Showing posts with label Kapal Tempur Persisir (LCS). Show all posts
Showing posts with label Kapal Tempur Persisir (LCS). Show all posts

Tuesday, April 4, 2023

'Kenapa Anwar tak arah polis, SPRM siasat Zahid isu LCS'

bharian.com.my
Oleh Faris Fuad 
faris.fuad@bh.com.my
- April 4, 2023 @ 5:51pm
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, mempersoalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak mengarahkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan atau membuat pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia susulan Perdana Menteri sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini, didakwa amat lantang bersuara hingga menyatakan Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Pertahanan sebagai pemimpin yang perlu menjawab isu Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Menerusi penyataan pembelaan difailkan terhadap saman oleh Perdana Menteri, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, Anwar menyatakan Ahmad Zahid bersubahat dan bersekongkol dalam perolehan LCS, selain menerima rasuah itu dirasakannya (Ahmad Zahid) lebih penting dari negara.

"Satu konklusi jelas bahawa kerajaan plaintif (Anwar) akan cuba melindungi atau melengahkan penyelesaian isu membabitkan sekutu politik terkini, namun akan bingkas dan tegas terhadap seteru politik terutama Perikatan Nasional (PN).

"Maka ini yang dimaksudkan oleh defendan (Awang) sebagai strategi dan kaedah mengugut yang secara jelas bukannya merujuk kepada satu perlakuan jenayah, namun adalah strategi dan kaedah politik yang digunakan terutama dalam politik sebenar.

"Oleh demikian, kenyataan defendan adalah pandangan peribadi dan politik berdasarkan fakta yang sebenar," katanya dalam penyataan pembelaan difailkan firma guaman mewakilinya, Tetuan Tengku Amalin & Faizi di Mahkamah Tinggi, semalam.

Pada 3 Mac lalu, Anwar, 76, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memfailkan saman menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.

Anwar mendakwa, bekas timbalan menteri itu mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Awang membuat kenyataan berhubung pendakwaan terpilih itu ketika ditemui media di lobi Parlimen pada 21 Februari lalu.

Dengan merujuk pendakwaan terhadap bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta, Awang dilaporkan mendakwa, ia adalah permulaan daripada tindakan Perdana Menteri.

Awang berkata, pertuduhan ke atas Wan Saiful pada 21 Februari lalu, hanya kira-kira tiga bulan daripada tarikh Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Beliau berkata, tindakan sepantas itu yang dimaksudkannya sebagai permulaan Perdana Menteri ke-10.

"Kontroversi paling besar dalam sejarah pentadbiran Dr Mahathir adalah Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987, membabitkan penahanan ratusan orang termasuk pemimpin politik seperti Lim Kit Siang (DAP), mendiang Karpal Singh (DAP), (Datuk Dr) Ibrahim Ali (UMNO) dan Halim Arsyat (PAS).

"Operasi Lalang ini lanjutan daripada bantahan Dong Jiao Zong terhadap guru tiada kelayakan bahasa Cina dihantar oleh Kementerian Pendidikan (yang dipimpin Anwar ketika itu) ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.

"Jika dibandingkan tindakan kontroversi kerajaan Dr Mahathir dengan tindakan kontroversi kerajaan plaintif ketika ini jelas menunjukkan dari jangka masa, kerajaan Dr Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya enam tahun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Pertuduhan terhadap seteru politik dibuat plaintif pula hanya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri," katanya.

Awang menegaskan dia tidak angkuh, namun hanya menyatakan pandangan peribadi dan politik berdasarkan fakta sebenar.

"Sememangnya plaintif memfailkan banyak saman atas isu politik. Gelaran 'bapa saman negara' adalah jolokan 'in jest' (gurauan) kepada seseorang yang memulakan satu trend baharu iaitu dalam kes ini menyaman pengkritik politik plaintif," katanya.

Thursday, March 16, 2023

Lebih ramai individu termasuk kenamaan akan dipanggil bantu siasatan kes LCS

bharian.com.my
Oleh Izz Laily Hussein
bhnews@bh.com.my
Mac 16, 2023 @ 12:41pm

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki beramah mesra bersama pegawai selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Kompleks SPRM Negeri Johor, Tampoi. - Foto NUR AISYAH MAZALAN

JOHOR BAHRU:
Lebih ramai individu bakal dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi diambil keterangan berhubung siasatan kes pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil mana-mana individu yang disyaki terbabit termasuk orang kenamaan.

Beliau turut menegaskan bahawa SPRM tidak akan memberi pengecualian dan perlindungan kepada mana-mana pihak.

"Kita mendapat maklumat daripada pegawai penyiasat bahawa ramai lagi saksi-saksi akan dipanggil untuk diambil keterangan dan keterangan itu bukan sahaja di dalam negara tetapi juga membabitkan dari luar negara.

"Sesiapa sahaja baik orang kenamaan, atau sesiapa yang terbabit semuanya akan dipanggil bantu siasatan," katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 26 Bil 1/2020 (Penolong Penguasa P29 di Kompleks SPRM Negeri Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa siasatan berhubung isu pembinaan LCS itu perlu diteruskan.

Anwar berkata, pendakwaan berhubung isu pembinaan LCS pada peringkat awal yang dijalankan sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan, malah mendakwa pendakwaan sebelum ini juga tidak melibatkan tindakan kepada orang-orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat dalam isu perolehan LCS tersebut.

Sehubungan itu, Perdana Menteri sudah menyatakan perkara berkenaan kepada SPRM dan dipersetujui oleh mereka akan ada pendakwaan peringkat kedua.

"Namun, itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih," kata Anwar.

Mengulas lanjut, Azam memaklumkan, siasatan kes itu sebenarnya masih lagi dijalankan pihaknya bagi membuktikan bagaimana berlaku kehilangan wang begitu besar dalam kes LCS.

"Siasatan kes ini ke arah untuk membuktikan bagaimana ia berlaku dan bagaimana kehilangan wang begitu besar berlaku, jadi beri masa kita untuk siasat dan selesaikan kes ini," katanya.

Pada masa sama, Azam turut memaklumkan perkembangan membabitkan kes Jana Wibawa masih lagi berjalan.

"(Kes Jana Wibawa) masih ade lagi, masih teruskan siasatan. Yang dah dituduh, dituduhlah, tetapi masih ada lagi satu dua fail yang masih kita jalankan siasatan," katanya.

Wednesday, February 22, 2023

Menteri: K’jaan serah pada Jabatan Peguam Negara isu subkontraktor LCS

malaysiakini.com
Yasmin Ramlan, Alyaa Alhadjri & Isabelle Leong
Diterbitkan: Feb 22, 2023 8:37 PM
Kerajaan akan menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menguruskan isu subkontraktor (pihak ketiga) yang melibatkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), kata Menteri Pertahanan Mohamad Hasan hari ini.

Ini kerana menurutnya, terdapat kaveat dari “pihak ketiga” - Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) - sebelum bersetuju menandatangani perjanjian penyelesaian antarabangsa supaya mereka tidak dipersalahkan.

Menurutnya, ia merupakan salah satu syarat untuk meneruskan projek LCS - seperti yang dimuktamadkan oleh kerajaan terdahulu.

“ContraVest (CAD) tidak akan memainkan peranan tapi ada satu kaveat sebelum mereka bersetuju untuk menandatangani international settlement agreement untuk mereka ditiadakan, mereka perlu satu surat untuk indemniti (perlindungan) bahawa mereka tidak dipersalahkan.

“Jadi itu merupakan satu isu yang kita (kerajaan) amat keberatan untuk menandatanganinya dan kita akan merujuk kepada pihak peguam negara agar perkara ini biarlah Jabatan Peguam Negara menguruskannya.

“Tapi kami di peringkat kementerian tak bersetuju indemniti ini dibuat. Bagi kami siapa yang tersabit, tersabitlah bukan peranan Kementerian Pertahanan untuk melepaskan tanggungjawab sesiapa,” kata Mohamad ketika ucapan penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad berkata satu lagi bayaran perjanjian penyelesaian antarabangsa telah dipersetujui oleh kerajaan terdahulu.

“Dan kita telah buat audit memang betul, this is all payment due to them (semua bayaran ini perlu dibayar kepada mereka),” katanya.

Dia berkata demikian ketika Radzi Jidin (PN-Putrajaya) meminta penjelasan Mohamad sama ada kerajaan boleh memberikan jaminan supaya CAD tidak lagi terlibat dalam rangka pembelian peralatan LCS, memandangkan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) merupakan pemegang saham utama projek tersebut.

Mohamad berkata, syarat ditetapkan melalui kerajaan terdahulu untuk meneruskan perolehan LCS adalah dengan menggunakan pihak ketiga.

Katanya, dalam menggugurkan perkhidmatan pihak ketiga itu, mereka perlu menandatangani perjanjian penyelesaian antarabangsa terlebih dulu.

Skandal LCS terbongkar tahun lalu apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion.

Laporan PAC itu mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), namun tiada kapal diterima setakat ini.

Wednesday, February 15, 2023

Apa jadi siasatan projek LCS, soal Ahli Parlimen PN

freemalaysiatoday.com
'Ainin Wan Salleh 
- 15 Feb 2023, 8:41pm

Ikmal Hisham Abdul Aziz menggesa kerajaan memberikan maklumat terkini mengenai siasatan SPRM berhubung isu itu.
Kementerian pertahanan digesa menjelaskan mengapa Malaysia hanya akan menerima lima unit LCS, dan sebab keputusan itu.

KUALA LUMPUR: Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) menggesa kerajaan memberikan maklumat terkini mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

“Pihak Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga telah melengkapkan siasatan mereka dan juga telah dibawa kepada pihak SPRM, dan juga sebab itu kita nak tahu sekarang ini apa jadi dengan siasatan tersebut.

“Apakah keputusannya? Siapakah lagi yang hendak kita dakwa? Kita nak tahu, kita tak mahu isu ini ‘swept under the carpet’,” katanya semasa perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Bekas timbalan menteri pertahanan itu menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang bertanya sama ada beliau bersetuju supaya kes terhadap mereka yang terlibat disegerakan.

Pada Ogos, FMT melaporkan bahawa SPRM telah mengesyorkan beberapa individu yang dikaitkan dengan projek LCS didakwa di mahkamah.

SPRM berkata ia telah melengkapkan beberapa kertas siasatan ke atas individu yang terlibat dalam projek kontroversi itu dan telah merujuknya kepada Jabatan Peguam Negara, dan berikutan itu menantikan arahan lanjut.

Ikmal juga meminta kementerian pertahanan menjelaskan mengapa Malaysia hanya akan menerima lima dan bukannya enam unit LCS, serta sebab di sebalik keputusan itu.

Beliau berkata unit perancangan ekonomi dan kementerian kewangan perlu melihat keperluan peruntukan bajet tambahan untuk mendapatkan unit LCS baharu bagi memenuhi keperluan tentera laut.

Pada 30 Jan, Bernama melaporkan bahawa tentera laut ditetapkan untuk menerima lima unit LCS berbanding enam.

Panglima tentera laut yang baharu, Abdul Rahman Ayob, berkata keputusan itu dibuat susulan perbincangan untuk meneruskan projek kontroversi itu.

Wednesday, August 10, 2022

LCS: Kerajaan tak akan kompromi penyelewengan wang rakyat - PM

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 10, 2022 6:59 PM
Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang penyelewengan yang membabitkan wang rakyat khususnya membabitkan isu pembinaan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan telah mengarahkan pihak berkuasa supaya menyegerakan siasatan dan mahu pihak bertanggungjawab dalam penyelewengan LCS dibawa ke muka pengadilan.

"Kerajaan telus tidak mahu melindungi apa-apa daripada tatapan umum mengenai isu LCS.

“Kerajaan tak akan kompromi isu berkaitan wang rakyat.

"Kita akan selesaikan siasatan, siapa yang bertanggungjawab kita akan ambil tindakan.

"Tiada siapa akan terlepas daripada tindakan pihak berkuasa," katanya kepada media di Petaling Jaya, hari ini.


Ismail Sabri berkata demikian selepas merasmikan pembukaan kejohanan Muay Thai @ Surf Beach, Sunway Lagoon.

Terdahulu dalam kenyataannya hari ini, Ismail Sabri berkata kerajaan mencadangkan supaya Laporan audit Forensik Projek LCS pada 2019 dinyahklasifikasikan.

Bagaimanapun, kata perdana menteri proses itu perlu mendapat nasihat Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

“Keputusan jemaah menteri hari ini tidak akan menggangu proses mobilisasi bawah pelan pemulihan LCS yang diputuskan jemaah menteri pada 20 April 2022,” katanya dalam kenyataan itu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-