Showing posts with label minyak masak. Show all posts
Showing posts with label minyak masak. Show all posts

Friday, September 29, 2023

'Mana pergi beras tempatan, minyak masak?'

bharian.com.my
Oleh Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my
September 29, 2023 @ 3:35pm
Hanya beras import kelihatan di sebuah pasar raya di Sungai Balang, Muar susulan kekurangan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) sejak beberapa minggu lalu. - Foto NSTP/Alias Abd Rani

MUAR: "Kami di sini sudah sebulan tak nampak beras tempatan, yang ada beras import," kata Zainab Ali, 49, susulan ketiadaan beras tempatan di sekitar Sungai Balang serta kawasan berdekatan.

Malah, katanya, bekalan minyak masak paket juga sudah lama tidak kelihatan sejak beberapa minggu lalu.

"Kalau cari sekitar Sungai Balang atau mana-mana kawasan memang tiada. Kami di sini berhadapan masalah kekurangan bekalan beras tempatan, minyak masak dan gula.

"Ini bukan baru berlaku tetapi sudah berminggu-minggu, gula kalau ada pun bekalan tidak banyak. Kami harap pihak berkuasa selesaikan masalah ini.

"Bayangkan penduduk di sini bukannya berkemampuan sebahagian besar bekerja kampung. Untuk beli beras import mungkin berfikir dua kali atau pun terpaksa," katanya ditemui, hari ini.

Bagi peniaga, Jamilah Saleh, 55, dia berhadapan masalah menggunakan beras import untuk menghasilkan jualan pagi seperti ketupat nasi.

"Sebelum ini, kami menggunakan beras tempatan dan ketupat nasi menjadi tapi bila guna beras import, ia jadi lembik. Banyak kali kami cuba tapi tetap berlaku perkara sama.

"Nak tak nak, terpaksalah beli beras import. Kami tiada pilihan selepas bekalan beras tiada," katanya.

Sementara itu, ADUN Sungai Balang, Selamat Takim, berkata beliau akan mengajukan perkara itu kepada pihak berkaitan. Beliau juga sudah membuat pemeriksaan dan mendapati tiga barang keperluan terbabit sukar diperoleh.

"Bekalan beras tempatan memang sukar didapati di kawasan saya. Selain itu, gula dan minyak bersubsidi juga terhad, saya mahu ajukan perkara ini kepada pihak berkenaan," katanya.

Tuesday, August 2, 2022

Peruncit akan rugi besar dengan harga siling baharu, kata bos Mydin

freemalaysiatoday.com
Robin Augustin
-August 2, 2022 11:29 AM

Kerajaan semalam mengumumkan harga minyak masak dalam botol 5kg akan dihadkan kepada RM34.70 mulai 8 Ogos ini.

PETALING JAYA: Bos sebuah rangkaian pasar raya besar utama bimbang peruncit akan mengalami kerugian besar disebabkan harga siling baharu minyak masak dalam botol 5kg.

Ameer Ali Mydin berkata, pasar raya besar, contohnya, tidak akan dapat menjual stok sedia ada sebelum harga siling baharu RM34.70 bermula 8 Ogos ini.

“Bagi barangan yang mempunyai jangka hayat simpan lebih lama, seperti minyak masak atau sos, kami mempunyai simpan stok kira-kira sebulan di gudang dan kedai kami,” kata pengarah urusan Mydin itu kepada FMT.

“Bukan seperti ayam atau tomato yang bekalannya kita dapatkan setiap hari.”
Ameer Ali Mydin.
Katanya, beliau difahamkan kerajaan mahu mengawal harga minyak masak memandangkan pengeluar tidak menurunkan harga dan rakyat terjejas.

“Bagus mereka beri kami notis seminggu, tetapi hakikatnya kami tidak akan dapat habiskan stok dalam masa seminggu. Ramai yang akan menangguhkan keputusan membeli minyak masak sehingga minggu depan.

“(Mydin) beli stok minyak masak kami pada harga RM38 sebotol dan kami jual pada harga RM39.90. Stok minyak masak kami sekarang bernilai RM3 juta.

“Jika kami terpaksa jual setiap botol pada harga RM4 kurang daripada harga kami beli, maka kami akan rugi besar. Siapa yang akan tanggung kerugian itu?” katanya sambil menambah walaupun stok berbaki 80,000 botol sebelum 8 Ogos, ia bermakna kerugian mencecah RM320,000.

Ameer berkata, walaupun selepas kerajaan menarik balik kawalan harga, peruncit tidak boleh menaikkan harga semalaman kerana mereka membeli stok pada harga lebih murah.

“Jika kami menaikkan harga semalaman, kami akan melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan mekanisme kawalan harga bahan makanan segar untuk minyak masak.

“Kebimbangan saya, peruncit akan berhenti simpan stok barangan jika masalah ini tidak diselesaikan kerana bimbang rugi. (Langkah) ini boleh menyebabkan kekurangan.”

Beliau mencadangkan kerajaan mengarahkan pengilang memberi nota kredit kepada peruncit untuk stok tidak terjual yang mereka beli sebelum harga siling baharu diumumkan.

Semalam, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Annuar Musa mengumumkan harga minyak masak dalam botol 5kg dihadkan kepada RM34.70 mulai 8 Ogos ini.

Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata, harga itu akan ditetapkan secara bulanan dan dikira berdasarkan harga minyak sawit mentah pada bulan sebelumnya.

Monday, July 4, 2022

'Minyak masak subsidi banyak dijual di selatan Thailand'

Astro Awani
Julai 4, 2022 
Menurut Abe Mat, rakyat Thailand tidak menghadapi masalah kekurangan minyak masak kerana bekalan sentiasa mencukupi. - Foto Astro AWANI

NARATHIWAT: Isu kekurangan bekalan minyak masak di Kelantan khususnya minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram ada kaitan dengan penyeludupan minyak masak ke negara jiran.
Dalam kegawatan minyak masak di Kelantan dengan pembelian di kedai runcit dihadkan kepada satu atau dua kilogram sahaja bagi setiap pembelian, lain pula di selatan Thailand.

Khususnya di Narathiwat, Sungai Golok, Weng dan Sungai Padi, tiada pembelian dihadkan untuk minyak masak peket satu kilogram.
Seorang warga Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Abe Mat Sulaiman memaklumkan kepada Astro AWANI tentang penjualan minyak masak bersubsidi yang diseludup masuk dari Kelantan dan dijual di premis perniagaan di sana.
"Minyak masak peket pelbagai jenama dari Malaysia mudah didapati disini, bahkan boleh dikatakan berlambak-lambak dijual di hampir banyak kedai runcit.

"Peniaga menjual dengan kadar harga 55 Bath (sekitar RM7) di pasar dan juga kedai runcit," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
"Orang sini (Thailand) tak ada masalah bekalan minyak masak dalam peket ini, sebab sentiasa ada dan jarang habis stok," katanya yang tinggal di sebuah kampung di Narathiwat.
Menurutnya lagi, harga minyak masak dari Malaysia lebih murah jika dibandingkan dengan minyak masak Thailand yang berharga 77 Bath (sekitar RM10.30).
"Orang Thailand suka beli minyak masak Malaysia kerana lebih murah iaitu antara 50 dan 55 Bath untuk peket satu kilogram, berbanding minyak masak keluaran Thailand yang djual dalam botol dengan harga 77 Bath.
"Tiada had pembelian minyak masak Malaysia di sini, kalau nak beli 12 peket pun boleh, asal ada duit," jelasnya.
Jelas Abe Mat lagi, rakyat Thailand tidak menghadapi masalah kekurangan minyak masak kerana bekalan sentiasa mencukupi.
Bahkan, menurutnya lagi, minyak masak dari satu hingga lima kilogram jenama terkenal dari Malaysia turut dijual di selatan Thailand.
Bagaimanapun, harganya agak tinggi serta kurang mendapat sambutan kerana bekalannya sukar diperolehi.
Untuk rekod, minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram dijual pada harga RM2.50 di Kelantan.
Namun mutakhir ini bekalan minyak masak bersubsidi berdepan dengan kekurangan bekalan dengan kebanyakan peruncit hanya menjual satu atau dua peket sahaja kepada pelanggan mereka.

Wednesday, June 22, 2022

Hapus subsidi isyarat kerajaan gagal, kata persatuan pengguna

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-June 22, 2022 5:45 PM
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia N Marimuthu menjangka majoriti harga barangan asas akan meningkat sehingga 20%.

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan tidak meneruskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol mulai 1 Julai ini disifatkan sebagai kegagalan Putrajaya menjaga kebajikan rakyat khususnya berkait sekuriti makanan.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), N Marimuthu berkata, dasar pertanian negara sejak 1984 yang seharusnya mampu menangani krisis bekalan makanan dalam jangka panjang telah gagal.

“Kerajaan tidak ada pelan jangka panjang berhubung sekuriti makanan dalam negara. Walaupun sekarang kita ada dasar pertanian yang mampan ia tidak cukup kerana kegagalan perancangan di pihak kerajaan.

“Ini semua kegagalan polisi kerajaan, bukan kegagalan rakyat. Kerajaan tak boleh lepas tangan (tarik semula subsidi),” katanya kepada FMT.

Sektor pertanian negara didasari oleh Dasar Pertanian Negara (DPN) 1 1984-1991, DPN 2 1992-1997, DPN 3 1998-2010 dan kemudian Dasar Agromakanan 2011-2020, sebagai kesinambungan DPN 3.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan bahawa harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harganya di pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.

Mengulas perkembangan itu, Marimuthu menjangka majoriti harga barangan asas akan meningkat sehingga 20%.

“Tidak mustahil, harga barang asas akan naik sehingga 20% selepas subsidi ini ditarik balik pada 1 Julai nanti… dan mungkin juga akan naik lebih lagi bagi sesetengah barangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan supaya menangguhkan projek mega untuk tempoh dua tahun ini dan menyalurkan dana berkenaan untuk menampung subsidi barangan asas.

“Semua subsidi (yang ditarik ini) adalah subsidi asas, bukan subsidi mewah. Apa yang kerajaan boleh buat dalam tempoh jangka pendek ini adalah tunda projek mewah untuk pastikan sekuriti makanan stabil.

“Kerajaan kena pastikan makanan cukup di atas meja, jika tidak kes kecurian akan bertambah, masalah sosial dan perceraian juga akan banyak berlaku kerana beban tanggungan ketua keluarga yang semakin bertambah,” katanya.

Subsidi minyak masak kekal dengan dana RM4 bilion - PM

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jun 22, 2022 4:52 PM
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub menafikan bahawa kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan. Sebaliknya, dia berkata, subsidi minyak masak berpaket masih dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.

Menurut Ismail Sabri, peruntukan subsidi minyak masak tahun ini jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.

"Subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak berpaket bagi membolehkan ia dijual dengan harga RM2.50 sekilogram ketika ini, berbanding harga pasaran sebenarnya iaitu RM9 sekilogram bagi kegunaan domestik.
"Ertinya subsidi minyak masak paket yang bermula sejak Jun 2007 masih dilaksanakan kerajaan hari ini dan tidak ditarik balik seperti digambarkan sesetengah pihak," katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung di televisyen, hari ini.

[Berita penuh menyusul]

Tuesday, June 21, 2022

Harga siling ayam, telur, subsidi minyak masak botol tidak diteruskan

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jun 21, 2022 6:43 PM

Kawalan harga siling ayam dan telur ayam, serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) tidak diteruskan mulai 1 Julai ini, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi libat urus dengan pemegang taruh industri ayam di Putrajaya hari ini, Nanta berkata langkah itu dilaksanakan untuk memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang pula dapat menstabilkan harga.

“Harga ayam akan diapungkan dan akan tertakluk kepada kuasa pasaran. Golongan memerlukan akan dibantu nanti dengan bantuan wang tunai bersasar,” katanya maklumat lanjut mengenai bantuan wang bersasar itu akan dibuat Kementerian Kewangan.
Pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berkuat kuasa 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam. Susulan penamatan subsidi itu, pihak penternak dilaporkan berharap kerajaan mengapungkan harga ayam.

Nanta dalam sidang media itu memaklumkan, subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan ditawarkan kepada pengguna pada harga RM2.50 sepeket, masih diteruskan.

Mengenai pemansuhan subsidi minyak masak sawit tulen itu dalam kemasan botol itu, beliau berkata subsidi barangan tersebut mencecah RM20 juta sebulan.

“Program ini adalah program sementara dan sepatutnya dilaksnakan dalam masa tiga bulan tetapi ia diteruskan hingga hari ini.

“Oleh itu, kerajaan rasakan sudah tiba masanya ia dimansuhkan supaya kerajaan boleh lebih fokus untuk bantu golongan memerlukan,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol berkuat kuasa 1 Ogos tahun lepas, dengan jaminan pengguna akan mendapat minyak masak di bawah harga RM30 untuk botol lima kilogram.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit dalam kemasan botol lima kilogram adalah pada harga RM29.70 sebotol, botol satu kilogram (RM6.70), dua kilogram (RM12.70) dan tiga kilogram (RM18.70).

Dalam sesi libat urus hari ini, Nanta berkata pemain industri ayam memberi jaminan yang kenaikan harga ayam tidak akan naik secara mendadak.

“Yang menarik untuk diterima adalah komitmen industri ini untuk bantu kerajaan dalam memastikan pengguna mendapat harga dan bekalan keperluan khususnya ayam, dengan harga berpatutan dan stabil,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa KPDNHEP akan mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada, sekiranya terdapat pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara berlebihan.

“KPDNHEP akan gunakan akta anti pencatutan dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap pemain industri jika langgar peraturan sedia ada,” katanya.

Ditanya adakah subsidi tepung akan dimansuhkan, beliau berkata subsidi barangan itu masih diteruskan ketika ini dan ia tidak dimansuhkan.

- Bernama

Tuesday, June 15, 2021

Pas dakwa minyak masak botol yang dijual di kedai milik parti itu lebih murah

gemilangdaily.com
15/06/2021 9:40 AM

Pasar raya yang diterajui Lajnah Ekonomi PAS Selangor, PAS Mall mengekalkan harga jualan RM28 untuk sebotol 5kg minyak masak sawit.

Pengerusinya, Ustaz Zaharudin Muhammad berkata, tindakan itu dibuat demi membantu ekonomi negara dan rakyat yang sedang berdepan dengan krisis ekonomi akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut beliau, walaupun langkah yang diambil itu menyebabkan PAS Mall berdepan dengan kerugian atau deficit, namun mereka tekad untuk melakukannya menggunakan strategi tersendiri.

“Dalam keadaan negara bergelut dengan kenaikan minyak masak di pasaran akibat pandemik, PAS Mall akan membuktikan kemampuan untuk membekalkan minyak masak jenama Al-Baraq dengan harga RM28.00, kekal sebagaimana sebelumnya.

“Kami mempunyai strategi jualan tersendiri untuk mengekalkan minyak masak dengan harga asal sebelum PKP.

“Walaupun pihak PAS Mall terpaksa menanggung sedikit deficit akibat kenaikan minyak masak di pasaran, pihak PAS Mall tetap mengekalkan harga asal, tanpa 1 sen pun kenaikan demi membantu negara dan rakyat yang sedang bergelut dengan masalah kewangan akibat PKP.

“Dengan kata lain, pihak PAS Mall mengekalkan harga minyak masak pada takuk lama dengan menggunakan pendekatan ala-ala DCA (Dollar Cost Averaging).

“Teknik ini kadangkala digunakan oleh kapitalis untuk dapatkan stok murah yang banyak dan menjualnya pada waktu mahal.

“Manakala PAS Mall menterbalikkan teknik tersebut, iaitu mengekalkan harga murah waktu kenaikan harga akibat PKP,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Menurut Ustaz Zaharudin yang juga pengasas PAS Mall berkata, pihaknya berhasrat untuk bertahan dengan harga itu sehingga harga minyak masak sawit kembali stabil.

Katanya, jika kenaikan itu berterusan dalam tempoh yang lama, pihak PAS Mall juga mungkin terpaksa menaikkan harga, tetapi dengan harga yang berpatutan.

Bagaimanapun, pihaknya akan cuba bertahan semampu mungkin bagi mengekalkan harga sedia ada dengan kaedah dan strategi-strateginya tersendiri, kata beliau.

PAS Mall adalah pasaraya online PAS Selangor di bawah Lajnah Ekonomi PAS Negeri yang memulakan operasinya pada bulan Mei 2021.

Pelanggan boleh melayari laman sesawang PAS Mall untuk sebarang pembelian atas talian.

Setiap pembelian akan diinfaq khusus secara automatik untuk PAS Selangor yang mana dibayar oleh pembekal, manakala keuntungan jualan dan edaran pula akan diperolehi oleh Lajnah Ekonomi PAS Selangor.


Pihak PASMALL akan membuat penghantaran setiap Sabtu ke seluruh negeri Selangor dan Lembah Klang.

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/13/botol-5-kg-harga-minyak-masak-pas-mall-rm28/?utm_campaign=06-13-21+-+PAS+Mall+akan+m&utm_source=Message&utm_medium=Facebook

Tuesday, June 8, 2021

RM600juta dibelanja untuk stabilkan harga minyak masak

suaramerdeka.com
8.6.2021

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta tahun ini berbanding RM528 juta tahun lalu bagi melaksanakan Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak atau Cooking Oil Stabilization Scheme (COSS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, COSS adalah program subsidi minyak masak bertujuan untuk meringankan bebanan pengguna dalam kos sara hidup mereka.

Mekanisme ini, jelas beliau terbuka kepada semua golongan untuk mendapatkan minyak masak dengan harga berpatutan.

“Subsidi ini diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1 kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik yang sangat munasabah iaitu RM2.50 sepeket walaupun harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia meningkat pada masa ini.

”Kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik ™ sebulan (atau 720,000 tm setahun) bersamaan dengan 60 juta polibeg sebulan (720 juta polibeg setahun) untuk kegunaan seluruh rakyat Malaysia semua peringkat di seluruh negara. Kuantiti tersebut berdasarkan kadar penggunaan 1.8kg seorang setiap bulan (22.0kg seorang setahun),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan tambah beliau, memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol malahan ada di antaranya dikeluarkan dari kilang yang sama.

Kata beliau, minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi di mana harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia.

Rakyat katanya, boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin.
Pada masa ini harga CPO di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4500 tan metrik (berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2500 tan metrik sahaja), bersamaan lebih kurang RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.

”Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit.

“KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna. Kerajaan akan memaklumkan hasil dari perbincangan dan mekanisme yang dipersetujui. Pihak Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari. Pihak Penguat Kuasa tidak akan teragak-agak untk mengambil tindakan di bawah AKHAP 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak. Kementerian juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi,” katanya.

Alexander berkata, KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada Kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah.

“Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) adalah salah satu contoh pelaksanaan kawalan harga di setiap musim perayaan di mana KPDNHEP menjangka permintaan akan meningkat dan peningkatan itu akan menekan harga barangan seperti yang biasa berlaku dalam ekonomi pasaran bebas,” katanya.

Wednesday, January 9, 2019

'Buh penampaq' kerana minyak...

MyMetro
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

RAKAMAN video mengenai suspek (kiri) memarahi dan menampar mangsa di kedai serbaneka di Bayan Lepas, pagi semalam, tular di media sosial.

BERANG kerana tidak dapat membeli tiga peket minyak masak, seorang lelaki menampar dan mengugut juruwang wanita di sebuah kedai serbaneka di Bayan Lepas, pagi semalam.

Dalam kejadian 8.40 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun pada mulanya didatangi seorang pelanggan lelaki yang mahu membeli tiga peket minyak masak.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, mangsa kemudian memberitahu lelaki berkenaan yang dia hanya boleh membeli dua peket minyak masak kerana jumlah itu terhad kepada setiap pelanggan.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit berang dengan teguran itu dan dia terus menampar belakang kepala mangsa.

“Dia kemudian beredar dan mengugut mangsa supaya berjaga-jaga,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Anbalagan berkata, akibat kejadian itu, wanita berkenaan mengalami sakit di belakang kepala dan dia yang takut dengan ugutan terbabit melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati memang berlaku kejadian seorang lelaki mengamuk dan memukul belakang kepala mangsa.

“Mangsa mendakwa, lelaki terbabit marah kerana dia menegurnya yang mahu membeli tiga peket minyak masak kuantiti 1 kilogram sedangkan ia hanya terhad dijual dua peket sahaja kepada setiap pelanggan,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu, polis kini sudah mengenal pasti suspek dan akan menahannya dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.

Rakaman video berdurasi 16 saat mengenai kejadian berkenaan mula tular di media sosial, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 12:26 AM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-