, di Kijal, Terengganu, semalam, Timbalan Presiden UMNO itu berkata:

“Selepas pilihan raya kami tengoklah, kalau menang dan dapat tubuh sendiri kerajaan…alhamdulillah. Jika tidak, keputusan parti akan tentukan dengan siapa kami perlu berunding untuk bentuk kerajaan yang mantap.”

Kenyataan beliau menyusul tatkala BN dan UMNO sekarang ini berdepan skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberikan kepada sebuah syarikat pada 2011 ketika gabungan itu memerintah.

Sebelum ini, BN dan UMNO telah dikaitkan dengan skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hingga Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN ketika itu Datuk Seri Najib Razak diheret ke mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara dan denda setelah didapati bersalah.

Skandal 1MDB yang memalukan negara pada mata dunia dan dikaitkan dengan Najib serta kroni-kroninya telah menumbangkan BN pada PRU-14 lalu.

Najib juga sekarang ini berdepan beberapa lagi tuduhan, termasuk menyalahgunakan kuasa, ketika mengetuai BN dan UMNO memerintah negara.

Beberapa pemimpin BN yang lain, termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sekarang ini berdepan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah yang diterima ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Skandal terbaharu kapal LCS meletus apabila pada 4 Ogos lalu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan lebih RM6 bilion wang rakyat telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk projek pembinaan enam kapal itu, yang keseluruhannya bernilai lebih RM9 bilion.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata BBNS telah membelanjakan semua RM6 bilion yang diberikan kerajaan untuk pembinaan enam kapal LCS itu.

Untuk rekod, kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika BN/UMNO memerintah iaitu bermula dengan surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada BNS pada 2014.

Semua kapal itu sepatutnya diserahkan tahun ini dan 2023, tetapi sehingga kini bukan sahaja tidak diserahkan sebaliknya sebuah LCS pun belum lagi siap sedangkan RM6 bilion telah diberikan oleh kerajaan semata-mata untuk BNS melaksanakan projek itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berpendapat skandal kapal LCS bernilai berbilion-bilion ringgit itu akan menjadi ‘ribut yang sempurna’ yang boleh menjatuhkan BN pada PRU-15 akan datang.

Beliau berkata skandal terbaharu membabitkan projek bernilai RM9 bilion akan timbul dan memberi impak besar menjelang PRU-15 yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

“Mereka yang bertanggungjawab dalam dakwaan salah urus dana awam dalam skandal LCS adalah pemimpin utama UMNO serta mereka di bawah BN.

“Isu skandal LCS yang terbongkar baru-baru ini akan menarik ribut yang akan menumbang dan menjatuhkan UMNO-BN sekali lagi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang,” kata Hassan lagi.

Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, dan bekas timbalannya, Liew Chiw Tong, pula membangkitkan persoalan amat penting dalam kenyataam bersama mereka sebelum ini, iaitu sama ada Najib telah merancang dari awal lagi untuk menggunakan dana projek LCS bagi membayar hutang lapuk projek kapal ronda generasi baharu (NGPV).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-