Thursday, August 18, 2022

LANGSUNG: Pendengaran rayuan terakhir kes SRC Najib bermula

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 18, 2022 
Selepas dua hari pendengaran, Mahkamah Persekutuan akhirnya akan mendengar rayuan terakhir bekas perdana menteri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Malaysiakini akan membawa laporan secara langsung pendengaran ini.

9.56 pagi: Prosiding bermula.

9.40 pagi: Tiga anak Najib Razak, iaitu Norashman, Nooryana Najwa dan Mohd Nizar, dilihat berada di galeri awam menunggu pendengaran bermula.
Penyokong Najib mula berkumpul

9 pagi: Sekumpulan yang dipercayai sebagai penyokong Najib Razak, dengan kebanyakannya memakai baju putih, mula berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya.

Kedatangan mereka susulan undangan himpunan Enough is Enough: Justice for Najib yang mula disebarkan semalam.
Pada Isnin dan Selasa lalu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendengar dua permohonan Najib.

Permohonan pertama untuk mengemukakan bukti baru dan permohonan kedua untuk menangguhkan rayuan utama kes SRC ke tiga atau empat bulan, bagi membolehkan pasukan pembelaan baru Najib membuat persediaan.

Namun, kedua-dua permohonan itu ditolak sebulat suara oleh panel hakim, yang Najib sifatkan sebagai mengejutkan dan sangat mengecewakan.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan dalam pendengaran ini adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pasukan pembelaan Najib - yang turut merangkumi peguam veteran Hisyam Teh Poh Teik - dijangka memberikan penghujahan pertama, sebelum disusuli penghujahan balas pendakwaan yang diketuai DPP V Sithambaram.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan peguam agar ia ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.

Selain bekas perdana menteri dan menteri kewangan, dia juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-