Thursday, October 13, 2022

'BERSATU sedia pertimbang kerjasama dengan PEJUANG' - Muhyiddin

bharian.com.my
Oleh Noor Atiqah Sulaiman
bhnews@bh.com.my
 - Oktober 13, 2022 @ 12:12pm
Muhyiddin berbual bersama peserta Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di Putrajaya hari ini. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PUTRAJAYA: BERSATU sedia untuk mempertimbangkan mengenai jalinan kerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya parti berkenaan serius mengenai perkara itu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata setakat ini tiada pihak yang menghubunginya berhubung kerjasama itu.

"Setakat ini tiada pihak yang berhubung dengan saya mengenai soal itu, lagi pun kita sudah berada dalam fasa persiapan. Jadi, saya tidak tahu kalau ada cadangan berkenaan, sebab dulu pun kita pernah bincang, tetapi pada awal dulu lah.

"Tetapi, selepas itu tidak jadi apa-apa, jadi kita kurang pasti sama ada serius atau tidak. Kalau pihak sana (PEJUANG) serius dan berbincang dengan serius, kita sedia menimbangkan.

"Ia juga bukan hak saya sebab kita kena bawa perkara ini ke Majlis Tertinggi BERSATU sama ada perkara difikirkan perlu atau tidak, tetapi secara keseluruhannya Perikatan Nasional (PN) dah siap sedia," katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan akan mempertimbang untuk mengadakan kerjasama politik dengan parti lain yang dikira 'sebulu' dengan parti itu bagi menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menamakan parti mana yang pihaknya mahu bekerjasama dan menyatakan kesanggupan untuk mengadakan kerjasama sekiranya berkenaan ingin menyelamatkan negara daripada pemerintahan UMNO.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-