Showing posts with label Blackrock. Show all posts
Showing posts with label Blackrock. Show all posts

Thursday, August 1, 2024

Batalkan perjanjian MAHB-GIP, kata Hassan Karim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 1, 2024
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mahu kerajaan membatalkan perjanjian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen PKR itu berkata Malaysia mesti menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti yang berkait rapat dengan rejim Zionis.

“Dalam masa masyarakat Malaysia berkabung dan bersedih dengan gugurnya Ismail Haniyeh maka adalah wajar Malaysia membatalkan penjualan sebahagian besar saham MAHB sebuah syarikat strategik negara kita kepada Global Infracture Partners (GIP) yang dikuasai oleh BlackRock,” katanya.

Bagaimanapun, GIP akan mempunyai pegangan sebanyak 25 peratus dalam MAHB jika perjanjian itu dilaksanakan.

Perjanjian itu merujuk kepada kontroversi yang bermula pada 15 Mei apabila Khazanah Nasional Berhad mendedahkan bahawa Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan GIP, melalui GIP Aurea Pte Ltd, akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam syarikat pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak selepas mendapati Blackrock, sebuah syarikat yang dianggap mempunyai hubungan dengan Israel, memperoleh GIP.

Semalam, Ismail dibunuh di kediamannya di Tehran, Iran.

Al Jazeera melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai berkata bahawa Ismail telah dibunuh bersama seorang pengawal peribadinya dan republik itu telah melancarkan siasatan ke atas perkara itu.

Dalam kenyataannya, Hassan berkata bahawa rakyat dunia bertanggungjawab melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menurutnya memutuskan bahawa penjajahan Israel ke atas bumi Palestin termasuk Gaza dan Tebing Barat adalah haram kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Keputusan pada 19 Julai oleh Presiden ICJ Nawaf Salam, adalah penting supaya kematian rakyat Palestin di Gaza tidak menjadi sia-sia, kata Hassan.

“Saya menyeru kerajaan Malaysia khususnya supaya menggerakan inisiatif dinamik diplomatik antarabangsanya ke arah kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat,” katanya.

Pendirian rasmi kerajaan terhadap perang Palestin-Israel adalah untuk penyelesaian dua negara, yang melibatkan penubuhan negara Palestin bersama negara Israel.

[Baca berita penuh]

Wednesday, July 3, 2024

Akar umbi Umno tak senang penyasaran subsidi diesel, penswastaan MAHB

freemalaysiatoday.com
Sean Augustin
-03 Jul 2024, 09:30 AM

Rasa tidak puas hati akar umbi Umno ini dikhuatiri akan merugikan gabungan perpaduan pada PRK kelak.
Presiden Umno Zahid Hamidi (kanan) menganggap bantahan timbalannya, Mohamad Hasan, terhadap penjualan saham MAHB kepada GIP sebagai sekadar pandangan peribadi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Akar umbi Umno tidak senang dengan keputusan kerajaan berhubung penyasaran subsidi diesel dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), menurut seorang pemimpin parti.

Sumber yang enggan namanya disiarkan itu berkata, rasa tidak puas hati itu disampaikan oleh pemimpin bahagian dalam sebuah acara tertutup pada Isnin untuk menjelaskan dua isu itu.

Menurut sumber, akar umbi berpandangan, penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan mulai 10 Jun itu sepatutnya ditangguhkan.

“Malah seorang pemimpin Umno yang sangat lantang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran subsidi diesel belum patut dilaksanakan,” kata sumber itu kepada FMT.

Putrajaya sebelum ini mempertahankan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung dengan alasan mekanisme yang menggantikan subsidi pukal itu akan menjimatkan RM4 bilion setahun untuk kerajaan.

Pada hari sama, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh menyatakan sokongan pihaknya terhadap tindakan itu. Menurutnya, perkara ini telah dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) ketika ia memerintah.

“Jelas (daripada acara pada Isnin) bahawa akar umbi dan kepimpinan tidak berkongsi sentimen yang sama mengenai isu ini,” kata sumber itu.

Kata sumber itu lagi, akar umbi juga tidak berpuas hati dengan cadangan menswastakan MAHB yang dihujani kritikan disebabkan penglibatan sebuah syarikat didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Bulan lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan Global Infrastructure Partners (GIP) memegang saham dalam MAHB.

Firma pelaburan BlackRock, yang berpangkalan di New York City, sedang dalam proses memperoleh GIP menerusi perjanjian berbilion dolar yang dibuat awal tahun ini.

Pengkritik pelan penswastaan MAHB, termasuk Pemuda Umno, menentang penyertaan GIP atas alasan BlackRock ‘mengaut keuntungan daripada genosid’ melalui kepentingannya dalam beberapa syarikat pertahanan Amerika Syarikat yang didakwa mengeluarkan senjata digunakan oleh Israel.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sejak itu berkata, pendirian parti konsisten dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mempertahankan usaha penswastaan itu.

Timbalan Zahid, Mohamad Hasan bagaimanapun mendakwa, ramai menteri parti menentang penjualan saham kepada GIP dan berharap perjanjian itu akan dikaji semula walaupun sudah berada pada peringkat lanjut.

Menepis komen timbalannya itu, Zahid berkata, ia sekadar pandangan peribadi Mohamad.

Menurut sumber itu, seorang bekas menteri persekutuan turut menyatakan bantahannya terhadap rancangan penswastaan MAHB pada acara Isnin itu.

Sumber itu memberi amaran, rasa tidak senang dalam kalangan akar umbi berhubung dua keputusan itu boleh menjejaskan peluang gabungan perpaduan pada PRK Sungai Bakap dan Nenggiri akan datang.

“Umno akan dilihat sebagai terjejas dan tidak mampu membela orang Melayu. Ada kemungkinan kedua-dua isu ini akan memberi impak kepada pengundi Melayu pada pilihan raya,” kata sumber itu.

Tuesday, June 25, 2024

Blackrock: 'Isu sebenar jual pegangan aset strategik negara'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 25, 2024 5:05 PM
Pembangkang tidak pernah membantah pemilikan ekuiti firma-firma tempatan yang diperolehi oleh Blackrock melalui pasaran terbuka.

Sebaliknya, setiausaha akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata isu sebenar yang dibantah pembangkang ialah cadangan kerajaan untuk menjual pegangan yang begitu besar dalam Malaysia Airline Holding Bhd (MAHB).

MAHB katanya mengawal 39 lapangan terbang dan dilihat sebagai aset strategik negara.

Dia berkata demikian ketika mengulas cabaran Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menggesa kerajaan Kedah dan Kelantan menutup kilang-kilang milik Blackrock di dua negeri itu.

"Nik Nazmi sudah tentu memahami bahawa sebarang urusan termasuk keputusan dan tindakan dalam pentadbiran adalah berlandaskan tatacara, tatakelola dan undang-undang yang termaktub dalam satu sistem pentadbiran yang konkrit.
"Justeru, tindakan menutup kilang yang sudah diluluskan untuk beroperasi tidak boleh dilakukan begitu sahaja.

"Isu sebenar di sebalik bantahan oleh pembangkang tidak ada kaitan dengan pemilikan ekuiti firma-firma tempatan yang diperolehi oleh Blackrock melalui pasaran terbuka," katanya dipetik portal HarakahDaily.

Katanya, lapangan terbang bagi mana-mana negara termasuk dalam senarai aset strategik.

"Lapangan terbang juga adalah lokasi yang sangat sensitif. Ia adalah pintu masuk dan keluar bagi sesebuah negara melalui perjalanan udara. Ia juga adalah pintu kedaulatan dan keselamatan sesebuah pemerintahan.

"Memberi milikan kepada pihak luar yang jika tidak sampai 30 peratus sekalipun, boleh dikira suatu langkah yang sumbang, apatah lagi dengan ekuiti sebanyak itu yang akan memberikan mereka kuasa mengawal.

"Ia tetap sumbang, pelik, janggal lagi membahayakan jika pihak yang bakal mengambil alih pegangan 30 peratus itu bukan Blackrock sekalipun. Keputusan ini seumpama memberi hak untuk menjaga pintu rumah kita kepada seseorang yang dicurigai," katanya.

Sebelum ini, Nik Nazmi yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam mencabar PN menutup semua kilang milik Blackrock di Kedah dan Kelantan yang dipimpin oleh pakatan pembangkang.

Nik Nazmi mengkritik pihak yang menurutnya mempolitikkan isu berkaitan Blackrock Inc, dan menyorot bahawa isu itu tidak ditimbulkan ketika PN berkuasa.

"Jadi saya nak cabar kalau ada orang PN yang nak minta kita tidak berurusan dengan mereka (Blackrock) langsung, maka mereka juga kena cepat cepat tutup kilang-kilang tersebut.

“Biar pekerja-pekerja tu hilang kerja. Dan kita boleh bincang,” kata nya semasa kempen PH di Sungai Bakap.

Monday, June 24, 2024

Ambil alih MAHB: Pendirian Umno sama dengan PM

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
24 Jun 2024, 07:32 PM

Presiden Zahid Hamidi berkata komen timbalannya berhubung isu saham MAHB adalah pandangan peribadi.
Presiden Zahid Hamidi berkata pendirian Umno berhubung rancangan ambil alih MAHB sama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi berkata pendirian Umno berhubung rancangan ambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui konsortium diterajui Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah sama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, komen timbalannya, Mohamad Hasan, semalam yang berharap penjualan saham MAHB kepada syarikat yang dikaitkan dengan firma pelaburan global, BlackRock, dikaji semula adalah ‘pandangan peribadi’.

“Pendirian Umno jelas… sama dengan perdana menteri,” katanya pada sidang media.

“Saya jumpa beliau (Mohamad) malam tadi dan beliau beritahu itu pandangan peribadi.”

Semalam, Mohamad dilapor berkata menteri dari Umno memberikan pandangan bahawa penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) tidak diteruskan, jika boleh, namun akui transaksi itu sudah terlampau maju.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Friday, June 21, 2024

Pemuda Umno soal PM: Kalau tiada Blackrock, adakah MAHB bankrap?

malaysiakini.com
Shamz Johan
Diterbitkan: Jun 21, 2024 7:00 PM
Pemuda Umno Malaysia menyoal kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai ekonomi Malaysia akan terjejas jika kerajaan memutuskan hubungan ke atas semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.

Ketua Pemudanya Akmal Saleh membangkitkan isu kontroversi Global Infrastructure Partners (GIP) konsortium yang mengumumkan tawaran bagi mengambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

"Kita ada banyak lagi syarikat di luar sana yang ada kepakaran, yang boleh MAHB minta bantuan.

"Saya tak rasa bahawa kalau tiada Blackrock ini, MAHB akan hilang, akan bankrap," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda Umno Malaysia di Menara PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Akmal lagi, langkah kerajaan PH ketika era perdana menteri Mahathir Mohamad yang membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan memansuhkan cukai GST juga memberi kesan kepada ekonomi negara.

Terdahulu, Anwar mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB sebagai ‘wayang politik’.

Beliau berkata mana-mana pihak berhak untuk tidak bersetuju dengan kerajaan, namun pada masa sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza.

“Jangan guna isu ini (BlackRock), kerana isu ini (serangan di Gaza) seharusnya menyatukan kita... siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu?” katanya.
Anwar bersama pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.
Perdana menteri berkata kerajaan mengambil pendirian tegas untuk membatalkan kerjasama dengan semua syarikat yang membuka operasinya di Israel.

“Syarikat yang ada operasi di Amerika, Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel, tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkannya kerana akan menjejaskan ekonomi negara.

“Jadi sementara saya akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan siapa sahaja, tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara.

“Kalau syarikat itu dari Israel, saya tetap tegas,” kata Anwar.
Global Infrastructure Partners (GIP) pada awal hari ini dilaporkan menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley berkata seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

Dia berkata BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan berkaitan infrastruktur.

“Selepas transaksi ini dimuktamadkan, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
GIP pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai AS$112 bilion (RM527.5 bilion) bagi pihak pelaburnya, yang terdiri daripada kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.

GIP sebelum ini dikaitkan dengan syarikat pelaburan multinasional Blackrock yang memiliki pegangan dalam lima syarikat pembekal senjata kepada Israel.

Pada 15 Mei lalu, Khazanah mengumumkan ia kini menerajui sebuah konsortium, Gateway Development Alliance (GDA), bagi tawaran sukarela prasyarat untuk membeli semua saham MAHB yang belum dimilikinya, dengan harga tawaran RM1 seunit.

Pemegang saham konsortium itu turut merangkumi usaha sama antara Abu Dhabi Investment Authority (Adia) dan GIP - menerusi GIP Aurea Pte Ltd.

Susulan itu, beberapa pihak menyuarakan bantahan serta kebimbangan ke atas cadangan penjualan 30 peratus saham MAHB kepada GIP yang juga subsidiari syarikat Blackrock.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-