Thursday, August 1, 2024

Batalkan perjanjian MAHB-GIP, kata Hassan Karim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 1, 2024
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mahu kerajaan membatalkan perjanjian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen PKR itu berkata Malaysia mesti menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti yang berkait rapat dengan rejim Zionis.

“Dalam masa masyarakat Malaysia berkabung dan bersedih dengan gugurnya Ismail Haniyeh maka adalah wajar Malaysia membatalkan penjualan sebahagian besar saham MAHB sebuah syarikat strategik negara kita kepada Global Infracture Partners (GIP) yang dikuasai oleh BlackRock,” katanya.

Bagaimanapun, GIP akan mempunyai pegangan sebanyak 25 peratus dalam MAHB jika perjanjian itu dilaksanakan.

Perjanjian itu merujuk kepada kontroversi yang bermula pada 15 Mei apabila Khazanah Nasional Berhad mendedahkan bahawa Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan GIP, melalui GIP Aurea Pte Ltd, akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam syarikat pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak selepas mendapati Blackrock, sebuah syarikat yang dianggap mempunyai hubungan dengan Israel, memperoleh GIP.

Semalam, Ismail dibunuh di kediamannya di Tehran, Iran.

Al Jazeera melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai berkata bahawa Ismail telah dibunuh bersama seorang pengawal peribadinya dan republik itu telah melancarkan siasatan ke atas perkara itu.

Dalam kenyataannya, Hassan berkata bahawa rakyat dunia bertanggungjawab melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menurutnya memutuskan bahawa penjajahan Israel ke atas bumi Palestin termasuk Gaza dan Tebing Barat adalah haram kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Keputusan pada 19 Julai oleh Presiden ICJ Nawaf Salam, adalah penting supaya kematian rakyat Palestin di Gaza tidak menjadi sia-sia, kata Hassan.

“Saya menyeru kerajaan Malaysia khususnya supaya menggerakan inisiatif dinamik diplomatik antarabangsanya ke arah kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat,” katanya.

Pendirian rasmi kerajaan terhadap perang Palestin-Israel adalah untuk penyelesaian dua negara, yang melibatkan penubuhan negara Palestin bersama negara Israel.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-