Monday, August 21, 2023

PN ‘untung’ kalau Zahid terus kekal Presiden UMNO

ismaweb.net
Siti Hafidah

Masa depan UMNO makin malap, sekarang terpulang pada keputusan ahli
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Safar 1445H, Isnin – Selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, UMNO masih mengekalkan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Presiden, bahkan tiada sebarang perubahan kepimpinan dilakukan untuk menambah baik parti.

Atas sebab itu, UMNO perlu bersedia berdepan ‘landslide’ sekiranya parti masih mengekalkan Ahmad Zahid sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, masa depan UMNO dilihat agak malap sekiranya Ahmad Zahid terus memimpin UMNO.

Perkara itu bukan baharu malah diakui oleh semua pihak, justeru terpulang kepada ahli UMNO dan pimpinan pertengahan sama ada mahu mengekalkan pimpinan sedia ada atau bersedia menghadapi kekalahan pada pilihan raya akan datang.

“Ataupun jika mereka mahukan pemulihan, perlu kepada pertukaran kepimpinan UMNO,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan segelintir pihak supaya Ahmad Zahid meletak jawatan Presiden UMNO berikutan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

Keputusan PRN di enam negeri itu jelas menunjukkan isyarat penolakan rakyat terutama pengundi Melayu yang masih tidak boleh menerima blok gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN).

Isyarat itu jelas diterjemahkan apabila BN-UMNO hanya memperolehi 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingi.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berkata, bagi pihaknya beliau berharap Ahmad Zahid kekal sebagai Presiden UMNO sehingga PRU16 kerana secara langsung menjadi ‘bagasi’ kepada parti itu.

Walaupun meletakkan jawatan, beliau yakin tindakan itu memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).

“Ini kerana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam kerajaan. Boleh jadi rejim UMNO yang baharu menggantikan Zahid akan membuat review terhadap kerjasama dengan PH.

“Ia sesuatu yang PN boleh dapat faedahnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-