Wednesday, September 28, 2022

UMNO Terengganu berkempen untuk calon sendiri, bukan PAS

agendaily.com
28/09/2022
UMNO Terengganu.

Jentera UMNO Terengganu hanya akan berkempen untuk memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) dan bukan PAS, kata Datuk Nawi Mohamad.

Ketua Bahagian Besut itu berkata UMNO Terengganu kekal dengan pendirian menolak kerjasama bersama PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dan tidak akan berkempen untuk memenangkan calon PAS.

“Di Terengganu, pendirian kita setakat ini tidak berubah. Kita masih dengan ketetapan yang diputuskan sebelum ini di mana UMNO Terengganu memutuskan untuk bertanding secara solo. Tiada kerjasama dengan PAS.

“Tiada istilah Muafakat Nasional (MN) di Terengganu. Sebelum ini, kita ada MN tetapi selepas PAS berbaik dengan Parti Bersatu, MN di Terengganu telah lama ‘terkubur’,” katanya dipetik portal.

Kenyataan tersebut agak berbeza dengan pendirian beberapa pemimpin PAS yang masih mahu menyambung kerjasama dengan UMNO menerusi persefahaman dalaman MN.

Jelas Nawi, pendirian tidak akan membantu kempen PAS itu diputuskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan dipersetujui sebulat suara oleh barisan kepimpinan parti negeri itu.

“Bila berkempen pada PRU nanti kita akan kempen untuk BN sahaja. Tiada lagi kerjasama dalam politik bersama PAS.

“Walaupun begitu, ia bergantung kepada keputusan di peringkat pusat. Kita akan akur sekiranya ada perubahan yang diputuskan dan dipersetujui pucuk pimpinan tertinggi UMNO,” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berkata, PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun sekali gus tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU-15.

Katanya, PAS tetap menegaskan bahawa musuh sebenar agenda penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya termasuk ‘khemah besar’.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-