Tuesday, January 28, 2025

Razman, tunggu surat saman saya - Hannah Yeoh

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 28, 2025 10:47 AM
Hannah Yeoh menyelar kesilapan terbaru oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang secara salah menyebut menteri belia dan sukan itu anak pengasas YTL Corporation Berhad, Yeoh Tiong Lay.

Menerusi platform X, Yeoh memberi amaran tentang tindakan undang-undang terhadap Razman, yang semalam memohon maaf atas kesilapannya semasa ucapan selama 30 minit baru-baru ini, dengan satu minit petikan dakwaan tersebut menjadi tular.

“Sebenarnya ucapan Razman Zakaria Pesuruhjaya PAS Perak yang menuduh saya macam-macam melebihi satu minit.

"Nantikan surat daripada peguam saya. Fitnah tidak boleh dibenarkan menjadi satu kebiasaan terutamanya oleh orang yang beragama,” kata ahli parlimen Segambut itu.
Semalam, pesuruhjaya PAS Perak itu mengaku salah kerana mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebagai “anak YTL”.

Razman yang juga Adun Semanggol, Perak turut memohon maaf kepada Yeoh dan kumpulan YTL atas kesilapannya itu.

“Saya mengakui kesilapan fakta tentang kaitan Hannah Yeoh dan syarikat gergasi YTL. Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL. Ia kesilapan petikan yang berlaku tanpa sengaja

“Dengan kenyataan ini saya menyatakan kekesalan dan pernyataan maaf kepada pihak YB Hannah Yeoh dan YTL serta mana mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kenyataan atas kekeliruan fakta tersebut,” katanya melalui satu kenyataan.
Razman dalam ceramah malam kelmarin mendakwa pemimpin DAP itu sebagai “anak YTL”.

Kumpulan YTL diasaskan oleh mendiang Yeoh Tiong Lay. Anaknya Francis Yeoh Sock Ping kini menjadi pengerusi eksekutif.

Yeoh bagaimanapun menjawab “bukan semua Yeoh ada pertalian keluarga.”

Mengulas lanjut, Razman bagaimanapun menyalahkan media kerana “mengerat” video panjang ceramahnya untuk dijadikan tajuk berita.
“Ucapan saya yang dipetik Malaysiakini adalah ayat yang bukan isi utama apatah lagi ceramah tersebut menampilkan tiga tokoh utama,” katanya.

Ini permohonan maaf kedua Razman kepada pemimpin DAP dalam tempoh tidak sampai dua bulan.

Pada 11 Disember lalu, Razman memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming kerana mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China di Teluk Intan pada 24 Okt.

Kenyataan kontroversi terbaru daripada Razman dibuat tidak lama selepas Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad, juga daripada PAS, membayar lebih RM830,000 kepada peguam tiga pemimpin DAP setelah kalah saman dalam kes yang hampir serupa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-