Thursday, September 7, 2023

Imej UMNO kekal tercalar walau Ahmad Zahid lepas

ismaweb,net
zuhayati

Tidak mudah orang ramai lihat Presiden UMNO sebagai tak bersalah
Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Safar 1445H, Khamis – Sudah tiba masanya UMNO digantikan dengan pemimpin baharu yang lebih muda dan bertenaga bagi memulihkan kepercayaan orang ramai selepas tercalar akibat kes mahkamah yang melibatkan presiden parti itu sendiri.

Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh berkata, walaupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan, imej beliau sebagai seorang pemimpin telah tercalar dan tidak mudah untuk orang ramai melihat beliau sebagai individu yang tidak bersalah.

“Justeru, UMNO perlu membuat perubahan berikutan kepimpinan lama sudah tidak sesuai. Gantikan dengan muka-muka baharu yang lebih muda dan bertenaga yang sekali gus berkesan memulihkan kepercayaan orang ramai kepada UMNO.

“Beliau (Ahmad Zahid) secara hormatnya perlu berundur seperti yang diharapkan,” katanya kepada Ismaweb.net.

Dr Wan Hashim yakin parti tersebut yang dianggap sebagai parti nasionalisme orang Melayu tidak ketandusan pemimpin baharu.

Malah, beberapa nama dilihat sesuai menggantikan kedudukan presiden tersebut.

Dalam pada itu, tegas beliau UMNO akan terus kekal dalam kerajaan campuran dan bersama dengan Pakatan Harapan (PH) meskipun Ahmad Zahid tidak menjadi presiden UMNO lagi.

“Saya yakin tiada masalah untuk memelihara kerajaan ini sehingga habis tempoh lima tahun akan datang walaupun tiada Zahid, UMNO akan tetap kekal dengan PH dan bersama Anwar,” katanya.

Tambah beliau, Ahmad Zahid wajar mencontohi bekas pemimpin parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat ‘gentleman’ dan berundur secara terhormat selain mengambil tanggungjawab dengan kekalahan parti itu sebelum ini.

“Saya tertarik dengan Najib Razak, apabila tercalar imej beliau terus undur diri dan saya rasa hormat dengan pendirian berkenaan untuk bertanggungjawab dan berundur selain memberikan peluang kepada orang lain,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-