Showing posts with label Malaysian Official 1 (MO1). Show all posts
Showing posts with label Malaysian Official 1 (MO1). Show all posts

Saturday, June 9, 2018

AS lajukan siasatan 1MDB selepas kekalahan Najib

Reuters | June 9, 2018

FBI yakin kerajaan baru lebih bersedia untuk bekerjasama, sewaktu pihak berkuasa AS merasakan Najib secara aktif cuba menghalang siasatan, kata sumber.
Sekurang-kurangnya 6 negara menyiasat dakwaan bahawa Najib dan sekutu menerima sebahagian daripada AS$4.5 bilion yang didakwa dicuri daripada 1MDB. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Penyiasat Amerika Syarikat melajukan siasatan ke atas 1MDB yang ditubuhkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bertukar-tukar lebih banyak bukti dengan pihak berkuasa Malaysia sejak kekalahan Najib pada pilihan raya bulan lepas, kata 3 sumber yang rapat dengan siasatan itu.

Sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Malaysia, AS dan Switzerland menyiasat dakwaan bahawa Najib dan sekutu menerima sebahagian daripada wang berjumlah AS$4.5 bilion yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Siasatan itu mencapai kemajuan selepas kekalahan mengejut Najib pada pilihan raya 9 Mei lepas.

Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku berhubung dakwaan rasuah melibatkan 1MDB.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kini percaya kerajaan baru lebih bersedia bekerjasama, sewaktu pihak berkuasa AS melihat Najib secara aktif cuba menghalang penyiasatan, menurut 2 sumber yang mengetahui secara langsung berhubung siasatan itu.

Walaupun pihak pendakwaan AS menimbangkan kemungkinan untuk mendakwa Najib dan sekutu, mereka lebih berminat sekiranya Malaysia sendiri memfailkan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana pegawai kerajaan Malaysia.

“Begitulah cara yang sepatutnya,” kata seorang pegawai penguatkuasa undang-undang AS.

Najib mendapatkan khidmat bekas peguam negara AS, John Ashcroft, dan firma peguambela David Boles yang berpangkalan di New York untuk mewakili beliau berhubung penyiasatan AS, kata sumber yang rapat dengan pasukan peguam Najib.

Dalam beberapa siri rampasan aset tahun lepas, pihak pendakwa AS dalam kertas mahkamah mendakwa sebahagian wang yang dicuri daripada 1MDB dimasukkan ke dalam akaun individu dikenali sebagai “Malaysian Official 1” (MO1).

Sejak Najib kalah pilihan raya, kerajaan baru dilihat bekerja keras untuk mendapatkan kembali wang yang didakwa disalurkan daripada 1MDB.

Ia kini menimbangkan untuk meminta bantuan kerajaan AS meminta bank pelaburan Goldman Sachs memulangkan hampir AS$600 juta dalam bentuk fi yang diperolehinya daripada penerbitan bon bagi pihak 1MDB, kata 2 sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters semalam.

Permohonan rasmi berhubung perkara itu belum dibuat tetapi pegawai atasan sedang membincangkannya dalam kalangan pemimpin kerajaan, kata mereka.

Pengganti Najib, Perdana Menteri Tun Dr Mahthir Mohamad berkata, Malaysia juga mahu menahan ahli perniagaan Low Taek Jho, watak utama dalam skandal itu yang memberi nasihat pelaburan dan merundingkan urus niaga bagi pihak 1MDB.

Wednesday, June 28, 2017

Tidak ada bukti isteri MO1 terima barangan kemas, kata JASA

Tidak ada bukti bahawa ‘isteri Malaysian Official 1' (MO1) menerima atau menyimpan set barangan kemas seperti yang didakwa oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (DOJ), kata seorang anggota badan propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Tun Faisal Ismail Aziz, yang adalah anggota panel penasihat JASA, berkata set barangan kemas itu hanya sekadar "cerita" dalam aduan yang dibuat kepada DOJ.

“Tiada bukti ia dibeli menggunakan wang 1MDB yang didakwa dicuri, tiada bukti ia diserahkan kepada isteri MO1 dan tiada bukti kesemua set barangan kemas ini disimpan oleh isteri MO1,” katanya dalam posting di Facebook hari ini.

Menurutnya, DOJ juga tidak menyenaraikan set barangan kemas itu sebagai aset yang mahu dirampasnya yang membuktikan jabatan itu sendiri tidak pasti mengenai kebenaran cerita pengadu berkenaan barangan kemas itu dan dakwaan terhadap isteri MO1.

Kerajaan menolak saman DOJ untuk merampas aset berkaitan 1MDB atas alasan tindakan undang-undang itu semata-mata berasaskan aduan oleh mereka yang mentang pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dua minggu yang lalu, DOJ memfailkan saman sivil ketiga yang mendakwa antara lain bahawa wang yang didakwa diselewengkan dari 1MDB telah digunakan untuk membeli 28 set barangan kemas, termasuk rantai berlian AS$27.3 juta untuk isteri MO1.

Walau bagaimanapun, tidak ada satu pun daripada 28 set barangan kemas itu adalah antara aset yang cuba dirampas oleh DOJ.

Sebaliknya, DOJ memberitahu Malaysiakini bahawa fakta mengenai sumber dana itu sangat relevan dengan tuduhan yang dibuat bahawa dana 1MDB digunakan untuk membeli barangan kemas untuk isteri MO1.
DOJ telah memperincikan pembelian barangan kemas untuk isteri MO1 dalam dokumen saman 251 halamannya.

Pada halaman 100, dari perenggan 346 hingga 348, adalah bahawa berlian merah jambu itu dibeli menggunakan dana yang didakwa oleh MO1 telah dikembalikan kepada "penderma".

Ia memperincikan tentang pembelian berlian itu pada halaman 224 hingga 228, dari ayat 846 hingga ayat 863.

Pemfailan yang sama juga menyenaraikan 27 set barangan kemas yang diberikan kepada isteri MO1 bernilai sejumlah AS$1.3 juta.

Walaupun MO1 dan isterinya tidak dinamakan oleh DOJ, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, tuntutan mahkamah berkenaan membabitkan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor.

Abdul Rahman pada tahun lalu juga mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib.
Bagaimanapun, beliau berkata hakikat bahawa Najib tidak dinamakan dalam saman itu menunjukkan bahawa perdana menteri tidak menjadi subjek siasatan.

Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Bagaimanapun, baru-baru ini firma guaman yang mewakili Rosmah memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap anak guam mereka.

Tuesday, June 27, 2017

Semua negara berkomplot jatuhkan k'jaan Najib?

Raja Kamarul Bahrin Shah
 Hari ini, 10:17 pagi

ULASAN l : Banyak kenyataan telah dibuat tentang pengumuman siasatan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ke atas ‘Malaysia Official 1' (MO1) dalam isu 1MDB.

Ada yang meminta kerajaan Malaysia mengambil tindakan sepatutnya untuk mendapatkan kembali hasil yang dikatakan hak rakyat yang telah diselewengkan.

Ada juga pihak pemerintah serta ahli kerajaan dan penyokong dari golongan awam dan juga para penasihat agamawan yang menafikan tuduhan serta meminta tabayun dahulu.
Sememangnya tabayun itu dituntut oleh Islam tetapi pihak yang menuntut bertabayun itu mestilah juga berbuat perkara sama pada siasatan dan tuduhan itu. Tabayun mestilah datang dari semua pihak untuk membuat kesimpulan yang tepat dan adil.

Dakwaan kuasa asing Amerika hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia mesti dikutuk sekeras-kerasnya jika ia benar, namun perlu diketahui bahawa bukan hanya Amerika sahaja mengambil tindakan undang-undang sedemikian rupa ke atas Malaysia.

Turut berbuat demikian adalah negara-negara seperti Abu Dhabi, Singapura, Switzerland, Luxembourg, Hong Kong dan beberapa negara Eropah lain.

Adakah negara-negara Arab, Eropah, Asean dan Asia ini semua ini pun berhasrat menjatuhkan kerajaan Malaysia juga?

Perlu diingat semua negara yang disebut merupakan Pusat Kewangan Dunia terkemuka di mana reputasi perniagaan kewangan dan bank mereka dihormati dunia termasuk oleh Malaysia.

Kalau tindakan mereka salah, maka Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang sekaligus mampu merosakkan nama baik sistem kewangan serta bank mereka.

Maka persoalannya, apa motif negara yang lebih kaya dari Malaysia hendak menjatuhkan Malaysia?
Abu Dhabi, Singapura dan Switzerland, selain dari Amerika, telah menutup beberapa bank utama yang besar dan menangkap serta menghukum beberapa tokoh bank, kewangan dalam kalangan rakyat mereka sendiri kerana isu 1MDB.

Ini adalah tindakan yang amat serius yang boleh menjejaskan sistem bank mereka sekiranya tidak betul langkah tersebut.

Perlu juga difahami bahawa mereka telah bertindak di dalam sistem negara mereka sahaja untuk menjaga sistem kewangan mereka kerana wang haram dari Malaysia dibawa ke sana dan adalah satu kekeliruan jika mendakwa mereka hendak masuk campur dalam sistem Malaysia.

Malahan di Amerika mereka merampas wang serta harta haram untuk dikembalikan kepada rakyat Malaysia yang berhak menerimanya. Samalah di Malaysia, kita juga mempunyai sistem undang-undang anti penggubalan wang haram.
Perlu diingat Jho Low adalah seorang rakyat Malaysia yang merupakan rakan kongsi niaga yang rapat dengan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membawa wang 1MDB ke Amerika, Abu Dhabi, Singapura; Switzerland dan Hong Kong.

Najib adalah MO1 dalam 1MDB seperti yang diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Negara-negara ini berhak menyiasat dan menghukum perbuatan haram di negara mereka seperti kita juga berhak menghukum mati pengedar dadah asing yang melakukan jenayah tersebut di Malaysia mengikut undang-undang kita.

Negara asing tidak boleh masuk campur tindakan mahkamah Malaysia ke atas warga mereka kerana jenayah berlaku di negara kita.

Saya menasihati pihak berkenaan dari golongan awam dan juga agamawan, jangan emosi dan bersikap nasionalistik sebaliknya menilai situasi ini secara objektif dari sudut perundangan.
Bukan orang lain sahaja mesti bertabayun, mereka sendiri terdahulu mesti bertabayun juga.

Adakah masuk akal Abu Dhabi, Singapura, Switzerland, Hong Kong dan Amerika semuanya hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia?

Kenapa kerajaan Malaysia tidak mengambil tindakan mahkamah atau membuat bantahan rasmi terhadap negara-negara ini?

Sepatutnya penyokong serta para agamawan penasihat kerajaan mendesak Malaysia menyaman kerajaan-kerajaan negara asing berkenaan untuk mendapat lebih maklumat terperinci bagi melengkapkan proses "tabayun" mereka sebelum mencapai satu kesimpulan yang tepat.

Bertabayunlah sendiri terdahulu sebelum menuntut orang lain berbuat demikian. Rakyat Malaysia hari ini sebenarnya jauh lebih cerdik dari yang mereka sangka.

DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD adalah anggota parlimen Kuala Terengganu.

Tulisan ini pandangan penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Wak Labu Farm.

Friday, June 16, 2017

Rosmah ingatkan rakyat jangan percaya fitnah

Anne Muhammad
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah mempercayai fitnah yang sengaja diadakan bagi menjatuhkan pemimpin, organisasi mahupun negara.

Katanya, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan sosial media bagi tujuan itu.

“Bagi melebar luas anasir-anasir kotor mereka, media sosial telah dijadikan senjata utama mereka untuk mengelirukan serta mempengaruhi minda dan fikiran rakyat.

“Natijahnya orang yang difitnah terus menjadi mangsa dan masyarakat akan dimomokkan dengan perkara tidak benar,” kata Rosmah dalam ucapannya sebelum memberi sumbangan Hari Raya di Kementerian Pertahanan Malaysia Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, hari ini.

Peringatan Rosmah itu dibuat ketika Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil terbaru berkaitan dana 1MDB yang diseleweng yang turut menyebut tentang isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman mengesahkan bahawa MO1 yang dinamakan dalam saman pertama DOJ pada tahun lalu adalah Najib.

Dalam kenyataan terbarunya semalam, DOJ mendakwa sebahagian daripada wang AS$620 juta yang didakwa oleh MO1 kononnya telah dipulangkan kepada "penderma" beliau telah digunakan untuk membeli loket berlian 22 karat dan rantai leher untuk isteri MO1 pada harga kira-kira AS$27.3 juta.

DOJ juga menuduh ahli perniagaan Jho Low membeli 27 rantai leher emas 18 karat lain dan gelang tangan untuk isteri MO1, bernilai sebanyak AS$1.3 juta.

Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan menuduh dakwaan itu dibuat oleh mereka yang berkomplot untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Sebelum itu Rosmah dalam ucapannya beliau menyentuh mengenai keamanan sejagat dan katanya semua pihak harus melihat peperangan itu bukan sahaja menggunakan senjata di medan tempur, kini perang siber juga adalah sebahagian dari bentuk peperangan yang boleh menggugat keamanan negara.

Beliau turut menyeru rakyat supaya meneliti fakta terlebih dahulu sebelum mempercayai segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin.

“Justeru, dalam konteks ini, saya menyeru rakyat jangan mudah terpedaya dengan fitnah yang di putar-belit di media sosial. Malaysia adalah sebuah negara yang sedang pesat membangun, dan kita harus menyediakan masyarakat kita untuk menjadi masyarakat berfikir.

“Rakyat Malaysia janganlah mudah terpedaya dengan tohmahan, malah meneliti kesahihan fakta yang dilemparkan serta menyiasat kebenaran cerita tersebut.

“Hakikatnya fitnah adalah suatu jenayah kerana ia suatu rekaan daripada peristiwa yang tidak benar. Tujuannya adalah untuk merosakkan reputasi atau menjatuhkan kredibiliti seseorang,” katanya.

Monday, November 7, 2016

Tuan Ibrahim: Ikut pengalaman, Umno yang pecahkan PAS

Anne Muhammad  :
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menolak dakwaan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa bahawa DAP adalah punca parti Islam itu berpecah.

“(Berdasar) pengalaman lampau, Umno yang memecahkan PAS. Sejarah tumbangnya PAS di Kelantan dan Terengganu hasil pertembungan dengan Umno.

“Namun tindakan campur tangan DAP serta sikap menentang dasar dan perjuangan PAS menyumbang kepada apa yang berlaku,” katanya kepada Malaysiakini.

Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas dakwaan Annuar bahawa DAP cuba memecahkan Melayu dengan meletakkan calon pilihan mereka dalam parti pembangkang termasuk PAS.

Bagaimanapun, katanya, walaupun DAP tidak meresap dalam PAS, parti itu berjaya menarik “serpihan PAS” sebagaimana yang berlaku.

Sebelum ini perpecahan dalam PAS berlaku sehingga Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan selepas sebahagian pemimpin parti Islam itu tidak berpuas hati dengan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

'Teori konspirasi'

Sementara itu, ahli jawatankuasa DAP Selangor Edry Faizal Yusof pula menolak dakwaan Annuar.

Beliau menyifatkan ia sebagai “teori konspirasi” untuk menyedapkan hati kerana ramai anggota Umno didakwa tidak mahu bersama parti Melayu itu.

“Pemimpin-pemimpin Umno kena berhenti tipu diri sendiri. Mereka cipta pelbagai teori konspirasi untuk sedapkan hati mereka selepas ramai ahli Umno sendiri sudah tak mahu bersama Umno.

“Pemimpin Umno kena terima hakikat Melayu bukan berpecah. Cumanya ramai Melayu yang bersama Umno dulu sudah serik dan tidak mahu bergelumang dengan puak kleptokrat dan korup, lalu mereka berhijrah memilih haluan lain,” katanya.

Tambahnya lagi, kini anggota Umno sendiri turut bangun melawan partinya sendiri.

“Boneka sebenar ialah mereka yang terus menipu diri sedang tangan dan kakinya digerakkan tok dalang bernama Malaysian Official 1 (MO1),” katanya.

PKR: Terpengaruh 'propaganda' sendiri

PKR pula menyifatkan Umno kini terpengaruh dengan dengan propaganda sendiri.

“Saya ingin ingatkan Annuar Musa, pendekatan boneka ini ialah cara Umno terhadap parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional.

“Annuar Musa nampaknya terpengaruh dengan propaganda ciptaan BN sendiri iaitu 'DAP memperkudakan' parti-parti lain di dalam Pakatan.

“Kalau inilah bentuk serangan terbaru Umno, nampaknya parti pemerintah berhadapan dengan krisis defisit isu yang parah,” kata Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin.

Jelasnya, Pakatan sentiasa mengutamakan pendekatan konsensus dalam setiap proses membuat keputusan dan termasuk hal berkaitan pilihan raya.

Semalam Annuar mendakwa DAP kini cuba memecahkan Melayu dengan meletakkan calon pilihan mereka dalam parti pembangkang.

Dakwanya, langkah itu sebagai usaha DAP memerintah negara secara senyap dan menjadikan wakil Melayu 'sebagai boneka'.

Jelasnya, strategi DAP kini adalah meletakkan calon mereka dalam PKR, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Selain itu dakwanya DAP cuba memecahkan orang Melayu dengan menjalinkan kerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Ia katanya, bagi memastikan DAP dapat menumbangkan BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sunday, September 4, 2016

MP: Apa yang politiknya menteri sahkan Najib MO1?

Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan kenyataan polis yang enggan mengulas pengesahan bahawa Malaysian Official 1 (MO1) ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Anggota parlimen Pokok Sena berkata perkara itu lebih pelik apabila kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan dikaitkan dengan atas alasan enggan berpolitik.

“Apa yang politiknya kenyataan Rahman yang juga merupakan ahli MT (Majlis Tertingi) Umno dan pengarah komunikasi dan strategi BN,” soal bekas naib presiden PAS itu.

“Apakah menamakan PM Najib sebagai MO1 dianggap politik?

“Apa politiknya saman sivil tersebut yang menyebut wang berjumlah AS681 juta (RM2.6 bilion) berakhir dalam poket (akaun) peribadi MO1.”

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat meminta pasukan keselamatan tidak diheret ke kancah politik ketika ditanya sama ada polis akan memulakan siasatan baru terhadap Najin susulan pengesahan Rahman itu.

BBC pada Khamis melaporkan Rahman sebagai mengesahkan MO1 adalah Najib tetapi menegaskan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat tidak menyebut nama sebenar kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan.

Sementara itu, Mahfuz membangkitkan spekulasi bahawa polis berjaya mencium “komplot” dalam Umno sudah mengundurkan Najib yang menjadi “bebanan politik” parti Melayu itu.

Thursday, September 1, 2016

Rahman Dahlan sahkan Najib adalah MO1

Kerajaan secara rasmi mengesahkan bahawa Malaysia Official 1 (MO1) yang dirjuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya telah kata secara terbuka. Jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri," kata menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dipetik BBC.
"Tetapi saya juga berkata, mengapa DOJ tidak menamakannya dengan nama yang betul. Ini kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan ini.

"Ada orang lain yang dinamakan .... dan Jabatan Keadilan akan membawanya ke mahkamah dan mahkamah akan membuat keputusan," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, bagaimanapun berpendapat bahawa Najib tidak perlu bertanggungjawab ke atas kegagalan dana pelabruran negara itu.

"Beliau telah bertanggungjawab, dengan melantik pasukan baru di 1MDB.

"Tetapi hanya kerana sebilangan kecil NGO dan pembangkang yang mendesak supaya beliau mengosongkan kerusinya, beliau tidak seharusnya berbuat demikian. Itu adalah melampau,” kata rahman yang juga adalah pengarah komunikasi strategik BN.

Adalah dipercayai bahawa Najib adalah MO1 tetapi kerajaan tidak pernah mengesahkan identiti itu sejak DOJ memfailkan tuntutan mahkamah pada 20 Julai lalu.

[Baca berita penuh]

Tuesday, August 23, 2016

Pembangkang mahu Nawawi dihukum walaupun sudah mohon maaf

Tarrence Tan
 August 22, 2016

Mereka mahu tindakan diambil terhadap Ahli Parlimen Langkawi kerana membuat aduan palsu
PETALING JAYA: Sekiranya Datuk Nawawi Ahmad merasakan permohonan maaf terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Facebook sudah memadai, beliau mungkin tersilap.

Salah seorangnya, Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng yang berpandangan permohonan maaf Nawawi itu bukti beliau membuat laporan polis palsu – laporan yang menafikan beliau berkata Yang di-Pertuan Agong adalah Malaysian Official 1 (MO1).

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam laporannya bulan lalu mendakwa MO1 didakwa menerima AS$731 juta yang digelapkan daripada 1MDB.

Butiran laporan DoJ itu berkata MO1 adalah “pegawai kanan Kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan penting dalam 1MDB”, dan individu itu mempunyai ikatan kekeluargaan dengan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Lip Eng berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu jelaskan adakah tindakan boleh diambil terhadap Nawawi.

“Tidakkah Nawawi perlu ditahan?” soal Ahli Parlimen Segambut kepada FMT.

Rakannya Teresa Kok berkata Nawawi perlu meminta maaf secara menghadap dan memohon keampunan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata Ahli Parlimen Langkawi itu perlu dipertanggungjawabkan kerana membuat kenyataan secara semborono.

“Memandangkan Nawawi daripada Umno, presidennya Najib Razak perlu membuat teguran kerana membuat kenyataan semberono yang menghina Agong.”

Bekas Wanita Umno Anina Saadudin pula lebih memaafkan, dan berpandangan semua orang pernah membuat silap.

“Belajar daripada kesilapan itu. Jangan ulangi kesilapan yang sama. Jika kamu buat juga, kamu memang tolol.”

Katanya Nawawi akan kehilangan kerusi Parlimen jika mengulangi kesilapannya kerana rakyat tidak mahu wakil rakyat yang tidak punyai tiada “class”.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Nawawi perlu mohon maaf kepada semua rakyat Kedah, kerana Agong sekarang adalah Sultan Kedah.

Nawawi baru-baru ini mengundang kontroversi kerana berhujah mengikut Perlembagaan Persekutuan, Agong ialah MO1.

Beberapa orang terkemuka, termasuk bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendesak Nawawi mohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan derhaka itu.

Lapan laporan polis dibuat terhadapnya setakat ini, termasuk satu daripada Anina.

Nawawi kemudiannya mendakwa kenyataannya disalahfaham dan hari ini memohon maaf kepada Agong. Kenyataan itu disiarkan di Facebook.

Monday, August 22, 2016

MO1: Najib perlu dedah identiti

ATIRAH HASLI
22 OGOS 2016
Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Tun Razak digesa mendedahkan identiti sebenar Malaysian Official 1 (MO1) yang dikaitkan dalam siasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bagi mengelakkan kekeliruan berterusan berkaitan isu tersebut.

Tuan Ibrahim berkata, Najib selaku Presiden Umno dan pemimpin BN perlu mengambil tanggungjawab menjelaskan isu itu sebelum keadaan bertambah rumit.

“Nampaknya (timbul kekeliruan) di kalangan Umno dan BN yang keliru dengan identiti MO1 sehinggakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad mencetuskan kontroversi mengenai identiti MO1 kerana mengaitkannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Untuk mengelakkan kekeliruan berpanjangan dan tercetusnya mangsa kedua yang dikaitkan dengan MO1, Najib perlu memberitahu siapa MO1 yang sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nawawi sebelum ini memuat naik status di laman Facebooknya menyatakan Yang di-Pertuan Agong ialah MO1 bertanggungjawab terhadap kerajaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun beliau telah memohon keampunan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

DOJ menyebut MO1 dalam laporan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Kata Tuan Ibrahim lagi, Najib juga boleh memberi bayangan identiti MO1 sekiranya beliau tidak mahu mendedahkan nama pegawai tersebut.

“Dengan ini, sudah pasti tiada lagi ahli parlimen seperti Nawawi yang terteka sehingga mengaitkan identiti MO1 itu kepada Agong.

“Saya pasti kalau Nawawi diberi maklumat yang betul, beliau tidak akan tersilap teka siapa sebenar MO1, dan Umno-BN tidak akan dimalukan lagi dengan tekaan yang jelas jauh tersasar,” ujarnya.

Dakwa Agong MO1 : MP Langkawi mohon maaf

Anggota Parimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad hari ini memohon ampun daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung kekeliruan dengan istilah ‘Malaysian Official 1' atau ‘MO1" di lama siosial minggu lalu.

Katanya, beliau tidak berniat untuk mengaitkan Seri Paduka tetapi ia menjadi viral oleh pihak tertentu dengan fahaman yang lain daripada apa yang cuba dinyatakannya,

“Patik sebagai rakyat bawahan Kedah dan Malaysia, menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku dengan ketinggian ketaatan yang tiada tolok bandingnya, dan amat menyesal dengan apa yang berlaku.

“DYMM Tuanku adalah suci dan bersih dari segala hal pergolakan politik rakyat jelata dan tidak ada secebis zarah pun kaitan dengan isu DOJ dan 1MDB.

“Oleh itu, patik dengan rasa rendah diri dan penuh tanggungjawab memohon sejuta keampunan dari Tuanku sekiranyaperkara yang menjadi viral ini menyentuh dan mengguris hati kecil di sanubari Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam tulisan di Facebook minggu lalu, yang disunting empat jam kemudian, ahli parlimen Langkawi itu, berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab terhadap kerajaan.

"Menurut perlembagaan negara, kerajaan negara ini dibentuk dari tiga entiti utama yang berasingan dan independen (bebas) - badan kehakiman diketuai oleh Ketua Hakim Negara, badan perundangan parlimen oleh Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin (Mulia) dan badan ekskutif (yang) diketuai oleh perdana menteri.

"Semua ketiga-tiga badan ini bertanggungjawab kepada Agong.

"Maka, mengikut perlembagaan, MO1 ialah Agong," katanya.

Dalam versi yang disunting, baris terakhir dalam posting telah digantikan dengan perkataan, "Maka, mengikut perlembagaan MO1 bukan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) kerana dia (adalah sama ada) MO2, MO3, atau MO4."

Dalam komennya kemudian, Nawawi berkata, beliau tidak bercakap mengenai MO1 dalam konteks saman mahkamah DOJ, tetapi sebaliknya dari segi perlembagaan.

Saturday, August 20, 2016

Mohon ampun sajalah, nasihat PERKASA kepada Nawawi

Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris mahu Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad memohon ampun secara ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong tanpa banyak soal dan tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Dalam kenyataannya hari ini, Irwan Fahmi berkata, syarat Nawawi dilihat akan membuatkan atau meletakkan kedudukan Yang Dipertuan Agong dalam keadaan serba salah.

"Jika Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mengarahkannya berbuat demikian, apa pandangan rakyat terhadap Seri Paduka Baginda atau institusi Agong itu sendiri.

"Bagaimana Yang Di Pertuan Agong hendak mengarahkannya sebab Nawawi sendiri kata dia tidak bersalah. Pada pandangan umum, eloklah sekiranya Nawawi tidak mengeruhkan dan mengelirukan lagi keadaan berkaitan isu ini," jelasnya.

Laporan Sinar Harian memetik Nawawi sebagai berkata, beliau hanya akan memohon keampunan atas perintah Agong dan hanya kepada Sultan Kedah itu.

Nawawi merujuk kepada tanggapan umum bahawa beliau 'menamakan' Yang diPertuan Agong sebagai 'Malaysian Official 1' (MO1) dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Nawawi berharap beliau tidak perlu berbuat demikian.

"Kalau nak mohon maaf, saya mestilah bersalah. Tapi dalam kes ini saya tidak bersalah, saya nak mohon maaf buat apa.

"Tapi kalau kepada Tuanku, saya salah atau tidak tapi kalau dipanggil, saya menghadap dan memohon maaf. Kerana Tuanku saya letakkan nombor satu.

"Tapi saya harap perkara itu tidak berlaku," ujar beliau lagi.

Sementara itu, bekas ahli Wanita Umno, Anina Saadudin memberitahu Nawawi bahawa orang yang jujur dan tinggi pekerti tidak akan menunggu untuk diminta memohon maaf, baru hendak berbuat demikian.

"Orang yang jujur dan tinggi pekerti tidak akan menungggu untuk diminta memohon maaf, baru nak minta maaf. Itu suatu kebongkakkan.

"Dia perlu sedar bahawa dia meletakkan Agong di tempat MO1 yang dikaitkan sebagai orang yang terlibat dalam jenayah kewangan terbesar di dunia," kata Anina kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Irwan Fahmi menambah, semua pihak tahu serta membaca apa yang ditulis oleh Nawawi dan setelah ia menjadi isu, barulah beliau cuba memperbetulkan ayat untuk menutup keterlanjurannya mengenai siapa MO1.

"Polis harus menyiasat dan rakyat atau pembaca yang sempat membacanya apa yg ditulis sebelum diperbaiki sudah tahu kebenarannya.

"Jadi tidak payahlah mahu memperbodohkan minda orang ramai yg sudah cerdik," tambahnya.

Dalam kenyataan itu, Irwan Fahmi turut menyelitkan serangkap pantun :

Elok bunga jalin menjalin,
Jalinan indah bagai dikarang,
Elok bangsa karena pemimpin,
Pemimpin yang baik ditaati orang

Friday, August 19, 2016

Umno mesti dikebumikan jika gagal pertahan Raja-raja Melayu

ULASAN l  Ahli Parlimen Langkawi, Nawawi Ahmad melakukan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong apabila memfitnah, menghina dan mengheret nama suci Seri Paduka dengan skandal rasuah 1MDB.

Dengan mencadangkan bahawa MO1 (Malaysian Official 1), pegawai korup yang disebut dalam prosiding Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika, adalah Agong, beliau melakukan fitnah jenayah.

Kedudukan Agong adalah paling tinnggi dalam institusi negara mengikut perlembagaan persekutuan.

Oleh itu, semua rakyat Malaysia perlu bangkit untuk menuntut supaya peguam negara (AG) mesti menunjukkan semangat yang sama dalam mempertahankan dan melindungi institusi ini sebagai AG lakukan dalam membersihkan Najib Razak daripada dakwaan rasuah berhubung dengan skandal 1MDB.

Saya telah dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudian sebagai timbalan presiden Umno kerana menimbulkan skandal ini, kerana mahu Umno dan kerajaan bersikap telus mengenai perkara ini.

Dengan pemecatan saya, Najib fikir rasuahnya boleh disembunyi di bawah permaidani.

Tetapi DOJ kemudian membuat tuduhan setebal 136 muka surat terhadap penyelewengan dana 1MDB.

Dokumen mahkamah menunjukkan tanpa keraguan bahawa firma dana pelaburan negara itu dijarah oleh seorang pegawai kerajaan yang korup dan dirujuk sebagai MO1. Penerangan yang cukup diberikan mengenai siapa itu MO1 ini.

Adalah menjijikan bagi rakyat menyaksikan institusi-institusi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memantau, menyelia dan menyiasat dilumpuhkan.

Adalah sesuatu yang memalukan bagi orang Melayu-Islam bahawa tidak ada mufti negeri dan ulama kerajaan berani mengulas mengenai skandal ini walaupun Islam menuntut Amr Ma'ruf Nahy Mungkar.

Adalah jelik melihat ahli akar umbi Umno tidak mampu memperbetulkan Majlis Tertinggi dan kepimpinan tertinggi.

Dan hanya semata-mata untuk membela tidak lagi dapat dibela, ahli pParlimen Langkawi mengheret dan melumurkan kesucian institusi raja-raja Melayu dengan skandal ini dengan mencadangkan bahawa MO1 adalah Agong.

Begitu sekali wakil rakyat Umno sedia tunduk dalam mempertahankan presiden parti. Bagaimana ini boleh berlaku kepada parti keramat orang Melayu ini?

Apabila kita melihat pemimpin Umno dan ahli politik berkelakuan sedemikian, kita mesti menerima hakikat bahawa Umno tidak lagi dapat diselamatkan.

Umno tidak mungkin diselamatkan jika parti itu tidak mampu menyingkirkan pemimpin yang korup.

Umno mesti dikebumikan jika ia tidak dapat mempertahankan institusi raja tetapi lebih mementingkan mempertahankan presiden dan kini seorang ahli politik kerdil boleh menghina Seri Paduka tanpa sebarang tindakan.

Laporan polis telah dibuat berhubung fitnah itu oleh pengasas BERSATU, Anina Saadudin.

Terpulang kepada polis untuk mengambil tindakan.

Pejabat Peguam Negara pernah dan sedang mendakwa penulis blog, kartunis, peguam dan pemimpin pembangkang kerana menghasut dan di bawah Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Jabatan Peguam Negara kini perlu menggunakan undang-undang sama ke atas ahli parlimen Langkawi.

Tidak kurang pentingnya adalah untuk menamakan siapa sebenarnya adalah MO1.

Ini adalah supaya memastikan tidak ada individu lain pula yang tampil dan memfitnah Yang di-Pertuan Agong seperti yang dilakukan oleh ahli parlimen Langkawi mahupun ahli politik lain yang cuba mencari publisiti murahan. Fitnah seumpama ini mesti dihentikan.

Saya kata dengan jelas bahawa MO1 adalah Najib Razak. Beliau adalah penyangak yang dirujuk dalam pemfailan mahkamah DOJ.

Oleh kerana saya pasti yang diri saya adalah betul, saya meminta ahli Umno untuk memikirkan sama ada orang seperti ini yang mereka mahu sebagai pemimpin parti mereka.

Saya meminta rakyat Malaysia menjawap sama ada pemimpin ini yang mereka mahu sebagai perdana menteri dan memimpin negara ini?

Kita mesti menamatkan kekejian ini dan mengembalikan kebenaran serta keadilan. Saya minta semua rakyat Malaysia untuk bersatu dalam mencapai matlamat ini.

MUHYIDDIN YASSIN adalah bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Monday, August 8, 2016

Pemuda UMNO WP: DOJ sengaja bagi carca marba

Zikri Kamarulzaman 
 Hari ini, 9:48 pagi Hari ini, 9:49 pagi

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) sengaja memasukkan Malaysian Official 1 (MO1) dalam dokumen saman sivil untuk merampas aset berkaitan 1MDB, untuk menjadikan Malaysia “carca marba”.

Akhirnya, kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii, rakyat Malaysia bergaduh sesama sendiri bagi menentukan identiti pihak itu.

“Mereka bagi kita fikir entah apa-apa macam hendak histeria, umpamakan Malaysian Official 1 dengan si polan si polan.

“Akhirnya kita gaduh bersama sendiri,” katanya yang mendakwa ia membuatkan negara porak peranda.

Pengkritik mendakwa MO1 ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Pemimpin Umno bagaimanapun menegaskan nama Najib tidak disebut secara langsung kerana beliau tidak terlibat.

DOJ merampas lebih RM1 bilion aset yang didakwa berasal daripada dana 1MDB yang menurutnya “dicuri” daripada rakyat Malaysia.

MO1 didakwa menerima US$731 juta daripada penyalahgunaan sekurang-kurangnya AS$3.5 bilion.

Beliau berkata AS terkenal sebagai negara yang memalsukan bukti untuk campur tangan dalam urusan negara lain.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini Jumaat lalu, Razlan membangkitkan kenyataan George W Bush, presiden AS pada 2002, yang mendakwa Iraq mempunyai senjata pemusnah.

Katanya, ia kemudian terbukti salah walaupun perang teluk telah tercetus.

“Mereka ingat Malaysia ini kecil. Mereka ingat boleh hancurkan Malaysia semalaman. (Mereka ingat boleh kata) aku buat kenyataan media hari ini ,esok kerajaan ubah,” katanya.

Sunday, August 7, 2016

MO1 watak imiginasi rekaan Mahathir, jangan percaya

MENURUT dokumen saman sivil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), semua wang yang kononnya digunakan untuk aktiviti penggubahan wang haram, pembelian harta mewah dan sebagainya oleh 4 individu yang dinamakan dalam saman tersebut, bersumberkan dari dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Malaysia Official 1 (MO1) sepanjang tempoh 2011-2013.

Wang inilah yang dikatakan datang dari 1MDB.

Sementara siasatan di Malaysia seperti disahkan oleh PAC (bi-partisan) dan Peguam Negara pula menunjukkan tidak ada wang dari 1MDB yang dimasukkan ke dalam mana-mana akaun peribadi rakyat negara ini sepanjang tempoh tersebut, sebaliknya kalau ada pun wang dalam jumlah besar yang masuk akaun peribadi rakyat negara ini, ia adalah derma dari Arab Saudi seperti disahkan pihak berkuasa kedua-dua negara serta dalam pengetahuan Bank Negara Malaysia.

Amatlah mustahil Bank Negara tak tahu wang dalam jumlah sebesar itu masuk ke negara ini, malah dikatakankan idea untuk wang itu masuk akaun peribadi pun datang dari mereka sendiri.

Masing-masing PAC dan Jabatan Peguam Negara melihat laporan audit 1MDB sementara DoJ tidak melihat laporan tersebut, menyiasat 1MDB pun tidak. Keputusan untuk memfailkan saman sivil ke atas 4 individu berkenaan hanya berdasarkan laporan yang dibuat semata-mata.

Banding kan kedua ini siapa kita nak percaya? Dah tentulah PAC dan Peguam Negara sebab mereka dah tengok dokumen tu. DoJ? Mereka jumpa 1MDB pun tidak.

Hanya 1 orang saja yang nak rakyat percaya sejumlah wang besar yang masuk itu datang dari 1MDB, bukan derma Arab Saudi dan dia adalah Mahathir.

Seterusnya mengesahkan (walaupun dia menafikan) bahawa dalang kepada laporan yang membawa kepada saman sivil DoJ ke atas 4 individu itu, adalah Mahathir. Dia saja yang taksub duit 1MDB dicuri sekalipun tidak ada bukti yang boleh menyokong dakwaan tersebut.

DoJ pun tak berani nak menamakan siapa MO1 itu, sebab kuncu-kuncu Mahathir yang buat laporan itu tak tunjuk bukti, hanya air liur yang bersembur.

Ringkasnya, MO1 ini adalah watak rekaan hasil laporan yang dibuat kuncu-kuncu Mahathir untuk dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sedangkan hakikatnya ia tak langsung berkaitan.

MO1 yang dinamakan dalam saman sivil itu adalah orang yang didakwa mengambil wang dari 1MDB yang kemudian digunakan 4 individu berkenaan untuk aktiviti penggubahan wang haram sedangkan semua siasatan menunjukkan tidak ada sesiapa yang mengambil wang dari 1MDB, serah pada 4 individu berkenaan untuk digunakan bagi aktiviti penggubahan wang haram.

Najib tidak pernah, mahupun dibuktikan pernah mengambil wang dari 1MDB unutk dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Kalau ada, mana pen drive nya, eh silap, mana buktinya?

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-