Monday, February 5, 2024

Zahid hanya sandiwara konon nak bela Najib

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe

Kenyataan Anwar seolah sahkan apa akar umbi UMNO nampak

BANGI, 24 Rejab 1445H, Isnin – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak seolah-olah mengesahkan jangkaan akar umbi UMNO.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya bermain wayang, kononnya mahu membela Najib untuk mendapat pengampunan.

Beliau mendakwa kenyataan Zahid sebelum ini hanyalah sandiwara apabila Anwar mengaku Timbalan Perdana Menteri itu tidak pernah memberi kata dua dalam isu pengampunan Najib.

“Maknanya selama setahun lebih ini betullah Zahid hanya main wayang sahaja kononnya mahu bela supaya Najib mendapat pengampunan tetapi itu semua sandiwara.

“Anwar sudah confirmkan apa yang akar umbi UMNO sudah nampak lama,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Isham, Zahid bukan mahu membela Najib, sebaliknya hanya ingin melepaskan diri sendiri yang sebelum ini terpalit dengan 47 kes pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

“Anwar kemudian sambung cerita pasal rasuah, Zahid ada di sebelah.

“PM Anwar, cuba cerita sikit berkenaan kes rasuah 47 Zahid dan kes rasuah Lim Guan Eng yang digugurkan oleh kerajaan sebelum kamu teruskan cerita lain. Cuba cerita,” katanya.

Terdahulu, Anwar menafikan dakwaan UMNO pernah memberi kata dua kepadanya berkait isu pengampunan Najib.

Anwar juga menegaskan, tidak timbul isu permohonan bekas Perdana Menteri itu didengar lebih awal seperti didakwa pelbagai pihak, sambil menafikan pengampunan hanya boleh dibuat selepas tiga tahun penjara.

“Tiada ugutan…Zahid (Hamidi) Presiden UMNO ada di sini. Dia tak pernah bagi kata dua pada saya tapi ada hak dia atau partinya memohon PM dan Lembaga Pengampunan memberi pertimbangan dengan alasan-alasan mereka…

“Saya tidak mahu nafi, sama ada saya suka atau tidak suka rakan politik atau musuh politik…prinsip keadilan ini dan prosesnya harus kita hormati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-