Saturday, August 26, 2023

Dengar desakan akar umbi, lepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO-Ismail Sabri

satuberita.my
By Admin
-August 26, 2023
Dengar desakan akar umbi, lepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO-Ismail Sabri
BEKAS Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kepercayaannya terhadap keberanian kepimpinan Pemuda UMNO hari ini untuk membawa parti itu bangkit semula.

“Pemuda UMNO sejak sekian lama terkenal dengan sifat berani dan tidak takut menyatakan pendirian atas kepentingan parti serta rakyat.

“Pemuda juga mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan idealisme UMNO tidak tercemar dan sentiasa diminati anak muda.

“Saya percaya dengan keberanian kepemimpinan Pemuda hari ini mampu untuk membawa parti bangkit kembali,” katanya menerusi Facebook beliau sempena ulang tahun ke-74 sayap UMNO itu.

Ismail yang juga bekas Perdana Menteri turut mengimbas perjalanan politiknya bermula di Pemuda hingga memimpin Putrajaya.

“Pemuda UMNO mengajar tentang idealisme dan membina jati diri untuk melangkah satu demi satu anak tangga sehingga ke puncak tertinggi, menerajui pentadbiran negara,” katanya memetik laporan FMT.

Beliau turut menyertakan gambar barisan pemimpin Pemuda UMNO diketuai Dr. Akmal Saleh dalam hantaran itu.

Pada 17 Ogos lalu, Akmal memberitahu kepimpinan parti agar ‘membuat perubahan’ atau berisiko dikuburkan, berikutan kekalahan teruk parti itu pada PRN 12 Ogos lalu.

Pada pilihan raya itu, UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi, 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

Pada PRU15, UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Susulan itu timbul desakan supaya Zahid meletak jawatan presiden antaranya oleh bekas Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ismail pula menegaskan kekalahan parti itu menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu kepada UMNo ‘bertambah marak seperti api membakar jerami’ termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

Justeru, beliau menyeru pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan UMNO susulan kekalahan teruk itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-