Showing posts with label 'Nothing To Hide'. Show all posts
Showing posts with label 'Nothing To Hide'. Show all posts

Monday, August 14, 2017

Selepas forum PPBM diserang, PAS seru 'politik matang'

Faiz Zainudin 
August 14, 2017

Pemimpin PAS turut berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional.

PETALING JAYA: Pemimpin PAS hari ini melahirkan kekesalan dengan insiden serangan di sebuah forum anjuran Pemuda PPBM di Shah Alam semalam ketika Tun Dr Mahathir Mohamad berucap, sambil berkata ia menunjukkan kepentingan “politik matang”, slogan yang kerap digunakan parti itu.

“PAS mengajak seluruh pimpinan politik dan rakyat agar melakukan perubahan pendekatan politik yang lebih matang, selaras dengan perkembangan dan kemajuan negara,” kata Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Politik cerca, maki hamun, fitnah dan provokasi sangat tidak sesuai dengan budaya dan iklim masyarakat Malaysia kini,” katanya sambil menambah hak bersuara dijamin Perlembagaan Negara.

Beliau turut mendesak siasatan rapi dijalankan untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

PAS bukan merupakan sebahagian Pakatan Harapan, gabungan pembangkang yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM. Sebaliknya, parti itu menganjurkan sebuah lagi blok dinamakan Gagasan Sejahtera.

Parti Islam itu juga sejak kebelakangan ini dikritik pembangkang lain atas hubungan lebih mesra dengan Umno, yang menurutnya adalah sebahagian daripada apa yang dinamakan “politik matang dan sejahtera”.

Semalam, kekecohan tercetus di forum “Nothing to Hide” selepas beberapa objek termasuk suar dan kasut dibaling ke arah pentas, kurang 2 jam selepas forum bermula.

Ia menyebabkan aksi baling kerusi dan pergaduhan melibatkan penyokong PPBM dan beberapa remaja yang dituduh mencetuskan huru hara.

Polis menahan 3 remaja yang diberkas penganjur, dan kecederaan ringan melibatkan beberapa hadirin dilaporkan.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz turut menyatakan kekesalan, dan berkata semua pihak perlu bertindak rasional sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu perkara.

“Ia kejadian yang dikesalkan, walaupun saya tidak tahu cerita sebenar,” kata ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu kepada FMT.

“Saya harap pihak polis dapat menyiasat dan bertindak cepat dan dengan profesional.”

Nik Abduh turut menyeru ke arah “politik matang dan sejahtera”.

“PAS yakin rakyat akan lebih selamat dan bersedia melakukan perubahan dalam negara melalui politik matang dan sejahtera,” katanya.

Friday, June 5, 2015

Ini karma untuk Mahathir, kata pemimpin KEADILAN

(Oleh: Nadia Hanafi)

KUALA LUMPUR 5 JUN- Ibarat hukum karma, itu mungkin istilah yang tepat bagi menggambarkan keadaan dihadapi Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Pagi ini kecoh satu Malaysia apabila polis menghentikan ucapan mantan Perdana Menteri itu dalam satu majlis bertajuk ‘Nothing To Hide’ yang bertujuan membincangkan isu 1MDB.


Sebelum majlis bermula, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan majlis dialog NGO bersama Perdana Menteri itu dibatalkan dengan alasan ketenteraman awam.

Majlis yang sepatutnya dihadiri Datuk Seri Najib Razak itu kemudian bertukar menjadi majlis dialog bersama Mahathir.

Ekoran itu, ucapan Mahathir bukan sahaja dihentikan pihak polis, bahkan pembesar suaranya dimatikan dan beliau diiringi keluar dari Dewan Tun Hussein Onn.

Pemimpin KEADILAN menyifatkan apa yang dilalui Mahathir hari ini, adalah sama seperti apa yang pernah dilakukannya terhadap pemimpin pembangkang selama 22 tahun berkuasa.

Sepanjang pentadbirannya, Mahathir menggunakan pelbagai akta drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak untuk menyekat kebebasan bersuara di negara ini.

“Tun Mahathir jadi mangsa kepada budaya dan perangai yang dia sudah bentuk ketika dia berkuasa dahulu. Sekarang dia sudah dapat balasan dari peninggalannya.

“Saya harap beliau buka mata orang Umno yang kuat sokong akta hasutan apabila perkara ini terjadi kepada diri sendiri,” kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli di laman sosial Twitter.

Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari di laman Twitternya turut menyifatkan bahawa pada sesetengah orang, ini mungkin karma bagi Mahathir.

“Ini jadi #something2Hide. Ada yang pandang dia hero, ada yang pandang ia satu karma,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendren berkata Mahahir telah ‘disenyapkan’ oleh amalan kuku besi yang diamalkannya sendiri sewaktu menjadi Perdana Menteri.

“Dr M disenyapkan oleh negara kuku besi yang dia sendiri cipta,” sindirnya di laman sosial itu.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Azmizam Zaman Huri pula berkata Mahathir tidak menyalahkan Perdana menteri semata-mata.

“Dulu Dato’ Seri @anwaribrahim kena macam ni semasa zaman Tun Mahathir berkuasa sebagai PM… Sekarang Dato’ Seri Najib yang berkuasa… So Tun Mahatir jangan salahkan Dato’ Seri Najib pula sebab ini semua ajaran Tun Mahathir jugak hahaha…,” sindirnya.

Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaikh Ismail pula mempersoalkan tindakan ketua polis negara memberi arahan membatalkan sesi dialog tersebut disebabkan faktor keselamatan.

“Dibatalkan atas alasan keselamatan…Bayangkan keselamatan PM di tempat awam pun PDRM tak boleh jamin apatah lagi keselamatan RAKYAT.. #1MDB,” tulis beliau.

Lagi satu tweetnya berbunyi “Tun jangan nak opocot sangat la Najib tak datang hari ni, Tun pun masa kita mintak debat dengan DSAI (Anwar) dulu tak datang juga kan,” tulisnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-