Showing posts with label FIC. Show all posts
Showing posts with label FIC. Show all posts

Monday, December 25, 2017

Tanah FELDA: 'Saya tak lari' - Isa

By watan 
December 25, 2017
Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata beliau bersedia memberi kerjasama kepada polis berhubung isu pindah hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Mohd Isa berkata, setakat ini polis masih belum menghubunginya untuk mendapatkan sebarang kenyataan, selepas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad membuat laporan polis.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu berkenaan, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa membuat siasatan.

“Setakat ini polis belum panggil saya, biar polis jalankan tugas. Tetapi jika polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) panggil, saya bersedia memberi kerjasama.

“Saya tidak mahu komen lebih kerana tidak mahu isu ini dijadikan polemik politik” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kempen Tabung Hari Pahlawan 2017 Peringkat Parlimen Teluk Kemang di Batu 4 di Port Dickson, Isnin.

Terdahulu, Mohd Isa yang juga Penaung Persatuan Veteran ATM Cawangan Port Dickson dalam ucapannya berkata, beliau tidak melarikan diri daripada pihak media tetapi perlu menghadiri banyak program.

“Ramai cakap saya lari, mana ada saya lari, saya ada banyak program di sini, Jempol dan Seremban,” katanya.

Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, di ibu kota, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah yang didakwa mencurigakan itu termasuk tidak menolak kemungkinan memanggil Mohd Isa bagi membantu siasatan.

Wartawan Watan-Online

Isa Samad nafi elak media kerana isu tanah Felda

FMT Reporters
December 25, 2017

Bekas pengerusi Felda itu berkata, beliau sibuk menghadiri beberapa program di Negeri Sembilan.

PETALING JAYA: Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menafikan beliau cuba mengelakkan wartawan yang mahu mendapatkan komennya berhubung isu pemindahan hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu NST Online beliau mempunyai jadual padat untuk menghadiri beberapa program di Jempol, Seremban dan Port Dickson sejak beberapa hari lalu.

“Siapa kata saya larikan diri? Saya sibuk dengan pelbagai program,” katanya ketika menghadiri kempen Hari Pahlawan Teluk Kemang di Batu 4, Port Dickson.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Isa ada mengulas isu pertukaran hak milik tanah itu.

Isa dilaporkan mengelak menemui wartawan yang menunggu beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Khamis lalu, sekembalinya dari luar negara.

Beliau juga tidak menjawab panggilan mahupun mesej WhatsApp yang dihantar ke nombor telefon peribadinya.

Jumaat lalu, polis mengumumkan penubuhan pasukan khas pada 13 Disember lalu untuk menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak dan akan memanggil Isa bagi membantu siasatan itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan, iaitu penipuan serta pemalsuan dokumen.

Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik bernilai RM270 juta itu, susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.

Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai 1 Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi FGV mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-