Monday, September 26, 2022

Apa salahnya jika DAP memerintah?

malaysiakini.com
Arthur Chiong Sen Sern
Diterbitkan: Sep 26, 2022 10:02 AM
KATA ADUN l Saya sangat tertarik untuk memberikan pendapat saya mengenai kenyataan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan bahawa apa yang akan berlaku jika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung nanti.

Dia berkata bahawa DAP akan memerintah jika Pakatan Harapan menang PRU-15. Saya ingin mempersoalkan kenyataan beliau, apa salahnya jika DAP memerintah negara kita?

Dalam arena politik, sudah pasti kita berbeda pendapat dan ideologi namun kenapa perlunya menyuntik kebencian dalam kalangan rakyat tentang imej salah sebuah parti sahaja? Adakah Saravanan cuba membawa politik perkauman?
M Saravanan
Seperti parti-parti politik yang sedia ada, DAP juga merupakan parti politik yang mempunyai aliran perjuangan masing-masing demi pembangunan negara kita.

Berapa lama lagi parti-parti komponen Barisan Nasional mahu menjadikan isu ini sebagai modal bagi meracuni fikiran pengundi kita? Ini abad ke-21 dan kita harus mempraktikkan politik matang.

Jika memang niatnya jujur ingin berjuang demi negara, buktikanlah melalui gerak kerja dan pelaksanaan manifesto kepada rakyat. Tetapi jangan berfitnah antara satu sama lain dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas langsung. Jadilah ahli politik yang berwibawa.

Untuk makluman Saravanan, Pakatan Harapan tidak serupa seperti Barisan Nasional. Umno merupakan parti dominan dan juga pembuat keputusan yang utama. Malah Pakatan Harapan mempunyai Majlis Presiden PH untuk mengambil segala keputusan dan perbincangan diadakan secara kerap. Bukan seperti Majlis Tertinggi Barisan Nasional, tiada perbincangan langsung.
Untuk lebih jelas, seluruh negara maklum akan isu perebutan kerusi DUN dan Parlimen antara beberapa pemimpin Umno dan juga MIC bagi PRU-15 nanti. Ukur baju di badan sendiri. Selesaikan konflik antara parti komponen dahulu sebelum memberikan kenyataan yang tidak wajar terhadap parti politik yang lain.

Sebagai wakil rakyat dan juga rakyat biasa, saya juga berhak untuk mempersoalkan kredibiliti Saravanan sebagai seorang menteri sumber manusia. Apakah sumbangannya untuk merangsangkan industri sumber manusia di Malaysia sehingga kini?

Ratusan graduan masih lagi menganggur dan hilang pekerjaan. Apakah tindakan/inisiatif yang diambil oleh Saravanan dalam mengekang isu-isu penting seperti ini selain menyebarkan fitnah dan tohmahan terhadap parti politik yang lain?

Peluang kemenangan mana-mana gabungan parti dalam PRU-15 adalah di atas keputusan yang bakal diambil oleh rakyat Malaysia nanti. Jadi nasihat saya kepada Saravanan dan ahli-ahli politik yang lain, laksanakanlah tanggungjawab anda sebagai wakil rakyat dahulu dan rakyat sendiri akan menilai kelayakan anda untuk mewakili mereka dalam kerajaan nanti.

ARTHUR CHIONG SEN SERN adalah Adun Bukit Batu dan pengarah strategi majlis pimpinan PKR Johor.


Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-