Showing posts with label Kerajaan Gagal. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan Gagal. Show all posts

Friday, January 24, 2025

Hasil beras meningkat, tapi tiada dipasaran

harakahdaily
January 24, 2025

Kelemahan pengurusan bekalan atau propaganda politik?
JOHOR BAHRU: Kerajaan gagal menyelesaikan masalah ketiadaan beras putih tempatan (BPT) walaupun lebih setahun janji telah diberikan, selain turut menimbulkan persoalan sama ada berpunca daripada kelemahan pengurusan bekalan atau sekadar propaganda politik.

Ketua Penerangan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni sehubungan itu mendesak kerajaan memberikan penjelasan telus mengenai isu ketiadaan BPT di pasaran, meskipun laporan menunjukkan peningkatan penghasilan di beberapa negeri.

“Apakah ini suatu pendustaan semata-mata atau ia hanya propaganda penyedap mulut untuk bercakap? Ingatlah setiap tanggungjawab itu pasti akan dipersoalkan pada hari akhirat.

“Adakah beras tempatan itu tiba-tiba berubah menjadi beras import atau ia dihanyutkan air bah musim tengkujuh, atau macam-macam teori dan propaganda lain lagi yang kadang-kadang tidak boleh diterima akal,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Abu Irfan berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu berlaku adil dan telus dengan mengetepikan kepentingan politik yang boleh mengganggu urus tadbir negara.

“Apa juga keadaan, kerajaan melalui kementerian berkenaan perlu tampil memberikan penjelasan secara telus kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku. Usah sembunyi bangkai, baunya tetap terhidu jua,” katanya.

Selasa lalu, Ketua Petugas Khas Pemantauan kepada Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) menyifatkan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu BPT yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai NACCOL berkata, Mohamad tidak bertanggungjawab untuk serius menangani isu keterjaminanan makanan itu untuk rakyat.

Beliau juga mempertikaikan peranan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras yang dilihat tidak berkesan dalam membantu menteri mencari penyelesaian dan hanya menjanjikan kajian demi kajian tetapi tidak ada kesudahan. 

– HARAKAHDAILY 24/1/2025

Friday, February 16, 2024

Kerajaan gagal: Beras Madani lagi mahal dari beras SST

harakahdaily
February 16, 2024
Ir Ts Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR: PAS sangat terkilan dan bersimpati dengan nasib rakyat apabila harga siling beras 10 kilogram (kg) dinaikkan sebanyak 15 peratus daripada RM26 kepada RM30 tanpa memikirkan nasib golongan B40.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, Kerajaan Madani gagal dalam menangani isu ketiadaan beras Super Spesial Tempatan (SST) yang dimanipulasi oleh kartel beras.

“Sehingga menyebabkan kekurangan bekalan beras apabila berlakunya penukaran gred atau percampuran beras tempatan menjadi import sekali gus mengaut lebih keuntungan,” ujar beliau di dalam satu kenyataan pada hari ini.

Menurut beliau, kelemahan penguatkuasaan oleh Kerajaan Madani menurut melalui KPDNHEP dan KPKM dilihat gagal menyekat aktiviti yang bertujuan meraih keuntungan berlebihan iaitu mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import.

PAS tambah beliau, kesal dengan solusi mudah yang diambil Kerajaan Madani untuk menjenamakan SST kepada Beras Madani seterusnya menaikkan harga.

“Pengguna dan rakyat menjadi mangsa kerana terpaksa membeli Beras Madani pada harga yang lebih tinggi RM3.50 sekilogram berbanding harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5) di peringkat runcit iaitu RM2.60 sekilogram sebelum ini, seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri pada 19 September 2023 yang menjamin harga beras tempatan tidak naik, di kala pengguna menghadapi segala bentuk kenaikan kos hidup yang lain,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerantut.

Kerajaan tegas beliau, sepatutnya berada di pihak pengguna dengan membanteras aktiviti pemain industri beras yang mencampurkan beras putih tempatan dan beras putih import ini, bukan dengan merestui tindakan ini dan menjualnya dengan harga lebih tinggi.

“Pengumuman ini juga menimbulkan kekeliruan kepada pengguna sama ada selepas ini adakah jualan beras Super Spesial Tempatan dan Super Spesial Import akan diberhentikan sepenuhnya dan hanya ada beras putih Malaysia Madani yang boleh dijual pasaran?

“PAS juga melihat kecelaruan yang berlaku dalam Kerajaan Madani apabila berlakunya pertembungan kepentingan di antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Pengerusi Task Force Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL).

“Kerana mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, perkara berkaitan harga dan kawalan beras hanya boleh dibuat oleh Menteri bertanggungjawab.

“Janganlah hanya kerana hendak menunjukkan kebolehan sendiri selepas dilantik oleh Perdana Menteri, tatacara, bidang kuasa serta urus tadbir negara ini menjadi cacamerba,” ujar beliau. 

HARAKAHDAILY 16/2/2024

SUMBER   Oleh ZAID ADHAR

Tuesday, September 7, 2021

Umno dibelenggu bayangan #KerajaanGagal

freemalaysiatoday.com
Imran Ariff
-September 7, 2021 9:00 AM

Azalina Othman Said berkata, kecaman terhadap pentadbiran Muhyiddin Yassin tetap boleh dilemparkan terhadap Umno, sekalipun orang lain kini menjadi Perdana Menteri, iaitu seorang pemimpin Umno, Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA: Bayangan #KerajaanGagal masih membelenggu Umno, malah sesuatu yang membimbangkan parti itu ketika negara beralih ke fasa baharu kepimpinan, kata seorang ahli Majlis Kerja Tertingginya (MKT).

Azalina Othman Said berkata, kecaman terhadap pentadbiran Muhyiddin Yassin, yang membawa kepada peletakan jawatannya, tetap boleh dilemparkan terhadap Umno, sekalipun orang lain kini menjadi Perdana Menteri, iaitu seorang pemimpin Umno, Ismail Sabri Yaakob.

“Antara perkara paling membimbangkan bagi parti ini adalah liabiliti #KerajaanGagal. Memang parti bimbang dikaitkan dengannya,” katanya kepada FMT.

“Pengisytiharan darurat, penutupan Parlimen selama lebih enam bulan dan sekali lagi pada hari terakhir persidangan – semuanya berkaitan dengan kebertanggungjawaban kepada pengundi.”

Kerajaan yang terdahulu kerap dikritik atas caranya menangani wabak, yang juga menjadi antara punca beberapa Ahli Parlimen Umno, termasuk Azalina, menarik balik sokongan kepada Muhyiddin bulan lepas.

Kehilangan sokongan itu mengakibatkan Muhyiddin kehilangan majoriti seterusnya tiada pilihan selain meletak jawatan, memberi laluan kepada Ismail menggantikannya.

Azalina berkata, Umno kini mesti sedar yang kesilapan sesuatu parti dalam kerajaan juga akan memberi gambaran buruk terhadap Umno.

“Malangnya, Umno bukan kerajaan, Umno hanya sebahagian daripada kerajaan. Apa yang dilakukan kerajaan, Umno akan mendapat tempias sama ada perkara baik atau buruk,” katanya.

Tambahnya, Umno perlu berhati-hati bagaimana ia melakar haluan baharu untuk negara ini, terutamanya apabila mengambil kira perlu menjaga hati parti komponen.

“Kini kita memang pemandunya, tetapi bukan sepenuhnya. Kami bukan pemandu tunggal, ada pemandu lain juga.

“Jadi ke mana hala tuju kita? Ini sesuatu yang mesti diberi perhatian oleh parti kerana ia mampu menjejaskan kesetiaan pengundi,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-