Showing posts with label KPKM. Show all posts
Showing posts with label KPKM. Show all posts

Monday, January 27, 2025

Ahli Pesawah tetap berkumpul di sebalik nasihat PM tangguh perhimpunan

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-27 Jan 2025, 11:21 AM

Semalam, Anwar Ibrahim minta Pesawah tangguh perhimpunan ke tarikh lain susulan lawatan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Putrajaya hari ini.
Ahli Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) berkumpul seawal 8 pagi di hadapan ibu pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

PUTRAJAYA: Ahli Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mengadakan demonstrasi aman di depan Wisma Tani bagi menuntut harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 per tan metrik

Mereka berkumpul seawal 8 pagi di hadapan ibu pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan membawa sepanduk sambil melaungkan ‘hidup pesawah, naikkan harga padi’.

Difahamkan 10 daripada wakilnya ke bangunan Perdana Putra untuk menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang sepatutnya menjadi lokasi asal perhimpunan terbabit.

Turut hadir Adun Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menasihatkan pesawah yang hendak berhimpun di Putrajaya hari ini bagi menyerahkan memorandum supaya menangguhkannya ke suatu masa yang sesuai.

Beliau menegaskan kerajaan tidak menghalang mereka untuk berhimpun sebaliknya menjelaskan ia tidak sesuai dilakukan ketika lawatan Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Justeru, beliau mengarahkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengadakan perjumpaan dengan kumpulan terbabit dan mengambil memorandum berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Polis juga menasihati penganjur memilih tarikh lain, ekoran kawalan keselamatan dipertingkatkan sempena lawatan Prabowo.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan daripada RM1,200.

Anwar berkata keputusan itu dibuat mengambil kira rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per metrik tan sejak 2014.

Friday, January 24, 2025

Hasil beras meningkat, tapi tiada dipasaran

harakahdaily
January 24, 2025

Kelemahan pengurusan bekalan atau propaganda politik?
JOHOR BAHRU: Kerajaan gagal menyelesaikan masalah ketiadaan beras putih tempatan (BPT) walaupun lebih setahun janji telah diberikan, selain turut menimbulkan persoalan sama ada berpunca daripada kelemahan pengurusan bekalan atau sekadar propaganda politik.

Ketua Penerangan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni sehubungan itu mendesak kerajaan memberikan penjelasan telus mengenai isu ketiadaan BPT di pasaran, meskipun laporan menunjukkan peningkatan penghasilan di beberapa negeri.

“Apakah ini suatu pendustaan semata-mata atau ia hanya propaganda penyedap mulut untuk bercakap? Ingatlah setiap tanggungjawab itu pasti akan dipersoalkan pada hari akhirat.

“Adakah beras tempatan itu tiba-tiba berubah menjadi beras import atau ia dihanyutkan air bah musim tengkujuh, atau macam-macam teori dan propaganda lain lagi yang kadang-kadang tidak boleh diterima akal,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Abu Irfan berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu berlaku adil dan telus dengan mengetepikan kepentingan politik yang boleh mengganggu urus tadbir negara.

“Apa juga keadaan, kerajaan melalui kementerian berkenaan perlu tampil memberikan penjelasan secara telus kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku. Usah sembunyi bangkai, baunya tetap terhidu jua,” katanya.

Selasa lalu, Ketua Petugas Khas Pemantauan kepada Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) menyifatkan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu BPT yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai NACCOL berkata, Mohamad tidak bertanggungjawab untuk serius menangani isu keterjaminanan makanan itu untuk rakyat.

Beliau juga mempertikaikan peranan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras yang dilihat tidak berkesan dalam membantu menteri mencari penyelesaian dan hanya menjanjikan kajian demi kajian tetapi tidak ada kesudahan. 

– HARAKAHDAILY 24/1/2025

Wednesday, October 9, 2024

Bekalan pulih, penamatan subsidi telur ayam dipertimbang

bharian.com.my
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim 
bhnews@bh.com.my
- Oktober 9, 2024
Foto hiasan - BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam gred A, B dan C.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah menamatkan subsidi wajar dipertimbang sekiranya bekalan telur kembali pulih dan stabil.

Katanya, penjimatan daripada subsidi itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak.

"Justeru saya berpandangan, sudah tiba masanya kementerian ini mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C," katanya.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM927 juta bagi subsidi telur ayam.

Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan 3 sen untuk harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara.

Anwar berkata, langkah itu membabitkan subsidi 10 sen bagi sebiji telur ayam melibatkan perbelanjaan RM100 juta.

Wednesday, September 6, 2023

Giliran beras pulak

hmetro.com.my
Aqil Sharullizam dan Lydia Saiful
am@hmetro.com.my
PEKERJA menyusun peket beras ketika tinjauan harga beras di pasar raya di sekitar Shah Alam. FOTO AHMAD UKASYAH
Kuala Lumpur: Kenaikan harga beras putih import selain kesukaran untuk mendapatkan bekalan beras super spesial tempatan (SST) meresahkan orang ramai terutama mereka yang berkeluarga sehingga membebankan kewangan mereka.

Kebanyakan pengguna mendakwa kenaikan harga makanan ruji berkenaan menyebabkan mereka terpaksa membuat pilihan untuk membeli beras kampit seberat lima kilogram (kg) berbanding 10kg sebelum ini.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa pasar raya sekitar ibu kota mendapati berlaku peningkatan harga beras, manakala stok bagi beras SST sangat terhad selain terdapat beberapa premis turut kehabisan bekalan.

Pengguna, Aisyah Ramli, 37, berkata, kenaikan harga beras sangat dirasai apabila dia terpaksa menukar daripada membeli kampit beras 10kg kepada lima kg untuk menjimatkan perbelanjaan harian.

Menurutnya, disebabkan harga beras naik sejak minggu lalu, dia terpaksa beralih untuk membeli beras putih seberat lima kg sahaja.

"Baru-baru ini, saya lihat harga bagi beras putih biasa sahaja mencecah RM38 untuk kampit 10kg dan harga ini biasanya untuk beras import.

"Saya agak terkejut dengan kenaikan (harga beras) ini, (kerana) beras makanan harian dan apabila harganya meningkat secara tidak langsung memberi kesan kepada semua.

"Apabila makan di luar, nasi tambah pula dicaj antara RM2 hingga RM2.50 sepinggan berbanding RM1 sebelum ini," katanya.

Suri rumah Arina Ismail, 39, berkata, bukan sahaja harga beras yang menjadi masalah, malah bekalannya juga dilihat agak berkurangan di kedai-kedai.

"Kalau mahu cari beras tempatan agak sukar kerana tidak semua pasar raya dan kedai ada. Sebelum ini, bekalan beras mudah diperoleh, namun bekalan beras berkurangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

"Saya ada bertanya kepada pemilik kedai dan jawapan diberi ialah harga beras meningkat dan dia juga terpaksa mengurangkan bekalan," katanya.

Katanya, dia mendapati bukan sahaja harga beras yang naik, sebaliknya harga beberapa barangan keperluan lain juga semakin meningkat.

"Sekarang jika mahu beli barang dapur dengan membawa RM500 pun tidak mencukupi, tambahan pula apabila harga beras ini naik, perbelanjaan bulanan jadi tidak menentu dalam keadaan ekonomi merudum," katanya.

Pembeli yang mahu dikenali sebagai Siti, 70, berkata harga barangan keperluan harian ketika ini tidak menentu dan berbeza mengikut tempat.

"Oleh kerana ia barangan keperluan harian, sekali pun harga mahal atau murah tetap akan dibeli juga.

"Kita sebagai pengguna memang tiada pilihan, lebih-lebih lagi beras adalah makanan ruji bagi masyarakat di Malaysia," katanya.

Pesara Hasan Tajuri, 65, turut berkongsi pandangan apabila dia memaklumkan sentiasa membuat perbandingan harga beras di setiap pasar raya sebelum melakukan pembelian.

"Saya akan lihat dahulu harga barang di setiap pasar raya yang saya pergi, jika ada promosi baru saya akan beli.

"Justeru, saya berharap pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu seperti pemantauan dan kawalan terhadap harga beras yang meningkat," katanya.

Pelanggan kurang gemar beras SST

Segelintir peniaga kedai runcit di ibu negara mendakwa kurang mengambil bekalan beras super spesial tempatan (SST) kerana tidak mendapatkan permintaan berbanding beras putih import.

Peniaga kedai runcit, Zarina Abdullah, 46, berkata ini kerana pelanggannya lebih cenderung unuk membeli beras import berbanding beras SST.

"Kebanyakan pelanggan lebih menyukai beras import kerana dikatakan lebih sedap berbanding beras tempatan, dan harga beras import juga lebih stabil serta mudah diperoleh berbanding beras tempatan.

"Sekarang ketetapan harga beras tempatan belum diberitahu lagi oleh pembekal, buat masa sekarang memang ada kenaikan bagi harga beras (import).

"Harga untuk satu kilogram beras import yang saya jual adalah RM2 dan akan meningkat sebanyak 10 sen kepada RM2.10 mulai awal bulan ini.

"Bermula tahun ini, beras yang saya beli ini memang susah nak dapat untung yang banyak, sekampit yang saya jual hanya untung sebanyak 30 sen sahaja," katanya.

Peniaga kedai runcit lain, Ahaddee Mamat, 37, berkata dia menerima beras tempatan pada harga antara RM2 hingga RM3 sekampit daripada pembekal menyebabkannya terpaksa menaikkan harga jualan.

"Terdapat juga pembeli yang merungut akibat kenaikan harga beras sehinggakan saya terpaksa menerangkan keadaan semasa.

"Sebagai penjual, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana kami hanya menjual berdasarkan kadar harga yang diberikan oleh pembekal sahaja.

"Bagaimanapun, tetap ada pelanggan yang memahami keadaan dan masih membeli barangan keperluan (beras) meskipun harganya tidak menentu," katanya.

Sementara itu, peniaga nasi lemak, Hassan Tajuri, 65, berkata, dia amat terkesan akibat harga beras tambahan pula harga barangan keperluan lain turut mengalami kenaikan.

Menurutnya, akibat itu, dia terpaksa menaikan harga nasi lemak sebanyak 50 sen ketika ini berbanding RM1, namun saiz hidangan masih sama.
BEKALAN beras dengan harga baharu di sebuah pasar raya di Tamparuli.
Pantau pasaran hargaberas antarabangsa

Padiberas Nasional Bhd (Bernas) akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala.

Bernas turut mengambil langkah yang bersesuaian dalam meningkatkan dan menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk.

Pada masa sama, Bernas turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan serta rakan dagang antarabangsa.

Langkah itu bertujuan menjamin bekalan beras yang stabil kerana keselamatan makanan negara serta kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan pihaknya.

"Bernas berdepan separuh tahun pertama sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.

"Faktor itu secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini.

"Bernas juga menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.

Walaupun pasaran makanan global kini tidak menentu dan kian mencabar, Bernas kekal utuh dan berdaya saing.

Bernas juga kekal komited memastikan bekalan beras negara mencukupi dan menghalang kesan negatif akibat ketidaktentuan pasaran beras global semasa daripada melanda negara

"Itu adalah peranan kami sebagai gatekeeper (pengawal selia) tunggal bagi padi dan beras negara.

"Ia selaras dengan status Malaysia sebagai negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah," katanya.

Terdahulu, Bernas mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import di pintu gudangnya dekat seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik.

Ia berkuat kuasa mulai 1 September lalu sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Disiarkan pada: September 6, 2023 @ 12:00pm

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-