Tuesday, August 27, 2024

Pemimpin Bersatu dakwa Zahid tipu dan kelirukan Agong

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 27, 2024 12:12 PM
 
Ketua Penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz hari ini tampil mendakwa susulan pendedahan Muhyiddin Yassin yang dia telah mendapat 115 akuan berkanun (SD) yang menyokongnya sebagai perdana menteri, maka kerajaan hari diandaikan tidak mempunyai majoriti yang diperlukan ketika mengangkat sumpah.

Justeru, kata bekas pemimpin Umno Putrajaya itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi perlu menjawab tuduhan-tuduhan berkenaan.
“Zahid didakwa telah menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong dengan mendakwa beliau mempunyai semua 30 SD dan sokongan penuh daripada 30 ahli parlimen BN untuk menamakan Anwar sebagai perdana menteri, yang boleh dianggap sebagai satu kesalahan serius.

“Berdasarkan dakwaan serius ini, Zahid harus menghadapi tindakan undang-undang, dan Anwar perlu menunjukkan bukti bahawa beliau mempunyai sokongan yang mencukupi pada 21 dan 23 November 2022 sebelum mengangkat sumpah sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Muhyiddin selepas siasatan pada 21 Ogos lalu memaklumkan dia telah menyerahkan 115 SD yang menyokong dirinya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022 kepada polis.
Dia juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan daripada setiausaha sulit kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dia juga menyebut bahawa turut disertakan bersama adalah 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (GPS - 22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS - 6), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM - 1), serta SD daripada 10 ahli Parlimen BN dan dua ahli Parlimen bebas.

SD itu dikatakan dikumpul sejurus selepas PRU15, yang berakhir dengan parlimen yang tergantung.

GPS dan GRS pada mulanya dikatakan menyokong Muhyiddin, tetapi kemudiannya menukar sokongan mereka kepada Anwar susulan titah Al-Sultan Abdullah yang menasihatkan ahli Parlimen untuk membentuk "kerajaan perpaduan".
Sehari kemudian, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tampil menjelaskan 10 SD daripada ahli parlimen BN itu adalah tidak sah.

Ini kerana, katanya ahli parlimen BN telah menandatangani tiga dokumen yang menyerahkan kuasa kepadanya sebagai presiden parti, mengakui mana-mana kerusi yang dimenangi adalah milik parti, dan perjanjian untuk membayar denda RM100 juta jika mereka keluar parti atau menyokong orang lain, jelasnya.

Selain itu, menurut Zahid, 115 SD yang dikatakan itu termasuk 10 SD daripada ahli parlimen BN yang menandatangani dua SD.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, dakwaan terdapat 10 atau lebih SD bertindih daripada ahli parlimen BN yang sama tidak boleh dipercayai.

“Ini, kerana mereka tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong kenyataan ini.

“Zahid (juga) dilaporkan telah menghalang 28 ahli Parlimen lain daripada menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 23 November, yang mungkin merupakan satu tindakan khianat dan jenayah di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

“(Justeru), semua 30 SD dan sokongan penuh daripada 30 ahli parlimen BN untuk menamakan Anwar sebagai perdana menteri, yang boleh dianggap sebagai satu kesalahan serius,” katanya.

Oleh itu, katanya, undi percaya sekarang untuk membuktikan keabsahan kerajaan hari ini seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak adalah hanyalah pembaziran masa.

“Isu sebenar yang perlu dijawab oleh Anwar dan Zahid adalah jauh lebih besar dan penting, kerana di mata rakyat, mereka mesti menjawab tuduhan-tuduhan sekarang yang terpalit dengan diri mereka,” katanya lagi.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-