Oleh Faris Fuad
faris.fuad@bh.com.my
- April 4, 2023 @ 5:51pm
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, mempersoalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak mengarahkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan atau membuat pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia susulan Perdana Menteri sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini, didakwa amat lantang bersuara hingga menyatakan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan sebagai pemimpin yang perlu menjawab isu Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Menerusi penyataan pembelaan difailkan terhadap saman oleh Perdana Menteri, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, Anwar menyatakan Ahmad Zahid bersubahat dan bersekongkol dalam perolehan LCS, selain menerima rasuah itu dirasakannya (Ahmad Zahid) lebih penting dari negara.
"Satu konklusi jelas bahawa kerajaan plaintif (Anwar) akan cuba melindungi atau melengahkan penyelesaian isu membabitkan sekutu politik terkini, namun akan bingkas dan tegas terhadap seteru politik terutama Perikatan Nasional (PN).
"Maka ini yang dimaksudkan oleh defendan (Awang) sebagai strategi dan kaedah mengugut yang secara jelas bukannya merujuk kepada satu perlakuan jenayah, namun adalah strategi dan kaedah politik yang digunakan terutama dalam politik sebenar.
"Oleh demikian, kenyataan defendan adalah pandangan peribadi dan politik berdasarkan fakta yang sebenar," katanya dalam penyataan pembelaan difailkan firma guaman mewakilinya, Tetuan Tengku Amalin & Faizi di Mahkamah Tinggi, semalam.
Pada 3 Mac lalu, Anwar, 76, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memfailkan saman menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.
Anwar mendakwa, bekas timbalan menteri itu mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Awang membuat kenyataan berhubung pendakwaan terpilih itu ketika ditemui media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.
Dengan merujuk pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, Awang dilaporkan mendakwa, ia adalah permulaan daripada tindakan Perdana Menteri.
Awang berkata, pertuduhan ke atas Wan Saiful pada 21 Februari lalu, hanya kira-kira tiga bulan daripada tarikh Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Beliau berkata, tindakan sepantas itu yang dimaksudkannya sebagai permulaan Perdana Menteri ke-10.
"Kontroversi paling besar dalam sejarah pentadbiran Dr Mahathir adalah Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987, membabitkan penahanan ratusan orang termasuk pemimpin politik seperti Lim Kit Siang (DAP), mendiang Karpal Singh (DAP), (Datuk Dr) Ibrahim Ali (UMNO) dan Halim Arsyat (PAS).
"Operasi Lalang ini lanjutan daripada bantahan Dong Jiao Zong terhadap guru tiada kelayakan bahasa Cina dihantar oleh Kementerian Pendidikan (yang dipimpin Anwar ketika itu) ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.
"Jika dibandingkan tindakan kontroversi kerajaan Dr Mahathir dengan tindakan kontroversi kerajaan plaintif ketika ini jelas menunjukkan dari jangka masa, kerajaan Dr Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya enam tahun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.
"Pertuduhan terhadap seteru politik dibuat plaintif pula hanya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.
Awang menegaskan dia tidak angkuh, namun hanya menyatakan pandangan peribadi dan politik berdasarkan fakta sebenar.
"Sememangnya plaintif memfailkan banyak saman atas isu politik. Gelaran 'bapa saman negara' adalah jolokan 'in jest' (gurauan) kepada seseorang yang memulakan satu trend baharu iaitu dalam kes ini menyaman pengkritik politik plaintif," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.