Sunday, August 25, 2024

Kembalikan Umno sebagai parti dominan antara fokus utama PAU2024

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 25, 2024 9:00 AM
ANALISIS | Suasana Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU2024) berbeza berbanding PAU sebelum ini selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Aura kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri mewarnai PAU2024 dalam mood kemenangan dan kegembiraan.

Umno wajar bergembira dengan kemenangan di Nenggiri kerana bukan saja berjaya merampas kembali kerusi yang dimenangi PAS dalam PRN tahun lalu, namun menang bergaya dengan majoriti lebih besar.

Langkah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan kemenangan di Nenggiri ada asasnya kerana ia cukup signifikan untuk menyemarakkan kembali perjuangan Umno agar tidak suram.

Benar, mood PAU2024 berbeza sekali berbanding sebelum ini, di mana perwakilan lebih bersemangat dan Umno dilihat mula menemui kembali rentaknya.

Dalam kegembiraan kemenangan DUN Nenggiri, kedudukan Umno dalam kerajaan serta hala tuju Umno dalam PRU16 terus menjadi perdebatan di pentas PAU.
Malah, lebih daripada itu kepimpinan Umno di setiap peringkat melihat kepada keperluan untuk mengembalikan Umno sebagai parti dominan seperti mana era kegemilangan BN.

Enam dekad Umno menjadi parti dominan dalam kerajaan BN sebelum perpecahan berlaku selepas parti itu tewas dalam PRU14.

Oleh itu, untuk kembali dominan, Umno bukan sahaja perlu dilihat relevan tetapi harus sesuai dengan selera masa kini dan terus menjadi perbahasan.

Umno sebagai parti teras kepada orang Melayu mahu terus dilihat menjuarai dan mempertahankan kedudukan Raja-raja Melayu dan kesucian Islam meskipun dalam kerajaan perpaduan bersama PH yang turut ditunjangi DAP.

Menjawab kepada persoalan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan yang parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan kerajaan jika kedudukan Melayu, Raja-raja Melayu dan kesucian Islam gagal dipertahankan.

Cabaran besar kepada Umno untuk menjadikan parti itu kembali dominan ialah mengembalikan keyakinan dan sokongan orang Melayu kepada Umno.
Dengan adanya PAS dan Bersatu, Umno yang hilang sokongan orang Melayu dalam PRU15 mempunyai cabaran besar untuk meyakinkan kaum majoriti itu hanya Umno parti yang boleh membela nasib mereka.

Seperti mana disentuh Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani dalam ucapan penggulungannya bahawa naratif orang Melayu memerlukan Umno perlu ditukar kepada Umno yang memerlukan sokongan orang Melayu.

Ia penting bagi meyakinkan orang Melayu serta memastikan kepentingan orang Melayu, Islam sentiasa menjadi pasak kepada perjuangan Umno.

Bergerak solo?

Bergerak solo ataupun bersama rakan gabungan, perkara itu juga turut dibincangkan dalam PAU kali ini secara serius.

Pemuda Umno melalui Ketuanya, Dr Akmal Saleh membayangkan parti itu perlu bergerak solo dalam PRU14 untuk menjadi parti yang dominan jika berada dalam kerajaan.
Malah Akmal menetapkan tanda aras agar BN dapat mencapai kemenangan dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat dalam PRU16 nanti.

Namun, Ahmad Zahid pula berpendapat Umno perlu melihat dinamika politik sebelum membuat keputusan untuk bergerak solo ataupun bersama rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan.

Ia kata Zahid selaras dengan perubahan masa yang manyaksikan kerjasama politik antara parti tidak hanya berlaku di Malaysia namun juga membabitkan negara lain di dunia.

Katanya, sokongan ahli Umno semata-mata tidak mampu untuk memenangkan parti itu kerana yang menjadi penentu adalah pengundi luar yang jauh lebih besar.

Ketika Ahmad Zahid membayangkan tiada keperluan untuk Umno bergerak solo, timbalannya pula, Mohamad Hasan mengatakan tidak adil untuk menilai dan membuat keputusan pada masa ini.

Mohamad berpendapat keputusan untuk bergerak solo atau bekerjasama dengan parti lain hanya akan dibuat apabila tiba masanya iaitu ketika menghadapi pilihan raya kelak.
Keperluan untuk menetapkan keputusan Umno perlu bergerak solo ataupun bersama rakan gabungan harus diputuskan segera bagi memudahkan gerak kerja serta membina keserasian sebelum memasuki gelanggang PRU16.

Agenda bebaskan Najib

Pentas PAU kali ini juga turut menepis persepsi bahawa perjuangan pembebasan Najib Razak bukan lagi agenda Umno pimpinan Ahmad Zahid seperti mana dakwaan pihak tertentu.

Membuktikan pembebasan bekas perdana menteri itu satu agenda berterusan parti, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dasuki memaklumkan usul pengampunan penuh Najib paling banyak diterima pada persidangan parti itu.
Daripada 171 bahagian usul yang diterima, 72 bahagian Umno mengusulkan mengenai pembebasan penuh bekas presiden Umno itu.

Ahmad Zahid pada akhir ucapannya pada sesi penggulungan pula turut memberi jaminan sekali lagi bahawa Umno akan terus berusaha membawa keluar Najib yang kini terkurung di sebalik tirai besi.

Mengakhiri PAU2024, Ahmad Zahid mendedikasikan sebuah puisi buat "sahabatnya" itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-