FBI yakin kerajaan baru lebih bersedia untuk bekerjasama, sewaktu pihak berkuasa AS merasakan Najib secara aktif cuba menghalang siasatan, kata sumber.
WASHINGTON: Penyiasat Amerika Syarikat melajukan siasatan ke atas 1MDB yang ditubuhkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bertukar-tukar lebih banyak bukti dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kekalahan Najib pada pilihan raya bulan lepas, kata 3 sumber yang rapat dengan siasatan itu.
Sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Malaysia, AS dan Switzerland menyiasat dakwaan bahawa Najib dan sekutu menerima sebahagian daripada wang berjumlah AS$4.5 bilion yang didakwa dicuri daripada 1MDB.
Siasatan itu mencapai kemajuan selepas kekalahan mengejut Najib pada pilihan raya 9 Mei lepas.
Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku berhubung dakwaan rasuah melibatkan 1MDB.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini percaya kerajaan baru lebih bersedia bekerjasama, sewaktu pihak berkuasa AS melihat Najib secara aktif cuba menghalang penyiasatan, menurut 2 sumber yang mengetahui secara langsung berhubung siasatan itu.
Walaupun pihak pendakwaan AS menimbangkan kemungkinan untuk mendakwa Najib dan sekutu, mereka lebih berminat sekiranya Malaysia sendiri memfailkan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana pegawai kerajaan Malaysia.
“Begitulah cara yang sepatutnya,” kata seorang pegawai penguatkuasa undang-undang AS.
Najib mendapatkan khidmat bekas peguam negara AS, John Ashcroft, dan firma peguambela David Boles yang berpangkalan di New York untuk mewakili beliau berhubung penyiasatan AS, kata sumber yang rapat dengan pasukan peguam Najib.
Dalam beberapa siri rampasan aset tahun lepas, pihak pendakwa AS dalam kertas mahkamah mendakwa sebahagian wang yang dicuri daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun individu dikenali sebagai “Malaysian Official 1” (MO1).
Sejak Najib kalah pilihan raya, kerajaan baru dilihat bekerja keras untuk mendapatkan kembali wang yang didakwa disalurkan daripada 1MDB.
Ia kini menimbangkan untuk meminta bantuan kerajaan AS meminta bank pelaburan Goldman Sachs memulangkan hampir AS$600 juta dalam bentuk fi yang diperolehinya daripada penerbitan bon bagi pihak 1MDB, kata 2 sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters semalam.
Permohonan rasmi berhubung perkara itu belum dibuat tetapi pegawai atasan sedang membincangkannya dalam kalangan pemimpin kerajaan, kata mereka.
Pengganti Najib, Perdana Menteri Tun Dr Mahthir Mohamad berkata, Malaysia juga mahu menahan ahli perniagaan Low Taek Jho, watak utama dalam skandal itu yang memberi nasihat pelaburan dan merundingkan urus niaga bagi pihak 1MDB.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.