Sunday, August 6, 2023

Jangan pilih pemimpin 'loqlaq' - Nurul Izzah

hmetro.com.my
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my
NURUL Izzah (tengah) ketika berucap pada Sembang Santai Bersama Orang Muda di Warung Bangau Sawah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman

Langkawi: Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa pengundi memilih calon yang dapat mewakili suara rakyat, bukan yang hanya tahu bercakap kasar dan bersikap 'loqlaq'.

Naib Presiden PKR itu berkata, pilihan raya juga bukan pertandingan mencari pemimpin 'penghibur' di aplikasi sosial TikTok.

"Pilihan raya sekarang cukup mencabar, khususnya zaman kemunculan (media sosial) TikTok berleluasa ini, kita seolah-olah diheret (ke pertandingan) siapa lagi banyak (cakap) kasar dan 'loqlaq'.

"Sepatutnya, kita cari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mahu kerja, cari pelaburan dan memajukan ekonomi," katanya ketika berucap pada Sembang Santai Bersama Orang Muda di Warung bangau Sawah di sini, malam tadi.

Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat, Hisham Suhaily Othman dan calon DUN Kuah daripada PKR, Ahmad Fauzi Chik.

Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah berkata, kesungguhan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk menang di negeri 'Jelapang Padi' bertujuan menjaga kebajikan rakyat.

"Kedah perlu dipimpin kerajaan yang seragam dan serasi dengan (kerajaan) Pusat supaya memudahkan pelaksanaan segala projek dirancang kerana sesetengahnya perlu sokongan kerajaan Pusat.

"Undi wakil rakyat yang boleh membina dan memelihara dengan baik jambatan dengan kerajaan Persekutuan, jangan sesekali memberi ruang kepada individu yang mewakili parti yang tidak sehaluan," katanya.

Disiarkan pada: Ogos 6, 2023

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-