Showing posts with label EMRS. Show all posts
Showing posts with label EMRS. Show all posts

Monday, February 11, 2019

Adib dalam van ketika lori bomba berundur - Saksi ketiga

Alyaa Alhadjri
Diterbitkan Hari ini 6:53 petang 


INKUES ADIB | Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dikatakan berada di dalam kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) yang dinaikinya ke Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya ketika rusuhan berlaku.

Perkara itu didedahkan Ahmad Shahril Othman yang merupakan saksi ketiga inkues siasatan kematian Muhammad Adib.

Ahmad Shahril juga memaklumkan bahawa dia merupakan pemandu van EMRS itu ketika kejadian rusuhan 27 Nov tahun lalu.

"Arwah (Muhammad Adib) berada di sebelah saya. Arwah masih berkomunikasi dengan saya.

"Dia masih ada di situ dan melihat lagi seorang pegawai yang sedang keluar dari FRT (Fire Rescue Tender) untuk memadam kebakaran. Kami bercakap 'lajunya Hazim keluar'," kata Shahril pada inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Hazim diperkenalkan dalam inkues itu sebagai salah seorang anggota bomba yang dikejarkan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subaang Jaya dan tiba di lokasi kejadian pukul 1.12 pagi bagi memadam api yang maraj pada sebuah kenderaan di seberang jalan kuil.

"Saya nampak belum sempat dia tarik hose reel tiba-tiba Hazim diserang

Selepas tu say dah tak nampak kelibat Hazim. Tak tau dia di mana," kata Shahril, yang menjelaskan bahawa perusuh datang dari depan, dan sisi sebelah kiri serta kanan lori bomba.

Terdahulu, inkues dimaklumkan tentang sekumpulan kira-kira 50 individu menyerbu lori bomba.

Ahmad Shahril berkata beberapa individu turut menyerang van EMRS yang berada kira-kira dua meter di belakang lori bomba.

"Dalam kelam kabut kenderaan FRT (Fire Rescue Tender) berundur secara tiba-tiba. Terlanggar bahagian depan (EMRS)...

"Pada masa yang sama ada sekumpulan memakai helmet nak menyerang di pintu bahagian pemandu. Ketuk pintu pakai helmet. Lebih dari tiga orang...suruh membuka pintu," kata Ahmad Shahril.

Pemandu lori bomba, Md Eliza Mohd Noor yang juga merupakan saksi kedua inkues menyambung keterangan selepas rehat. Sebelum itu, beliau turut mengesahkan Hazim keluar dari lori bomba dan cuba mengeluarkan gelung hos untuk memadam kebakaran.

Pada kejadian itu, kedua-dua kenderaan berkenaan akhirnya meninggalkan lokasi rusuhan dan menuju balai polis USJ8.

Sebaik tiba di balai polis, Eliza berkata dia diberitahu bahawa Shahril memaklumkan pegawainya bahawa Muhammad Adib tiada di dalam van EMRS.

"Kami kemudian cuba hubungi Muhammad Adib beberapa kali tapi tak ada siapa jawab.

"Selepas 15 hingga 20 minit kemudian, kami menerima panggilan (daripada telefon Muhammad Adib) dan individu dalam talian memberitahu bahawa Muhammad Adib dibawa ke SJMC (Sime Darby Medical Centre)," kata Eliza yang menjelaskan bahawa pasukannya kemudian diarahkan ke hospital.

Inkues diteruskan esok untuk hari kedua dengan kunjungan di lokasi kejadian di kuil yang akan diketuai Koroner Rofiah Mohamad dan pasukan peguam.

Wednesday, December 5, 2018

Reaksi positif, Adib dijangka kahwin hujung Dis - Zuraida

Diterbitkan 5 Dis 2018, 4:10 petang


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yakin rancangan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim untuk melangsungkan perkahwinan pada penghujung bulan ini dapat direalisasikan susulan perkembangan positif sepanjang sembilan hari dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Menurutnya, beliau yakin Muhammad Adib akan pulih seperti seorang anak muda sesuai dengan umurnya iaitu 24 tahun hasil rawatan dan pemantauan berterusan IJN.

"Adib menunjukkan perkembangan yang positif dan doktor telah memberikan tumpuan yang sangat baik kepadanya.
"Saya percaya dengan rawatan dan pemantauan, Adib akan kembali pulih seperti sedia kala tetapi kini masih memerlukan rawatan insentif," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Muhammad Adib di IJN, di Kuala Lumpur, hari ini.

Zuraida berkata keluarga Muhammad Adib juga menunjukkan reaksi ceria selepas melihat perkembangan positif anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata Muhammad Adib akan kekal ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga sembuh sepenuhnya.

"Keadaan Adib semakin pulih, 70 peratus stabil berbanding sebelum ini dan proses pemulihan mengambil masa, kita harus bersabar.

"Kita puas hati dengan perkembangan positif Adib dari semasa ke semasa dan harap perkembangan yang lebih ketara dalam masa dua hingga tiga minggu ini,” katanya.

Terdahulu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di IJN kira-kira 11 pagi dan meluangkan masa hampir setengah jam melawat Mohammad Adib.

"Hari ini adalah hari yang baik kerana Muhammad Adib buat pertama kali menunjukkan isyarat bagus.

“Dia sedar, tak boleh cakap tapi boleh dengar," ” kata Najib.

Muhammad Adib sebelum ini dilaporkan parah diserang sekumpulan perusuh ketika terlibat dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 Nov lalu.

- Bernama

Wednesday, November 28, 2018

'Kami memang diserang'

Anne Muhammad
Diterbitkan 28 Nov 2018, 10:10 malam |


"Begitu kelam kabut dan panik," kata seorang anggota bomba menceritakan pengalamannya ketika bertugas di tengah-tengah rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, awal pagi Selasa lali.

Salah seorang daripada lapan anggota yang ditugaskan, Mohd Hazim Mohd Rahimi berkata pasukannya memang telah diserang perusuh.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, tugas saya untuk turun daripada jentera dan terus ke tempat simpanan salur bantu mula (hose reel). Jika kebakaran di sebelah kiri, saya akan tuju tempat simpanan di sebelah kiri untuk memadam api.

"Tapi belum sempat keluar, kami sudah diserang. Saya terus lari dan masuk ke dalam jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di belakang jentera Fire Rescue Tender (FRT)," katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, hari ini.
Hazim (duduk, dua dari kanan)

Namun, katanya lagi, pintu jentera EMRS itu turut diserang sehingga tercabut, dan kini menjadi sebahagian bahan bukti polis.

Dalam sidang media itu, Ketua Pengarah Bomba Mohamad Hamdan Wahid menampilkan Hazim, 31, sebagai individu yang dilanggar belakang jentera bomba seperti yang dipaparkan video yang tular hari ini.

Baca: Serang bomba: Perusuh akan dibawa ke muka pengadilan, kata menteri

Hamdan berkata Hazim yang bertugas di Balai Bomba Subang Jaya terselamat dalam kejadian itu.

Ia bagi menafikan dakwaan pihak kuil bahawa individu itu adalah Muhammad Adib Mohd Kassim yang sebelum ini dilaporkan diserang perusuh sehingga cedera parah.

Hamdan berkata anggotanya berdepan situasi sukar apabila perusuh melemparkan peralatan seperti kayu, parang, besi dan paip kepada anggotanya.

"Bila sampai ke lokasi, pemandu EMRS beritahu parang, kayu, besi menghentam pintu jenteranya.

"Kalau ini yang dikatakan sambutan dan layanan yang baik, anda sendiri boleh menilainya," katanya lagi.

Tuesday, November 27, 2018

[UPDATE] Rusuhan kuil: Muhammad Adib kritikal

MyMetro
Utama
Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my
Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membaca Yassin sementara menunggu perkembangan rawatan anggota bomba yang diserang prusuh di Kuil Maha Mariamman, hari ini. FOTO NSTP

ANGGOTA Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, USJ25 1 pagi hari ini, berada di dalam keadaan kritikal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, mangsa Muhammad Adib Mohd Kassim sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di bawah pengawasan lima orang doktor pakar.

“Setakat ini Adib bergantung kepada sistem bantuan hayat, keadaannya masih di tahap kritikal, hampir keseluruhan badannya terutama bahagian dadanya dipenuhi lebam.

“Sejak dikejarkan ke hospital oleh orang awam, keadaannya masih sama sehingga semasa saya menziarahinya tadi, bacaan tekanan darahnya pula kekal berada dalam paras rendah.

“Dia mengalami kesukaran bernafas akibat tulang rusuknya yang patah menjejaskan fungsi paru-parunya,” katanya dalam sidang media di SJMC, Subang Jaya, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Zuraida berkata, pihaknya akan menawarkan sokongan kepada mangsa dan keluarganya dari Kedah yang turut sudah berada di hospital.

“Saya cukup kesal dan dukacita dengan kejadian ini, saya bertemu dan menenangkan ahli keluarga, mereka sangat sedih dan trauma, kita sama-sama doakan yang baik-baik untuk mereka.

“Ini adalah hari yang sedih untuk kita, anggota bomba ini menawarkan perkhidmatan mereka untuk apa sahaja kecemasan, kenapa buat begini kepada anggota bomba.

“Saya minta dan berharap jangan berulang lagi episod gelap, jadilah orang yang lebih bertamadun dan jangan ulanginya,” katanya.

Sementara itu, pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membaca surah Yasin di perkarangan lobi SJMC sementara menunggu perkembangan rawatan mangsa.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 1:08 PM

Rusuhan kuil: Bomba pun kena belasah

MyMetro
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my

Keadaan jentera bomba yang dirosakkan perusuh dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi. FOTO NSTP

SEORANG anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, dalam kejadian kira-kira 1 pagi, hari ini.

Anggota berkenaan diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Katanya, mangsa datang ke lokasi bersama beberapa lagi anggota BBP Subang Jaya bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh di luar kuil.

“Dalam kejadian 1 pagi tadi, jentera FRT milik BBP Subang Jaya turut mengalami kerosakan apabila perusuh bertindak memecah cermin hadapan serta belakang selain cermin tingkap jentera di sisi kiri dan kanan.

“Serangan itu juga turut menyebabkan pintu belakang tercabut, keempat-empat tayar jentera pecah di cucuk objek tajam selain kerosakan lain pada bahagian badan jentera yang kemek dipercayai dipukul objek keras,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Jurucakap itu lagi, susulan serangan itu, anggota tidak dapat memadamkan kenderaan yang dibakar dan anggota bomba di lokasi kejadian diselamatkan beberapa orang awam.

“Anggota berkenaan kini berada di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan dialami.

“Manakala jentera bomba yang dirosakkan sudah dibawa ke Balai Polis USJ8 bagi membolehkan siasatan di lakukan oleh polis,” katanya.

Sementara itu, keadaan di sekitar kuil itu dilaporkan tenang apabila kumpulan perusuh dianggarkan berjumlah kira-kira 1,000 orang bertindak bersurai dari lokasi sekitar 4.45 pagi tadi.

Malah, sehingga 8 pagi tadi, hanya terdapat beberapa individu berada di dalam kuil berkenaan dipercayai bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-