Showing posts with label Abdul Azzez Abdul Rahim. Show all posts
Showing posts with label Abdul Azzez Abdul Rahim. Show all posts

Wednesday, January 16, 2019

Azeez berdepan 12 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Faisal Asyraf 
Diterbitkan Hari ini 11:17 tengahari 


Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM144.6 juta, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dihadapkan dengan tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Untuk pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa menerima RM5.2 juta daripada Pengarah Menuju Asas Sdn Bhd Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai habuan kerana membantu syarikat itu mendapat projek pembinaan lebuh raya dan penambahbaikan jalan di Perak dan Kedah.

Transaksi dikatakan berlaku antara Disember 2010 hingga April 2018.

Bagi setiap pertuduhan, Abdul Azeez yang juga bekas pengerusi Tabung Haji boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda lima suapan, mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit bersalah.

Untuk pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa menerima wang haram bernilai sehingga RM139.41 juta daripada empat syarikat iaitu Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd.

Transaksi dikatakan berlaku antara 10 Mac 2010 hingga 30 Ogos 2018.

Sementara itu, abangnya Abdul Latif Abdul Rahim juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez berkenaan suapan berjumlah sehingga RM4 juta berhubung projek lebuh raya bernilai RM644.48 juta.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM800,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Azeez, dan RM500,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Latif.

[Berita lanjut menyusul]

Tuesday, December 11, 2018

Azeez persoal Mujahid isu Tabung Haji

Yasmin Ramlan
Diterbitkan 11 Dis 2018


Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim mempertikaikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa semalam berkaitan kedudukan kewangan badan berkanun itu.

Katanya, Mujahid tidak menyentuh langsung berkenaan laporan Tabung Haji oleh syarikat Ernst&Young (E&Y).

Menurut anggota Parlimen Baling itu, laporan E&Y tersebut dari tahun 2015 hingga 2017 menunjukkan lebihan aset.

"Apa yang dinyatakan dalam sidang akhbarnya tidak tepat.

"Menteri tidak mengambil kira laporan E&Y dalam menilai nilai realis aset keseluruhan melibatkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah.

“Apa yang diambil kira hanya laporan kewangan semata-mata," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Katanya, Mujahid sebaliknya hanya menyebut tentang laporan audit pada 31 Disember 2017 dengan RM4.1 bilion defisit yang dijalankan oleh juruaudit bebas dari syarikat Price Waterhouse Coopers (PwC), iaitu dilantik selepas pengurusan baharu.

Friday, November 30, 2018

Tabung Haji buat laporan polis terhadap Azeez, pengurusan kanan

Diterbitkan 30 Nov 2018, 11:12 malam


Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi agensi itu yang juga Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Laporan juga dibuat terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya, Ismee Ismail dan Johan Abdullah.

Turut dinamakan ialah pengurusan kanan iaitu Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan Rozaida Omar, penasihat undang-undang Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah, Rifina Md Ariff.

Menurut kenyataan hari ini, TH berkata laporan pertama dibuat berhubung Program Yayasan Tabung Haji 2017 melibatkan dana lebih RM22 juta.

YTH ditubuhkan pada tahun 2016 yang antara lain untuk melaksanakan bantuan kemanusiaan dan menghulurkan sumbangan kepada golongan miskin serta mereka yang memerlukan.

"Para pemegang amanah YTH ketika itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Ali dan Rozaida," kata lembaga itu.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlina dan Rifina berhubung tindakan menyembunyikan maklumat penting melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikat TH - TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd.

"Laporan yang dibuat hari ini adalah siasatan dalaman pertama pengurusan baru yang dilantik sejak Julai 2018 terhadap transaksi masa lalu," kata lembaga itu.

Ini adalah minggu kedua berturut-turut di mana Ismee - sekutu bekas perdana menteri Najib Razak - mendapat liputan negatif media.

Minggu lalu, Ismee bersama beberapa yang lain disaman oleh Felda Global Ventures Bhd bagi mendapatkan semula RM514 juta berhubung pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada tahun 2014.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-