Showing posts with label Beras Putih Tempatan (BPT). Show all posts
Showing posts with label Beras Putih Tempatan (BPT). Show all posts

Thursday, February 27, 2025

Skandal beras: Kerajaan ‘bersilat’ sementara rakyat ditipu hidup-hidup

harakahdaily.net
February 27, 2025
Ahmad Fadhli Shaari

Sekali lagi, kerajaan berjaya menampilkan kebolehannya dalam satu perkara: membiarkan rakyat ditipu tanpa tindakan tegas. Kali ini, skandal yang terbongkar melibatkan makanan ruji rakyat Malaysia – beras. Kajian terbaru oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati bahawa 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang diuji didapati telah dicampur dengan beras putih tempatan (BPT). Ini bukan sahaja satu bentuk penipuan ke atas pengguna, tetapi juga mengancam keterjaminan makanan negara.

Penipuan ini bukanlah perkara baharu. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai laporan mengenai manipulasi harga dan kualiti beras telah didedahkan. Oktober 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar satu sindiket penipuan dalam pembekalan beras yang melibatkan sebuah syarikat di Kedah. Syarikat ini menerima kontrak bernilai lebih RM100 juta setahun tetapi gagal membekalkan beras seperti yang dijanjikan. Hasilnya? Kenaikan harga beras tempatan, kekurangan bekalan di pasaran, dan rakyat dipaksa membeli beras pada harga yang lebih tinggi. Namun, adakah kita mendengar tindakan tegas kerajaan? Tidak.

Jika benar terdapat bekalan beras putih tempatan yang dicampur dengan beras import, persoalan yang lebih besar timbul: dari mana datangnya beras tempatan ini? Pada tahun 2023, kerajaan mengumumkan bahawa pengeluaran beras putih tempatan adalah sekitar 1.57 juta tan metrik setahun, mencukupi untuk memenuhi 62% permintaan dalam negara. Namun, sejak kebelakangan ini, beras tempatan sering mengalami kekurangan bekalan. Adakah ini bermaksud ada pihak yang mengambil kesempatan dengan ‘mengalihkan’ beras tempatan ke pasaran lain dan seterusnya mencampurkannya ke dalam beras import untuk mendapatkan keuntungan lebih tinggi? Jika ya, ini adalah satu pengkhianatan besar terhadap rakyat.

Mengapa manipulasi ini berlaku? Salah satu punca utama adalah kelemahan dalam sistem kawal selia industri beras di Malaysia. Tiada akta khusus yang melarang pencampuran BPT dengan beras import, menyebabkan eksploitasi berleluasa. Lebih parah, kerajaan sendiri masih dalam ‘perbincangan’ untuk memperkenalkan peraturan baharu. Dengan kata lain, kerajaan mengaku mereka sedar tentang masalah ini, tetapi masih tidak bertindak tegas. Mungkinkah mereka sedang menunggu lebih ramai rakyat tertipu sebelum bertindak?

Pada tahun 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penuh semangat berjanji akan mengheret mereka yang terlibat dalam skandal ini ke muka pengadilan. “Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menipu rakyat,” katanya. Namun, berkali-kali janji PMX ini sukar untuk dipercayai. Rakyat masih menunggu, tetapi seperti biasa, janji hanya tinggal janji. Ditambah pula dengan jawapan Perdana Menteri dalam sesi PMQT beberapa minggu lepas di Dewan Rakyat seolah-olah isu ini sudah selesai. Rupa-rupanya lebih teruk dari itu!

Siapakah yang Perlu Dipertanggungjawabkan?

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) – Seharusnya kementerian ini menjadi benteng utama dalam memastikan pengurusan beras negara adalah telus dan berintegriti. Malangnya, setakat ini, mereka hanya memberikan kenyataan ‘akan menyiasat’ tanpa tindakan konkrit.

MARDI – Walaupun berjaya membongkar skandal ini, mereka tidak boleh sekadar mengeluarkan laporan tanpa menggesa tindakan lebih tegas. Laporan polis harus segera dibuat terhadap pihak yang bersalah.

Syarikat Pemborong dan Pembekal Beras – Siapa yang mendapat manfaat daripada pencampuran ini? Adakah syarikat-syarikat tertentu yang telah lama memonopoli industri beras terlibat? Jika ya, SPRM wajar menyiasat segera.

Kerajaan – Akhirnya, segala kelemahan ini berpunca daripada dasar yang tidak ketat dan penguatkuasaan yang longgar. Kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini.

Kalau dahulu, sudah tentu Pakatan Harapan akan mendesak menteri yang terlibat meletak jawatan. Tapi kali ini, kita tidak mahu desakan seperti itu. Mengapa? Kerana walaupun menteri letak jawatan, jika Perdana Menteri masih orang yang sama, masalah tetap tidak akan selesai. Oleh itu, hadap dan selesaikan masalah ini segera sementara masih ada mandat. Jangan tunggu pilihan raya akan datang, kerana selepas itu, boleh jadi kamu tidak lagi punya peluang untuk bertindak.

Percayalah, rakyat sudah muak dengan alasan dan janji kosong. Beberapa langkah drastik perlu segera diambil:MARDI atau KPKM harus segera membuat laporan polis dan memburu pihak yang terlibat dalam skandal ini.
SPRM perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sama ada wujud unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam industri beras.
Akta khas perlu digubal segera bagi melarang pencampuran beras tempatan dengan beras import tanpa kawalan ketat.
Syarikat yang terlibat dalam manipulasi bekalan beras wajib dikenakan tindakan tegas, termasuk denda berat dan penarikan lesen operasi.

Kerajaan tidak boleh terus bermain wayang dan mengalihkan perhatian rakyat dengan isu-isu lain sementara skandal besar seperti ini berlaku di depan mata. Ini adalah soal kepercayaan rakyat dan keterjaminan makanan negara. Dan untuk rakyat, percayalah inilah akibatnya jika memilih orang yang salah untuk memimpin negara. Baginya, lebih baik menjadi hero di pentas dunia berbanding membela nasib rakyatnya sendiri. Itupun, kelihatan pentas dunia tidaklah mengiktirafnya sebagai hero!

KETUA PENERANGAN PAS MALAYSIA/ AHLI PARLIMEN PASIR MAS
AHMAD FADHLI SHAARI

Friday, January 24, 2025

Hasil beras meningkat, tapi tiada dipasaran

harakahdaily
January 24, 2025

Kelemahan pengurusan bekalan atau propaganda politik?
JOHOR BAHRU: Kerajaan gagal menyelesaikan masalah ketiadaan beras putih tempatan (BPT) walaupun lebih setahun janji telah diberikan, selain turut menimbulkan persoalan sama ada berpunca daripada kelemahan pengurusan bekalan atau sekadar propaganda politik.

Ketua Penerangan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni sehubungan itu mendesak kerajaan memberikan penjelasan telus mengenai isu ketiadaan BPT di pasaran, meskipun laporan menunjukkan peningkatan penghasilan di beberapa negeri.

“Apakah ini suatu pendustaan semata-mata atau ia hanya propaganda penyedap mulut untuk bercakap? Ingatlah setiap tanggungjawab itu pasti akan dipersoalkan pada hari akhirat.

“Adakah beras tempatan itu tiba-tiba berubah menjadi beras import atau ia dihanyutkan air bah musim tengkujuh, atau macam-macam teori dan propaganda lain lagi yang kadang-kadang tidak boleh diterima akal,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Abu Irfan berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu berlaku adil dan telus dengan mengetepikan kepentingan politik yang boleh mengganggu urus tadbir negara.

“Apa juga keadaan, kerajaan melalui kementerian berkenaan perlu tampil memberikan penjelasan secara telus kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku. Usah sembunyi bangkai, baunya tetap terhidu jua,” katanya.

Selasa lalu, Ketua Petugas Khas Pemantauan kepada Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) menyifatkan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu BPT yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai NACCOL berkata, Mohamad tidak bertanggungjawab untuk serius menangani isu keterjaminanan makanan itu untuk rakyat.

Beliau juga mempertikaikan peranan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras yang dilihat tidak berkesan dalam membantu menteri mencari penyelesaian dan hanya menjanjikan kajian demi kajian tetapi tidak ada kesudahan. 

– HARAKAHDAILY 24/1/2025

Friday, September 29, 2023

'Mana pergi beras tempatan, minyak masak?'

bharian.com.my
Oleh Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my
September 29, 2023 @ 3:35pm
Hanya beras import kelihatan di sebuah pasar raya di Sungai Balang, Muar susulan kekurangan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) sejak beberapa minggu lalu. - Foto NSTP/Alias Abd Rani

MUAR: "Kami di sini sudah sebulan tak nampak beras tempatan, yang ada beras import," kata Zainab Ali, 49, susulan ketiadaan beras tempatan di sekitar Sungai Balang serta kawasan berdekatan.

Malah, katanya, bekalan minyak masak paket juga sudah lama tidak kelihatan sejak beberapa minggu lalu.

"Kalau cari sekitar Sungai Balang atau mana-mana kawasan memang tiada. Kami di sini berhadapan masalah kekurangan bekalan beras tempatan, minyak masak dan gula.

"Ini bukan baru berlaku tetapi sudah berminggu-minggu, gula kalau ada pun bekalan tidak banyak. Kami harap pihak berkuasa selesaikan masalah ini.

"Bayangkan penduduk di sini bukannya berkemampuan sebahagian besar bekerja kampung. Untuk beli beras import mungkin berfikir dua kali atau pun terpaksa," katanya ditemui, hari ini.

Bagi peniaga, Jamilah Saleh, 55, dia berhadapan masalah menggunakan beras import untuk menghasilkan jualan pagi seperti ketupat nasi.

"Sebelum ini, kami menggunakan beras tempatan dan ketupat nasi menjadi tapi bila guna beras import, ia jadi lembik. Banyak kali kami cuba tapi tetap berlaku perkara sama.

"Nak tak nak, terpaksalah beli beras import. Kami tiada pilihan selepas bekalan beras tiada," katanya.

Sementara itu, ADUN Sungai Balang, Selamat Takim, berkata beliau akan mengajukan perkara itu kepada pihak berkaitan. Beliau juga sudah membuat pemeriksaan dan mendapati tiga barang keperluan terbabit sukar diperoleh.

"Bekalan beras tempatan memang sukar didapati di kawasan saya. Selain itu, gula dan minyak bersubsidi juga terhad, saya mahu ajukan perkara ini kepada pihak berkenaan," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-