Monday, July 17, 2023

Anwar pertahan Zahid ‘berprinsip’, sifatkan DAP ‘sebahagian keluarga kami’

freemalaysiatoday.com
Dineskumar Ragu 
17 Jul 2023

Perdana menteri berkata, pemimpin PN sangat benci Zahid Hamidi kerana berpegang kepada prinsipnya dan enggan bekerjasama dengan mereka.

Anwar Ibrahim berucap dalam Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi. (Gambar Bernama)

SEBERANG JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempertahankan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi “berprinsip” kerana memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP, yang disifatkannya “sebahagian daripada keluarga kami”.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) sangat benci Zahid bukan kerana kes mahkamahnya, tetapi disebabkan beliau berani membuat keputusan dan berpegang teguh kepada prinsipnya.

“(Beliau) Muak dengan janji palsu Bersatu dan PAS dan mengatakan sampai ketikanya kita berpakat dengan orang yang sama prinsipnya mempertahankan tatakelola, bela nasib rakyat dan jaga Perlembagaan,” katannya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

“Itu sebab mereka benci sangat dengan Zahid dan saya nak orang Pulau Pinang tahu keberanian dia mengambil risiko kerana ada kelompok masih tidak senang (dengannya), itu yang menyebabkan kita punyai kerajaan stabil hari ini. Saya terima kasih dan ‘salute’ pada Zahid.”


Pengerusi PH itu turut mengimbau beliau dihukum ahli PAS kerana bersekutu dengan DAP dan bagaimana Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek didakwa dengan gelaran “barua DAP”dalam sebuah majlis di Relau.

“(Ahli) DAP adalah manusia juga. Jangan hina mereka. Kita boleh bertengkar atas perbezaan dalam beberapa perkara. Tetapi (PN) hina DAP dengan gelarnya komunis, (sedangkan ia) okey dengan Gerakan yang menentang hudud dan tulisan Jawi.

“Saya nak beritahu (Setiausaha Agung DAP) Loke Siew Fook, anda sebahagian keluarga kami. Jangan risau, jangan minta maaf. Ini (Malaysia) tanah anda, anda boleh pergi mana-mana kampung, bandar dan kami akan terus sokong anda setiap kali calon DAP bertanding.”

Katanya, tiada menteri Kabinetnya dikaitkan dengan kes rasuah, lapan bulan selepas pembentukan kerajaan perpaduan yang merupakan “rekod dalam sejarah negara”.

Jentera perpaduan Pulau Pinang

Terdahulu, Anwar melancarkan jentera perpaduan PH-BN yang akan bertanding dalam PRN Pulau Pinang sebagai satu blok.

Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan akan mengadakan PRN pada 12 Ogos ini.

Jumlah kerusi yang akan ditandingi PH dan BN belum dimuktamadkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-