Monday, July 17, 2023

PM kata Kabinetnya bersih, adakah kes rasuah skala besar akan digugurkan?

agendaily.com
17/07/2023
Syed Saddiq melahirkan keraguan terhadap kenyataan Anwar yang menegaskan Kabinetnya bersih tidak terpalit rasuah.

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada menteri dalam Kabinetnya terpalit rasuah seolah-olah memberi isyarat kes membabitkan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan digugurkan.

Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa kenyataan itu memberi persepsi salah terutamanya ketika Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada di bawah kuasanya.

“Malah perdana menteri ini juga melantik Peguam Negara serta Ketua Pesuruhjaya SPRM yang secara tidak langsung menampakkan ia mengawal selia badan berkenaan seterusnya dapat memastikan kes yang sedang berjalan boleh digugurkan.

“Sebagai Presiden MUDA saya tak lihat kenyataan itu sebagai satu perkara yang kecil bahkan banyak rakyat adukan, adakah selepas pilihan raya negeri (PRN) ini kes rasuah skala besar akan digugurkan?

“Bahkan keraguan itu memuncak apabila Anwar di khalayak umum Pulau Pinang, memaklumkan SPRM sahkan bahawa tiada mana-mana menterinya terpalit skandal rasuah,” katanya kepada pemberita sebelum mengumumkan nama calon MUDA sesi kedua bagi PRN di enam negeri, lapor BH, hari ini.

Sebelum ini, Anwar ketika Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Pulau Pinang memaklumkan menteri yang dilantik di bawah kerajaan perpaduan kekal bersih dan bebas daripada rasuah.

Katanya, sejak lapan bulan menerajui kerajaan beliau turut mengarahkan SPRM untuk memeriksa semua menteri dan tiada satu pun ada kes rasuah membabitkan Kabinetnya.

Pada 10 April lalu, media melaporkan Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO selesai membela diri terhadap 47 pertuduhan membabitkan 12 kes pecah amanah, lapan kes rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya pada Ogos tahun lalu.

Pada masa sama, Ahmad Zahid dilapor mengemukakan representasi kepada Peguam Negara dengan menyertakan fakta dan bukti baharu bagi menggugurkan 47 tuduhan kes yang dihadapinya itu.

Sementara itu, Syed Saddiq mengakui beliau juga menjadi salah seorang individu yang mempunyai kes mahkamah namun tidak sekali pun cuba menangguhkannya atau merayu kepada kerajaan supaya menggugurkan kes terbabit.

“Saya tidak gunakan mereka untuk mempengaruhi kes sebab bagi saya berani kerana benar dan tidak takut dengan sistem keadilan sedia ada. Prinsip MUDA jelas untuk mempertahankan perundangan di negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-