Sunday, August 13, 2023

‘Gelombang Hijau’ terus landa Semenanjung

freemalaysiatoday.com
Robin Augustin
 - 13 Aug 2023, 1:40am

PN berjaya mengukuhkan kedudukan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta meluaskan pengaruh di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Umno terus mencatatkan prestasi buruk pada pilihan raya, manakala PAS dan Bersatu memperoleh keuntungan di kerusi majoriti Melayu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: “Gelombang Hijau” yang mencetuskan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di 74 kerusi Parlimen pada PRU meneruskan momentumnya pada PRN semalam.

Bersatu dan PAS berjaya mengukuhkan kedudukan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, melemahkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), terutamanya Umno yang menjadi tonggak BN.

Berdasarkan keputusan rasmi dan tidak rasmi setakat ini, jelas bahawa “Gelombang Hijau” semakin kuat apabila turut melanda negeri pantai barat Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Walaupun gabungan perpaduan berjaya mengekalkan kuasa di ketiga-tiga negeri itu, kedudukan PN mengukuh, khususnya di kawasan Melayu di Pulau Pinang dan Selangor, yang selama bertahun-tahun dikuasai oleh PH dan BN.

Saguhati bagi PH-BN sebahagian besarnya adalah apabila PN diketepikan di Negeri Sembilan, hanya memenangi tiga kerusi. Bagaimanapun, gabungan itu memberikan persaingan hebat, terutamanya terhadap calon Umno, di kerusi-kerusi lain.

Sebelum pilihan raya, beberapa pemimpin PN, termasuk Presiden PAS Hadi Awang, meramalkan bahawa kemenangan bagi pakatan pembangkang boleh membawa kepada pertukaran kerajaan persekutuan.

Walaupun pemimpin PH dan BN menyangkal dakwaan itu, pemerhati politik menjangkakan timbul akibat daripada prestasi buruk Umno, yang akan dirasai dalam parti itu, dan sebagai lanjutan, juga dalam gabungan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, memandangkan Anwar mempunyai majoriti di Parlimen, wujudnya undang-undang anti-lompat dan hakikat bahawa Zahid Hamidi menerajui Umno dan BN, sebarang perubahan di peringkat persekutuan mungkin tidak berlaku dalam sekelip mata.

Prestasi kukuh PN pada PRN kali ini akan menyembunyikan isu-isu yang dihadapi gabungan itu sebelum pilihan raya, termasuk dakwaan wujudnya “kartel” dalam Bersatu, rasa tidak senang terhadap pencalonan, dan kekurangan sokongan daripada golongan bukan Melayu.

Mungkin salah satu isu terbesar yang perlu dihadapinya sebelum PRU akan datang adalah kononnya PAS lebih dominan daripada Bersatu, seperti yang didakwa oleh bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Faiz Na’aman.

PAS mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen berbanding rakan kongsinya itu, selain bertapak lebih kukuh di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagaimana keputusan pilihan raya akan mengubah dinamik dalam PN masih belum dapat dilihat, tetapi buat masa ini, pakatan pembangkang mampu membelakangkan isu dalaman mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-