Thursday, September 7, 2023

Pemuda PKR gesa sesi Parlimen tergempar bahas DNAA Zahid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
07 Sep 2023

Sayap parti pemerintah mahu DNAA Zahid Hamidi dibahaskan ekoran persoalan mengenai kredibiliti Jabatan Peguam Negara.
Pemuda PKR mendesak diadakan sesi Parlimen tergempar susulan Zahid Hamidi dilepas dalam kes mahkamah Akalbudi.

PETALING JAYA: Pemuda PKR menggesa kerajaan mengadakan sesi Parlimen tergempar selepas mahkamah melepaskan Presiden Umno Zahid Hamidi tanpa membebaskannya (DNAA).

Sayap parti pemerintah itu mahu DNAA Zahid dibahaskan ekoran persoalan mengenai kredibiliti Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kita tidak dapat nafikan bahawa kejadian ini sekaligus melemahkan imej kerajaan perpaduan sebagai penongkah arus perubahan dan reformasi, serta mengurangkan keyakinan rakyat terhadap Malaysia Madani,” kata Naib Ketua Tyra Hanim Razali dalam kenyataan.

Pemuda PKR berkata demikian walaupun mengambil maklum Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden parti, berkata tiada campur tangan dalam bidang kuasa peguam negara.

Dalam pada itu, sayap itu juga menuntut satu tempoh masa diberikan untuk pencarian bukti baharu dan pendakwaan dilakukan semula, memandangkan kes prima facie berjaya dibuktikan pendakwaan sebelum ini.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-