Monday, July 29, 2024

Dakwa parti pembangkang mahu bekerjasama, taktikal Zahid alih isu?

utusantv.com
Oleh UtusanTV
-July 29, 2024

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sidang media pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
 
GAMBAR: Abd Razak Aid

AHMAD Zahid Hamidi tahu ahli-ahli UMNO masih keberatan menerima kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh Presiden UMNO itu bersama-sama dengan ‘team’ beliau untuk menyakinkan ahli-ahi UMNO khususnya di peringkat akar umbi berhubung kepentingan kerjasama tersebut, namun setakat ini ia tidak berjaya. Hasilnya, dalam beberapa PRK termasuk di Sungai Bakap, UMNO gagal menarik sokongan pengundi Melayu termasuk ahli UMNO. Jika situasi itu berterusan sudah pasti dalam PRK Nenggiri tidak lama lagi, nasib UMNO akan menjadi lebih buruk.

Tetapi anehnya, Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin UMNO masih tergamak mempertahankan kerjasama tersebut dengan melontarkan pelbagai hujah demi memujuk ahli UMNO dan Ahmad Zahid turut mencanangkan usaha untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU-16.

Pada 30 Jun lalu, di Maran, Ahmad Zahid berkata, BN dan PH akan masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

“Insya-Allah, PRU akan datang kita menggunakan lambang BN. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan. Maksudnya, PH boleh bertanding menggunakan lambang PH, dan kita bertanding dengan lambang kita tetapi dari segi kerjasama, kita jalinkan,’’ katanya.

Atas sebab itulah apabila Ahmad Zahid mendakwa parti pembangkang menghantar wakil bagi berjumpa beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding membentuk kerjasama pada PRU-16…ramai yang ‘tersenyum’ . Tambahan pula, Timbalan Perdana Menteri itu tidak mahu mahu mendedahkan siapa yang beliau maksudkan sebaliknya mendakwa pihak terlibat sanggup melakukan pelbagai kaedah kerana ‘dahagakan’ untuk menjadi kerajaan semula.

Bagaimanapun dakwaan Ahmad Zahid dinafikan dengan tegas oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah dengan menegaskan, apa yang sebenarnya berlaku adalah Pas bersama parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini sedang memperkukuhkan kerjasama gabungan politik itu.

“Setahu saya, tiada pemimpin pembangkang mahu mengadakan perbincangan atau pertemuan dengan kedua-dua pemimpin Kerajaan Perpaduan itu. (Itu tidak berlaku) kerana sikap mereka yang suka mungkir janji,” kata Mohd Amar.

Untuk menyelesaikan isu itu bukan susah, Ahmad Zahid hanya perlu dedahkan siapa pemimpin pembangkang yang ‘begitu teruja sangat’ mahu bertemu beliau dan Anwar ketika ramai orang termasuk ahli UMNO sedang bercakap betapa seronok dan terujanya Presiden UMNO itu menjalinkan kerjasama dan mempertahankan DAP.

Sebagai Presiden kepada sebuah parti dan melaksanakan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam sebuah kerajaan yang UMNO diterima secara ehsan biarpun kalah teruk dalam PRU-15 serta berhadapan isu integriti, tidak salah untuk Ahmad Zahid diselubungi keseronokan dan keterujaan tersebut tetapi usahlah membuat kenyataan yang dilihat mahu menggambarkan seolah-olah Bersatu dan Pas kemaruk sangat untuk berada dalam kerajaan.

Lagi pula penulis percaya dalam Bersatu dan Pas tidak ada pemimpin yang bersedia melakukan tindakan ‘di depan cakap lain, di belakang buat lain’ sepertimana adegan ‘perbualan guru dan murid’ yang menghebohkan politik negara satu ketika dahulu.

Sumber dalam UMNO ketika ditanya pandangan berhubung kenyataan Ahmad Zahid itu menyifatkan dakwaan Presiden UMNO itu tidak lebih daripada ‘taktikal terbaru’ dalam menghadapi PRK Nenggiri.

‘’Mungkin Ahmad Zahid mahu sampaikan kepada pengundi khususnya ahli UMNO bahawa keputusan beliau membawa parti itu bekerjasama dengan PH termasuk DAP adalah keputusan tepat sehinggakan ada parti pembangkang mahu membuat langkah yang sama. Tetapi semua orang tahu, Bersatu dan Pas sama sekali tidak akan bekerjasama dengan PKR dan DAP. Kalau mahu berbincang dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah, mungkin ada…itupun setakat ini sekadar cakap-cakap saja, tiada pun perbincangan rasmi,’’ kata satu sumber.

Persoalannya, adakah kenyataan Ahmad Zahid itu bertujuan untuk mewujudkan perasaan curiga antara parti pembangkang atau bagi mengalihkan isu selepas mendapati reaksi negatif masih lagi membaluti ahli-ahli UMNO berhubung kerjasama parti itu dengan DAP?

Apapun pada pandangan penulis, daripada Ahmad Zahid dilihat cuba ‘menyeret’ parti pembangkang dalam mainan politik beliau, lebih baik Ahmad Zahid yang memimpin UMNO mencatatkan keputusan paling buruk dalam sejarah UMNO pada PRU-15 lalu menumpukan perhatian untuk mengatur strategi bagaimana untuk mengembalikan UMNO sebagai parti dominan dalam arena politik negara. Apa yang ahli-ahli UMNO mahu ialah parti itu bangkit semula menjadi sebuah parti yang mengepalai kerajaan bukannya sekadar ‘penyendal’ dalam kerajaan.

Penulis ‘tersentuh’ apabila mendengar kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengingatkan supaya ahli parti tidak mengutuk kerajaan hari ini seolah-olah terlupa UMNO hanya ada dalam kerajaan kerana berkongsi kuasa.

“Jadi, atas sebab itulah jangan kita meletakkan parti dan kepimpinan dalam keadaan tersepit. Saya akui kadang-kala parti dalam dilema dengan desakan-desakan sedangkan kita ini lemah.

“Kita tidak mempunyai pilihan, kita didesak, dituntut dan diugut seolah-olah kita ini dominan dalam kerajaan hari ini. Janganlah menyerang parti dengan mendesak akan tuntutan yang boleh menyebabkan pergeseran antara parti yang sama-sama membentuk kerajaan,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, kelmarin.

Berdasarkan kepada kenyataan Khaled itu, adalah wajar jika Ahmad Zahid tumpukan perhatian pulih UMNO, lagipun Khaled pun sudah menegaskan, jika UMNO bekerjasama dengan Bersatu dan Pas menubuhkan kerajaan selepas PRU-15 UMNO mungkin tidak ada lagi hari ini.

Oleh itu tidak payahlah Ahmad Zahid layan kalau ada parti pembangkang mahu berbincang dengan beliau dalam soal kerjasama, takut nanti lenyap pulak UMNO, maklumlah bukankah sebelum ini beliau sanggup berhadapan dengan pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah di mahkamah demi mempertahankan UMNO daripada dibubarkan? Betul tak?

Seperkara lagi, daripada bercakap soal parti pembangkang, lebih baik Ahmad Zahid turut beri tumpuan pulihkan dalaman UMNO khususnya melibatkan hubungan antara pemimpin-pemimpin kanannya sebab penulis difahamkan ‘ada masalah agak serius’ …apa masalah itu? Tunggu saja ia terdedah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-