Showing posts with label Zionis. Show all posts
Showing posts with label Zionis. Show all posts

Wednesday, August 28, 2024

Jangan terjebak sikap dan agenda burukkan ulama

harakahdaily.net
August 28, 2024

JASIN: Tindakan pihak-pihak tertentu yang menyerang dan memburuk-burukkan para ulama sebenarnya adalah suatu gerakan yang dibuat demi menjaga kepentingan Barat dan Zionis.

Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, golongan itu akan menyerang mana-mana ulama yang cuba membangkitkan kesedaran secara jelas, tidak berlapik, sehingga mudah difahami oleh umat akan maksud dan tujuannya.

“Jadi kalau kita tengok dalam negara kita ni ulama yang paling dimusuhi dan dicerca oleh kumpulan yang memang dibentuk bagi memfitnah ulama dan membuat naratif yang negatif kepada ulama, iaitulah kalangan sebahagian netizen ini,” katanya.

Tuan Guru Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin itu berkata demikian sewaktu menyampaikan kuliah Maghrib mingguan di Balai Islam Seri Minyak, Merlimau, di sini malam kelmarin.

“Kita tengok Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, antara ulama-ulama yang paling utama menghadapi sasaran. Baru-baru ini Ustaz Azhar Idrus juga mula dihalakan serangan secara bertubi-tubi.

“Kerana apa? Kerana ulama-ulama ini dilihat sebagai kumpulan ulama yang mempunyai kemampuan ilmu membangkitkan keinsafan dan kesedaran rakyat untuk beristiqamah dengan Islam,” katanya.

Beliau sebelum itu membincangkan ayat 130 Surah Ali Imran mengulas mengenai keberanian Imam Sya’rawi dalam tafsirnya yang memuji As-Syahid As-Syeikh Sayyid Qutb RH.

Ini kerana tokoh itu dapat menghuraikan dengan tuntas persoalan riba yang tiba-tiba muncul di dalam ayat tersebut di tengah-tengah perbincangan mengenai perang Uhud.

“Saya menyebut tentang perkara ini, adalah sebagai suatu ingatan kepada kita, supaya kita tidak terbawa-bawa dengan kecenderungan untuk menyerang peribadi As-Syeikh Sayyid Qutb.

“Kerana Sayyid Qutb ini diberikan tasawur, diberikan gambaran sebagai tokoh ekstremis yang melahirkan suatu gerakan yang ekstremis dalam dunia Islam melalui huraian-huraian ilmiahnya,” katanya.

Jelas beliau, persepsi itu hakikatnya adalah tuduhan Barat kepada As-Sheikh Syed Qutb RH di mana sedia dimaklumi bahawa orang Barat itu memang begitu marah dengan mana-mana ulama seperti itu.

Di mana katanya, mempunyai kemampuan dan pengaruh besar di dalam menghuraikan mengenai kewajipan menentang segala perkara yang berlawanan dengan Islam.

“Jadi ulama-ulama yang berjaya menghuraikan perlawanan dan percanggahan sesuatu ajaran, ideologi dan fahaman di zaman moden ini dengan Islam. Berlawan perkara itu dengan Islam.

“Dia (Sayyid Qutb) berjaya menghuraikanya dengan mengembalikan kepada nas Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, maka ulama itu dipandang sebagai ancaman kepada Barat.

“Kerana kemampuan dan kejayaan Sayyid Qutb dan mana-mana ulama seperti itu dilihat sebagai suatu perkara yang berjaya membangkitkan semangat perjuangan untuk mempertahankan Islam dan membebaskan tanah air umat Islam dari cengkaman penjajah,” katanya.

Kata beliau lagi, disebabkan perkara itu, Sayyid Qutb ini menghadapi berbagai-bagai fitnah yang mana fitnah-fitnah itu datang daripada naratif yang dibuat oleh Barat.

“Kita pun tahu Mesir ini bersebelahan dengan Israel yang menjajah Palestin. Maka naratif-naratif ini yang dibuat bertujuan untuk kepentingan Israel dan Zionis,” katanya.

Katanya lagi, para ulama yang mulia hatinya, mereka sekali-kali tidak akan terpedaya dengan permainan fitnah dibuat oleh musuh-musuh Islam.

Justeru ulama-ulama ini akan menonjolkan segala sisi kebaikan ulama yang difitnah supaya umat tidak melampau hingga terjebak hanya dengan fitnah naratif dibuat oleh Barat dan musuh-musuh Islam.

 – HARAKAHDAILY 28/8/2024

Thursday, August 1, 2024

Batalkan perjanjian MAHB-GIP, kata Hassan Karim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 1, 2024
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mahu kerajaan membatalkan perjanjian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen PKR itu berkata Malaysia mesti menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti yang berkait rapat dengan rejim Zionis.

“Dalam masa masyarakat Malaysia berkabung dan bersedih dengan gugurnya Ismail Haniyeh maka adalah wajar Malaysia membatalkan penjualan sebahagian besar saham MAHB sebuah syarikat strategik negara kita kepada Global Infracture Partners (GIP) yang dikuasai oleh BlackRock,” katanya.

Bagaimanapun, GIP akan mempunyai pegangan sebanyak 25 peratus dalam MAHB jika perjanjian itu dilaksanakan.

Perjanjian itu merujuk kepada kontroversi yang bermula pada 15 Mei apabila Khazanah Nasional Berhad mendedahkan bahawa Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan GIP, melalui GIP Aurea Pte Ltd, akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam syarikat pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak selepas mendapati Blackrock, sebuah syarikat yang dianggap mempunyai hubungan dengan Israel, memperoleh GIP.

Semalam, Ismail dibunuh di kediamannya di Tehran, Iran.

Al Jazeera melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai berkata bahawa Ismail telah dibunuh bersama seorang pengawal peribadinya dan republik itu telah melancarkan siasatan ke atas perkara itu.

Dalam kenyataannya, Hassan berkata bahawa rakyat dunia bertanggungjawab melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menurutnya memutuskan bahawa penjajahan Israel ke atas bumi Palestin termasuk Gaza dan Tebing Barat adalah haram kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Keputusan pada 19 Julai oleh Presiden ICJ Nawaf Salam, adalah penting supaya kematian rakyat Palestin di Gaza tidak menjadi sia-sia, kata Hassan.

“Saya menyeru kerajaan Malaysia khususnya supaya menggerakan inisiatif dinamik diplomatik antarabangsanya ke arah kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat,” katanya.

Pendirian rasmi kerajaan terhadap perang Palestin-Israel adalah untuk penyelesaian dua negara, yang melibatkan penubuhan negara Palestin bersama negara Israel.

[Baca berita penuh]

Thursday, January 31, 2019

Zionis guna dadah hapuskan pemuda Palestin

MyMetro
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

MOHD Azmi (tengah) menyampaikan taklimat awal kepada peserta Bengkel Khas 360 Masjid al-Aqsa. (Gambar kecil) Dr Sameer. 
FOTO Ihsan MAPIM

BUKAN saja dikenakan pelbagai sekatan dan tekanan, rejim Zionis juga menggunakan bahan khayal untuk melemahkan generasi muda Palestin di Baitulmaqdis bagi 'menghapuskan' mereka secara senyap.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga diberikan wang untuk membeli bekalan dadah jika kehabisan stok dan taktik itu sudah digunakan sejak beberapa tahun lalu.

Mendedahkan perkara itu, aktivis Ummet Vakfi Turkey Dr Sameer Saed al-Quds berkata, menyasarkan golongan remaja dan pemuda, ia menjadi senjata paling berkesan dalam memastikan generasi muda tidak mampu melawan dan menemui maut secara perlahan-lahan.

"Tindakan ini dilakukan secara senyap, tidak perlu bertempur, baling batu atau bertindak kasar, hanya menggunakan dadah, remaja Palestin akhirnya akan tunduk kepada tentera tanpa paksaan.

"Sehingga kini puluhan ribu remaja di sekitar Kompleks al-Aqsa dan Palestin terbabit dengan penyalahgunaan dadah yang dirancang rapi tanpa disedari banyak pihak.

"Ketika banyak pihak menyatakan kebimbangan mengenai masa depan Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya, tentera pula sudah membunuh remaja Palestin, kumpulan yang diharapkan dapat menyambung perjuangan generasi awal," katanya ketika menjadi pembentang Bengkel Khas 360 Masjid al-Aqsa di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia dianjurkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang turut dihadiri presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid dan Pengarah Waqaf al-Aqsa Johan Ariff Ismail.

Dr Sameer turut berkongsi keadaan terkini di tempat ketiga suci bagi umat Islam itu sambil menambah, inisiatif segera perlu diambil bagi membantu penduduk Palestin mempertahankan kawasan berkenaan daripada diceroboh Israel.

"Kita perlu pertahankan kerana ia tanah bagi semua umat Islam yang kini berada dalam kawalan Yahudi. Penghapusan identiti bagi negara dan penduduk Palestin sedang berlaku.

"Saya percaya usaha berterusan daripada rakan seperti MAPIM akan membuahkan hasil, setidak-tidaknya kesedaran mengenai perlunya Masjid al-Aqsa dipertahankan," katanya yang berasal dari kawasan pesisir pantai di Palestin.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, bengkel berkenaan bertujuan memberikan maklumat kepada aktivis daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai status terkini di sana.

Katanya, ia sebagai persediaan untuk melahirkan lebih ramai sukarelawan bermaklumat yang bukan saja prihatin dengan nasib saudara seagama, tetapi tahu sejarah mengenai Islam itu sendiri.

"Selepas ini kita akan adakan lebih banyak program sebegini bagi memberi pencerahan kepada seluruh umat Islam di Malaysia," katanya.

MAPIM turut mengaktifkan tabung wakaf dan orang ramai yang ingin turut serta boleh menyumbang menerusi akaun CIMB 8602715930 atau secara dalam talian di www.wakafaqsa.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:55 PM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-