Friday, November 10, 2023

Bersatu dakwa sudah kumpul bukti, akan lapor polis

hmetro.com.my
Latifah Arifin
latifah@bh.com.my
MUHYIDDIN bersama kepemimpinan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi, malam tadi. FOTO Aizuddin Saad.

Kuala Lumpur: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa sudah mengumpul semua bukti berhubung tawaran diberi kepada Ahli Parlimen parti itu untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan akan dibuat dan ia akan dikemuka kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mendapati ada Ahli Parlimen mereka 'disogok' dengan tawaran faedah tertentu seperti dalam bentuk kewangan atau peruntukan.

"Ini adalah satu perkara yang melanggar peruntukan seperti Akta SPRM, iaitu sama ada dia menerima atau memberi. Kita akan buat laporan, satu kepada pihak polis dalam tempoh sehari dua.

"Semua maklumat telah dikumpulkan, contohnya dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, atau Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, dia beritahu ketika Mesyuarat Bersatu Kelantan, (dia) dapat tawaran (tertentu) tetapi menolak kesemuanya.

"Namun tiga hari selepas itu, dia umumkan keputusan sokong sana (kerajaan). Justeru, kita suspek ada perkara yang sedang berlaku, yang telah langgar peruntukan undang-undang," katanya yang menegaskan terdapat elemen sengaja menakut-nakutkan atau pendakwaan bagi mendapatkan sokongan dengan tawaran bernilai jutaan ringgit.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Ibu Pejabat Perikatan Nasional di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; dua Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Muhyiddin turut berkata, Bersatu akan mengemukakan laporan berhubung perkara sama terhadap SPRM yang dakwanya mungkin terbabit.

"Kita buat laporan kepada SPRM dan terhadap SPRM. Mungkin SPRM juga terbabit, mungkin ada (antara kes ini) babitkan pegawai tinggi SPRM," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menggesa Akta Lompat Parti yang diwartakan pada 6 September lalu dikaji semula, susulan didakwa terdapat kelompongan yang jelas.

"Sebagai contoh dalam kes yang masih belum diputuskan oleh mahkamah terhadap empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertindak menyokong Kerajaan Perpaduan.

"Kes itu masih berjalan dan masih menunggu keputusan mahkamah ialah kerana di peringkat Speaker (Dewan Rakyat) memutuskan bahawa mereka tidak melanggar (peraturan parti)," katanya.

Muhyiddin merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) yang bertindak bertukar parti pada Januari lalu.

Bersatu turut menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul terkhilaf dalam memutuskan tiada kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli parti itu, atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Muhyiddin menegaskan Johari jelas membuat tafsiran khilaf berhubung Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, segala keputusan yang dibuat Johari boleh dipersoalkan kerana beliau adalah orang parti yang memerintah kerajaan.

"Kalau kita katakan mereka sudah langgar Perlembagaan, melewati batas, tapi itu pandangan kita, mungkin tak sama dengan pandangan Speaker Dewan Rakyat, sedangkan dalam Perlembagaan parti Bersatu, tafsiran tentang suatu tindakan itu bersandarkan kepada MPT Bersatu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-