Sunday, August 6, 2023

PRN uji penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan

bharian.com.my
Oleh Prof Datuk Dr Jayum Jawan 
bhrencana@bh.com.my
- Ogos 6, 2023 @ 10:00am
 Foto hiasan

Apa ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan apa kaitannya dengan perjalanan politik Malaysia. Hakikatnya, PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini amat penting kerana beberapa faktor.

l Pertama, PRN akan menguji kelangsungan Kerajaan Perpaduan di negeri terbabit dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

l Kedua, pola pengundian orang Melayu di Semenanjung akan menjadi lebih nyata pada PRN nanti selepas berlaku kalih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) khasnya kepada Perikatan Nasional (PN) dianggotai BERSATU, PAS dan GERAKAN.

Persoalan berbangkit ialah sama ada pola itu akan kekal seperti PRU15 atau berubah. Sekiranya berubah, siapakah akan mendapat kelebihan daripada sokongan Melayu selepas PRN kelak.

l Ketiga, apakah peluang UMNO untuk bangkit semula sebagai parti utama Melayu seperti PRU atau PRN sebelum ini di bawah kepemimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

l Keempat, sejauh manakah 'gelombang hijau' atau PAS dapat bertahan atau mampu mengembangkan tarikannya ke negeri Melayu lain seperti Kedah yang mempunyai penduduk Melayu majoriti, lebih kurang 75 peratus daripada populasinya.

Sebelum ini, PAS mampu menguasai Kelantan dan Terengganu apabila parti berkenaan menang dengan majoriti sendiri. Di Kedah, PAS memimpin dengan sokongan BERSATU selepas menjadi parti memenangi kerusi DUN dengan jumlah terbesar pada PRU14.

PH-BN kini masing-masing menguasai Selangor dan Negeri Sembilan. Berbeza dengan PAS, PH-BN tidak menguasai negeri terbabit dengan majoriti sendiri, tetapi menerusi lambakan sokongan kerusi rakan komponen mereka.

Di Selangor PKR berkuasa kerana sokongan DAP dan di Negeri Sembilan, PH semakin utuh selepas UMNO bekerjasama dengan mereka. Justeru, beberapa persoalan boleh terjawab berdasarkan persediaan parti bertanding dalam PRN tanpa perlu menunggu keputusan PRN nanti.

Pertama, UMNO dilihat tidak mampu untuk bangkit semula sebagai parti dominan Melayu seperti sebelum PRU 2018. UMNO perlu menerima sejumlah kerusi diperuntukkan kepadanya untuk ditandingi pada PRN ini. Maka, UMNO dilihat hanya mampu bertahan kuasa di Negeri Sembilan dan tidak ada peluang langsung untuk bangkit semula di Selangor dan Kedah.

Di Selangor, jumlah kerusi ditandingi UMNO tidak mencukupi untuk mengembalikannya menawan semula Selangor seandainya parti mampu menang semua 12 kerusi ditandinginya. Soalnya, mampukah UMNO.

Oleh itu, UMNO tidak berpeluang mencalonkan pemimpin mereka sebagai Menteri Besar kelak. Begitu juga negeri lain kerana pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan memihak kepada jumlah kerusi sedia ada dimenangi parti asal dan perlu dipertahankan pada PRN nanti.

UMNO perlu tanding solo

Justeru, sekiranya UMNO mahu bangkit semula dan menguji kebolehan Ahmad Zahid untuk membawa kembali keagungan lampau UMNO, parti itu perlu keluar daripada blok Kerajaan Perpaduan dan bertanding atas nama parti sendiri, berlawan sendiri di semua kerusi DUN dalam enam negeri terbabit.

Di Selangor, kemungkinan PKR kembali semula memerintah adalah cerah dengan sokongan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Umumnya, DAP dijangka akan kekal menguasai DUN dimenangi pada PRU14 dan sebelumnya. Keadaan ini juga bakal berlaku di Pulau Penang.

Namun, peluang untuk PH-BN menawan Terengganu, Kelantan bahkan di Kedah juga amat tipis. BERSATU dan PAS memiliki kekuatan secara bersama untuk menarik sokongan tidak kurang separuh pengundi Melayu.

Tidak dapat dinafikan, sebahagian besar masyarakat Melayu bersama BERSATU dan PAS ketika ini. PRN nanti akan menentukan sama ada sokongan ini berkekalan atau sebaliknya.

Keputusan PRN nanti bukan sahaja penting untuk blok parti mana sama ada PH-BN atau PN mampu menubuhkan kerajaan negeri, bahkan ia akan menentukan keutuhan dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan dan kepemimpinan Anwar.

Sekiranya Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang kekal di bawah PH-BN, maka Kerajaan Perpaduan akan terus hidup sehingga tamat tempoh penggal empat tahun lagi. Gagal mempertahankan satu atau dua negeri terbabit, maka kelangsungan Kerajaan Perpaduan akan 'dihitung hari' sahaja.

Sekiranya, PH-BN mampu menawan Kedah, ia sudah cukup menjadi tanda sokongan pengundi Melayu kepada Kerajaan Perpaduan serta Anwar memihak kepada mereka.

Keputusan PRN jadi petunjuk

Keputusan PRN nanti bakal menjadi petunjuk pengundi Melayu nanti mengundi bukan untuk calon ditampilkan PKR, UMNO, BERSATU dan PAS sebaliknya mengundi untuk Anwar, Ahmad Zahid, Muhyiddin atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS.

Boleh dikatakan PRN kali ini menunjukkan calon muka baharu ditampilkan parti tidak memiliki tarikan, tiada rekod untuk dijadikan panduan bagi menarik pengundi serta tiada pengalaman menunjukkan mereka layak menjadi wakil rakyat atau EXCO negeri.

Oleh itu, menang atau kalah calon muka baharu akan menjadi pedoman bahawa pengundi menerima atau menolak Anwar, Ahmad Zahid, Muhyiddin atau Abdul Hadi.

Pengundi dijangka tidak akan peduli, menilai atau memberi peluang kepada orang baharu seperti dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang masih tiada pengalaman dan rekod untuk dinilai, sama ada berasaskan parti atau pemimpin utama parti berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-