Wednesday, October 26, 2022

Rasuah: Zahid suruh Kit Siang gali kes Guan Eng terlebih dahulu

agendaily.com
26/10/2022
Pengerusi BN dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih berdepan 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang sepatutnya menyelidiki lebih mendalam dakwaan rasuah terhadap anaknya sendiri, Lim Guan Eng, terlebih dahulu jika benar-benar mahu memerangi rasuah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana kes yang membabitkan Guan Eng, yang merupakan Setiausaha Agung DAP ketika itu, tiba-tiba digugurkan beberapa bulan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pada 2018 lalu.

“Kes digugurkan di tengah-tengah perbicaraan setelah mahkamah memutuskan prima facie dan ramai saksi telah pun dipanggil,” kata Presiden UMNO dan penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu dalam catatan Facebook hari ini.

Zahid berkata demikian berikutan gesaan Kit Siang supaya PH membenarkan pengasas bersama Bebas Gerak Tawfik Ismail, yang merupakan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri kedua Malaysia Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, bertanding di Bagan Datuk di bawah gabungan itu.

Kit Siang berkata Majlis Presiden PH harus memberi jawapan yang wajar dan positif terhadap permintaan Tawfik untuk menentang Zahid, kerana ia akan menjadi cara terbaik bagi mengetengahkan tema gabungan itu pada PRU-15, iaitu memerangi rasuah.

Beliau berkata ini juga bagi memastikan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak terlepas daripada didakwa di mahkamah kerana rasuah.

Zahid berkata jika itu alasan Kit Siang untuk memerangi rasuah, ia adalah tidak jujur kepadanya.

“Alasan Lim Kit Siang konon mahu lawan rasuah, tetapi itu alasan yang sangat-sangat tidak jujur oleh beliau. Beliau sendiri tahu Presiden UMNO dikenakan pertuduhan di mahkamah semasa PH menguasai negara.

“Pertuduhan yang dikenakan ke atas saya sejurus PH menang PRU-14 dan Tommy Thomas dilantik Peguam Negara,” kata Zahid yang masih menghadapi 87 pertuduhan walaupun, mahkamah telah memutuskan dia dibebaskan daripada 40 pertuduhan.

Pada 23 September lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), namun pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan.

Zahid juga sedang menunggu keputusan perbicaraan kes melibatkan Yayasan Akalbudi, di mana keputusan perbicaraan akan diketahui awal Disember depan, setelah PRU-15 diadakan pada 19 November.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-