Saturday, August 26, 2023

'UMNO jadi mangsa politik ketaksuban yang ekstrim' - Puad Zarkashi

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi 
bhnews@bh.com.my
- Ogos 26, 2023
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: UMNO menjadi mangsa kepada ketaksuban politik yang ekstrim sehingga mengakibatkan parti itu semakin hilang sokongan Melayu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata UMNO sedar dan akur ia semakin hilang sokongan rakyat dan orang Melayu dan tidak pernah menafikannya.

"Tidak timbul soal 'denial syndrome' (sindrom penafian), sebenarnya Malaysia berhadapan dengan politik ketaksuban ekstrim. UMNO mangsa wabak ini.

"Selagi ini tidak berubah bukan saja UMNO, negara juga terancam," katanya dalam kenyataan di Facebook bagi mengulas analisis Ilham Centre.

Media semalam melaporkan, analisis Ilham Centre menunjukkan penyokong Barisan Nasional (BN) mengambil sikap berkecuali atau enggan mengundi kerana tidak berpuas hati dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, beberapa pihak termasuk Ilham Center hanya fokus kepada alasan tertentu dalam menentukan analisisnya.

"Fokus mereka ialah (Ahmad) Zahid mesti letak jawatan, UMNO perlu tokoh baharu. Tetapi, Ilham Center tidak berani komited jika Ahmad Zahid letak jawatan masalah akan selesai.

"Menurut Ilham, UMNO perlu perubahan total. Tidak pula dinyatakan perubahan apa?. Sebab itu analisis Ilham Centre ada kelompongan. Politik mundur iaitu pendakwah suka menghukum kembali menguasai pemikiran politik masyarakat Melayu dan ia merisaukan," katanya.

Beliau juga mempersoalkan penilaian sokongan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor dibuat berdasarkan prestasi sebenarnya sebagai pemimpin.

"Adakah Sanusi tokoh hebat?. Bolehkah tokoh 'lepuk' kepala orang dengan kertas?. Dia disanjung sebagai panglima perang walaupun nadir bumi dicuri, itulah taksub ekstrim tahap dewa," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri lalu, BN khususnya UMNO mengalami kekalahan teruk selepas hanya menguasai 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi DUN ditandingi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-