Showing posts with label Himpunan Penyatuan Ummah. Show all posts
Showing posts with label Himpunan Penyatuan Ummah. Show all posts

Thursday, November 14, 2019

Jalan ke Himpunan Penyatuan Ummah Tg Piai sesak sejauh 2km

Mohamad Fadli
-November 14, 2019 10:09 PM

Ribuan wanita datang untuk Himpunan Penyatuan Ummah di Tanjung Piai malam tadi.

PEKAN NANAS: Jalan menuju ke Himpunan Penyatuan Ummah di Parlimen Tanjung Piai malam tadi sesak dengan kenderaan dan orang ramai sejauh 2km.

Setibanya FMT di tapak acara, lebih 5,000 hadirin memenuhi padang di Kampung Sawah untuk himpunan yang menampilkan pimpinan Umno dan PAS.

Pengerusi acara, Tajuddin Abdul Rahman dari Umno, yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, menujukan kehadiran malam ini buat Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad.

“Semalam ceramah PH dikatakan ‘hanya’ 2,000 orang,” katanya.
Pemimpin Umno dan PAS berkongsi pentas. Bekas perdana menteri Najib Razak (duduk, dua dari kiri) bersama Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan; Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan; dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Orang ramai dibahagikan kepada dua bahagian iaitu wanita di satu bahagian dan lelaki di satu bahagian. Sebahagiannya berkerusi manakala selebihnya duduk bersila.
Antara lelaki yang sanggup meredah kesesakan sejauh 2km untuk Himpunan Penyatuan Ummah.

Pengerusi Barisan Nasional Johor, Hasni Mohammad berharap kehadiran malam ini dapat diterjemahkan kepada undi untuk calonnya, Wee Jeck Seng pada 16 Nov ini sempena Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang sedang berlangsung.

“Marilah kita terus berdoa,” katanya.

Saturday, September 14, 2019

Himpunan Penyatuan Ummah: Apa kata orang politik

News | Diterbitkan Hari ini 7:00 malam


Himpunan Penyatuan Ummah mencipta sejarah apabila dua parti yang berseteru sejak 1978, Umno dan PAS, akhirnya menandatangani piagam rasmi hari ini.

Sejak tengah hari, tanda pagar #hpu914 sempat sohor di kedudukan lima teratas di Twitter untuk beberapa ketika, dengan pemimpin-pemimpin pembangkang tidak ketinggalan mengemas kini Twitter dan Facebook masing-masing dengan hantaran berhubung himpunan tersebut.

Najib Razak menggambarkan keadaan di PWTC, tempat acara berlangsung tengah hari tadi yang sesak dengan lebih 25,000 pengunjung yang berpakaian merah, putih dan hijau sehingga sukar untuk berjalan.

Dalam hantaran terbaru pula, dia berkongsi: “Di sekitar dewan kita dapat melihat. Ramai. Ada yang menitis air mata kerana penyatuan ini. Umno-PAS akhirnya bersatu.Allah Maha Berkuasa. #HPU914”.

Dalam ciapan Twitter Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii, dia berkongsi rasa terharu dengan memuat naik rakaman video Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berjalan berpimpin tangan menaiki pentas utama Dewan Merdeka.

“Saat ini, menangis di dalam hati apabila melihat Zahid dan Hadi masuk berpimpin tangan ke dalam Dewan Merdeka PWTC!

“Dikala dunia Islam hancur kerana perpecahan, lain pula Di Malaysia. Jiwa besar pemimpin ini harus kita hormati! Detik manis Islam!” katanya.

Seorang lagi ahli MT Umno, Abdul Rahman Dahlan pula mengimbau permusuhan “dalam dan perit” antara PAS dan Umno sebelum ini, sehingga katanya, ada ahli MT Umno di PWTC tadi mengaku tidak pernah mendengar lagu PAS sebelum ini biarpun mereka dari Kelantan.


When we were singing PAS' party song in Dewan Merdeka PWTC, surprisingly some Kelantan leaders in UMNO's Supreme Council acknowledged they only heard it for the first time. That's how deep & bitter the animosity was between UMNO & PAS before.

32 people are talking about this
Anggota Parlimen Pontian dari Umno, Ahmad Maslan pula menciap tentang tontonan siaran langsung himpunan itu di media sosial yang dakwanya mencecah lebih 700 ribu tontonan, dengan menggabungkan tontonan di Facebook TV BN, TV PAS dan TV Sinar Harian.


LEBIH 700 RIBU TONTON LIVE HIMPUNAN - dlm:

TV BN di https://www.facebook.com/mediaumnomalaysia/videos/2404122713190821/  dgn jumlah tontonan sebanyak 393,000 & jumlah perkongsian 6,698 setakat jam 2 ptg.

Dua lagi ialah TV PAS & TV

Hadir sama @NajibRazak @HishammuddinH2O & @Khairykj

View image on TwitterView image on TwitterView image on TwitterView image on Twitter

22 people are talking about this
AJK PAS Pusat, Nik Mohamed Abduh pula lebih selesa berjenaka tentang himpunan itu dengan memuat naik sekeping gambar bersama Muhtar Suhaili, Kamal Ashaari, dan Ir Khairil Nizam - yang disifatkannya sebagai penyatuan peminat Liverpool, Manchester United dan Manchester City.

“Malam ni ambo gomo di Anfield..#YNWA” tulisnya di Facebook.

Pandangan pemimpin kerajaan

Sementara itu, meskipun kebanyakan pemimpin utama PH dilihat tidak mengulas himpunan berkenaan, segelintir pemimpin kerajaan memberikan pendapat.

Antaranya, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang menyifatkan piagam itu ibarat sijil nikah buat PAS dan Umno yang sebelum ini “bersekedudukan”, selain mendakwa pendirian PAS kini tidak sama seperti ketika kepimpinan Allahyarham Fadzil Noor dan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.

“Hubungan sulit yang disorok sebelum ini kini diisytihar secara terbuka. (Dulu) PAS bersekedudukan dengan parti perkauman Melayu. Mungkin hari ini tandatangan (MoU) dapat sijil nikahnya, Wallahualam,” katanya seperti dilapor Malaysia Dateline.

Pengerusi PH Selangor Amirudin Shari (PKR) pula dipetik Bernama sebagai menyuarakan kebimbangan akan wujud gerakan politik perkauman melampau dengan penyatuan Umno dan PAS itu.

Adun Sungai Pelek dari PKR, Ronnie Liu berkata penyatuan itu sememangnya mampu memberikan Umno dan PAS peluang lebih cerah dalam memenangi PRU.

Namun, katanya, ia hanya memberi kesan sekiranya kedua-dua parti dapat mengelakkan perselisihan berhubung pengagihan kerusi.

“PH pun buat begitu untuk PRU-14, begitulah kami dapat memperoleh kemenangan bersejarah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, kerjasama itu juga akan menjauhkan golongan Melayu moderat dan semua golongan bukan Melayu, dan untuk PRU akan datang, pengundi mempunyai dua pilihan ketara - iaitu satu membawa naratif kepelbagaian kaum, satu lagi membawa agenda “ketuanan Melayu”.

“BN sekarang ialah perikatan Melayu. Memanggilnya (parti yang melibatkan) pelbagai kaum hanya kerana MCA dan MIC ada sekali, hanyalah satu kepura-puraan, rakyat pun tahu hal ini,” katanya lagi.

Sementara itu, empat ketua pemuda sayap parti komponen PH antara yang paling awal mengeluarkan kenyataan secara bersama, meminta gabungan tu tidak membazirkan masa berbicara soal parti lain, sebaliknya menumpukan perhatian kepada prestasi parti sendiri.

Piagam yang diberi nama Piagam Muafakat Nasional itu ditandatangani oleh Ahmad Zahid dan Abdul Hadi selepas kedua-duanya menyampaikan ucapan masing-masing di depan lebih 1,000 perwakilan di Dewan Merdeka.

Piagam tersebut dibacakan secara bersama oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang antara lain menggariskan matlamat kerjasama - atau taawun siyasi - dua parti terbesar orang Melayu itu.

Pemeteraian itu kemudiannya disambut laungan takbir oleh hadirin yang hadir.

Umno, PAS akhirnya meterai Piagam Muafakat Nasional

Haspaizi Zain
Diterbitkan Hari ini 1:20 tengahari


Umno dan PAS akhirnya memeterai piagam kerjasama, yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional, di Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putran (PWTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ia selepas presiden kedua-dua parti, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang, menyampaikan ucapan masing-masing.

Di depan lebih 1,000 perwakilan dua parti itu, piagam tersebut dibaca bersama oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Pada masa sama 5,000 lagi memenuhi kawasan luar Dewan Merdeka di ibu pejabat Umno itu.

Annuar dilihat sebak dan hampir menitiskan air mata ketika membaca piagam tersebut, yang menggariskan secara umum matlamat kerjasama - atau taawun siyasi - dua parti terbesar orang Melayu itu.

Piagam tersebut kemudian ditandatangani Zahid dan Hadi, sambil diiringi lagu Teman Sejati dendangan kumpulan nasyid Brothers.

Pemeteraian itu disaksikan pemimpin utama kedua-dua parti. Ia kemudian disambut laungan takbir oleh hadirin.

[Berita lanjut menyusul]

Lawan jadi kawan: Menyingkap 6 dekad sejarah Umno dan PAS

FMT Reporters
-September 14, 2019 10:09 AM

Najib Razak melawat Hadi Awang di IJN pada Januari 2016.

PETALING JAYA: Umno dan PAS, dua parti politik terbesar berteraskan Melayu-Islam, mempunyai sejarah panjang.

Kedua-dua parti itu dalam bersaing untuk mencari tapak yang kukuh dalam hati pengundi, terutamanya masyarakat Melayu-Islam, telah cuba dan masih berusaha untuk membentuk ikatan politik yang mantap serta kekal berkuasa.

FMT menggariskan peristiwa-peristiwa penting sepanjang 6 dekad lalu bagi menggambarkan turun naik hubungan Umno-PAS menjelang Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung selama 2 hari di premis Umno iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra dan Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

1951
Golongan ulama dalam Umno menubukan Persatuan Islam Se-Malaya dengan keahlian longgar, dengan Ahmad Fuad Hassan dilantik menjadi presiden.

1955
Dalam pilihan raya umum pertama Tanah Melayu, Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi manakala PAS satu.

1969
PRU pertama selepas pembentukan Malaysian menyaksikan Perikatan terdiri daripada Umno-MCA-MIC hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

1974
Perdana Menteri Abdul Razak Hussein menggerakkan usaha menubuhkan Barisan Nasional (BN) bagi menggantikan Perikatan. PAS turut serta.

PAS yang bersama BN menang besar dalam PRU, di mana manifesto BN berteraskan “memuliakan Islam sebagai agama rasmi negara”.

Susulan kemenangan PRU, Mohamed Nasir dilantik sebagai menteri besar Kelantan tetapimenimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli PAS.
1976
Nasir serah surat letak jawatan.

1977
PAS memutuskan untuk memecat Nasir yang tidak jadi letak jawatan.

DUN Kelantan membawa usul tidak percaya terhadap Nasir dan selepas usul diluluskan, demonstrasi dicetuskan penyokong Nasir bertukar menjadi rusuhan.

Dewan Rakyat mengisythiharkan darurat di Kelantan, dan pentadbiran negeri diletakkan di bawah kuasa seorang pegawai persekutuan.

Majlis Tertinggi BN memberi tempoh 4 hari kepada PAS untuk memecat ahli Parlimen yang menentang Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977.

Yang Dipertua PAS Mohamed Asri Muda mengumumkan PAS keluar dari BN.

1978
Perintah darurat di Kelantan ditarik balik. Nasir menubuhkan parti Berjasa.

BN menubuhkan kerajaan campuran di Kelantan bersama Berjasa selepas menewaskan PAS.

1981
Orang kuat PAS Terengganu Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan yang kemudiannya dikenali sebagai “Amanat Hadi”, yang kemudiannya diwartakan Majlis Fatwa Kebangsaan 2 dekad selepas itu sebagai bercanggah dari segi Islam.

1984
PAS lahir hasrat debat bersama Umno tetapi ia tidak menjadi kenyataan ekoran nasihat Majlis Raja-Raja yang tidak berkenan.

1985
Peristiwa Memali di Kampung Memali, Baling Kedah melibatkan penyokong PAS, menyemarakkan lagi permusuhan Umno dan PAS.

1987
Pemimpin PAS antara puluhan ahli politik dan aktivis yang ditahan ISA di bawah Operasi Lalang.

1989
Mohd Nakhaie Ahmad, bekas naib presiden PAS menyertai Umno, setahun sebelum PRU 1990.

1990
Selepas Umno berpecah dua (Team A dan Team B), PAS dan parti serpihan Umno Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, menjalin kerjasama di bawah Angkatan Perpaduan Ummah.

PAS menawan Kelantan, dengan Mursyidul Am Nik Abdul Nik Mat dilantik menjadi menteri besar.

1993
Kelantan menyatakan hasrat memperkenalkan hudud dan meluluskan enakmen berkaitan di Dewan Undangan Negeri. Ia ditentang oleh Umno di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

1998-1999
Kemasukan besar-besaran ahli Umno ke dalam PAS di sebalik slogan “Dulu Umno Sekarang PAS” susulan pemecatan Anwar Ibrahim dari parti dan kerajaan.

1999
PAS menang besar pilihan raya yang diadakan di sebalik kehilangan sokongan Melayu kepada Umno, tawan Terengganu.

2000
Susulan keputusan PRU 1999, perwakilan Perhimpunan Agung Umno mendesak pimpinan tidak membayar royalti minyak kepada kerajaaan Terengganu yang dipimpin PAS. Mahathir menggantikan bayaran royalti kepada “wang ihsan”.

2002
Sejarah dicipta apabila Presiden Umno Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Fadzil Noor muncul satu pentas di Dewan Bahasa dan Pustaka berkongsi pandangan mengenai perpaduan Melayu-Islam dan perhimpunan anti-Israel.

2008
PAS menjalin kerjasama bersama PKR dan DAP membawa pembentukan Pakatan Rakyat. PAS menerajui kerajaan negeri Kedah dan Perak.

2009
Muncul desas-desus beberapa pemimpin PAS mengadakan perbincangan sulit dengan Umno membentuk “Kerajaan Perpaduan” di Selangor dan Perak. Ia menerima bantahan keras Nik Aziz.

2014
Pakatan Rakyat mula bergolak, dengan PAS tidak setuju pendekatan DAP dan PKR dalam krisis menteri besar Selangor. Isu Negara Islam antara DAP dan PAS juga timbul lagi.

2015
Nik Aziz, tokoh utama PAS yang menentang sebarang kerjasama dengan Umno, meninggal dunia. Pemergiannya dilihat membuka jalan ke arah usaha kerjasama PAS-Umno.

Pada Disember, Presiden Umno Najib Razak buat pertama kali berkongsi pentas dengan rakan sejawat PAS, Hadi, pada majlis anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia.

Pergolakan Pakatan Rakyat berhubung isu “Negara Islam” semakin merapakatkan PAS dan Umno. DAP keluar Pakatan Rakyat, sekali gus menamatkan riwayat pakatan itu.

2016
Hadi atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Marang mengemukakan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Ia menerima sokongan kebanyakan wakil rakyat Umno.

Najib melawat Hadi yang menjalani pembedahan jantung di IJN, dalam apa yang dilihat mengesahkan spekulasi kerjasama Umno dan PAS.

Najib dan Hadi hadir sekali lagi berkongsi pentas, kali ini dalam himpunan solidariti bersama etnik Rohingya, di Kuala Lumpur.

2017
Pemimpin Umno dan PAS semakin kerap berkogsi pentas dalam pelbagai isu melibatkan umat Islam sejagat.

2018
Mahathir menziarahi pusara bekas presiden PAS Fadzil Noor, beberapa hari sebelum PRU yang menjatuhkan kerajaan BN.

Kerjasama Umno-PAS lebih menonjol selepas kekalahan BN, yang menjadikan dua parti Melayu-Islam itu pembangkang terbesar.

2018-2019
PAS dan Umno mula menjamin persefahaman politik menghadapi beberapa pilihan raya kecil. Kedua-dua parti bersetuju tidak bertindih dalam pencalonan, sekali gus membawa kemenangan kepada pembangkang di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

September 2019
Umno dan PAS menganjurkan Himpunan Penyatuan Ummah, menandatangani piagam kerjasama pada PRU akan datang.

Friday, September 13, 2019

Di program pemuda Umno-PAS, wakil parti komponen bangun suarakan sokongan

Yasmin Ramlan 
Diterbitkan Hari ini 9:22 malam

Seorang demi seorang wakil pemuda komponen dan rakan BN dan Gagasan Sejahtera bangun selepas tamat sesi town hall anak muda di Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, bagi menyatakan sokongan terhadap acara itu.

Wakil pemuda MCA, MIC, Ikatan dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) menzahirkan sokongan mereka demi meraih semula kemenangan pada PRU akan datang.

Mereka berbuat demikian selepas diminta Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang merupakan salah seorang panelis sesi town hall itu.

Asyraf juga meminta mereka menyuarakan pandangan terhadap himpunan itu, yang kemuncaknya bakal menyaksikan Umno dan PAS memeterai piagam kerjasama.

Naib Ketua Pemuda MCA Yow Toh Gee mengimbas kembali hubungan baik parti tersebut dengan Umno.

"Terima kasih rakan kita jemput kami di sini, kami datang untuk beri sokongan kepada himpunan penyatuan ummah.

"Kami juga ingin tahu apakah suara anak muda kita pada masa akan datang. Saya rasa kita di sini boleh bekerjasama bersama pembangkang menuju PRU ke-15 untuk rampas semula Putrajaya," katanya.

Ketua Pemuda MIC R Thinalan pula menyifatkan parti itu sebagai "rakan setia BN" dan "kawan baru PAS".

"Kami bekerjasama dengan semua. Tak pernah kita soal berkenaan agama orang lain, kerana kita tahu dasar perjuangan kita," katanya sambil mengucapkan syabas kepada PAS dan Umno atas piagam tersebut.

Ketua Pemuda Ikatan Syahir Adnan pula menyifatkan penyatuan golongan muda dari Umno dan PAS akan membimbangkan Pakatan Harapan (PH), selain menempelak kritikan sesetengah pihak bahawa kerjasama kedua-dua parti itu akan meningkatkan lagi politik perkauman.

"Ini mewakili seluruh kaum di Malaysia, ini penyatuan nasional," katanya.

Himpunan hari ini antara lain menyaksikan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man khutbah solat Jumaat di surau PWTC yang turut dihadiri pemimpin utama kedua-dua parti.

Piagam yang akan ditandatangani esok - selepas berbulan perbincangan antara kedua-dua parti - sekali gus membentuk "taawun siyasi" antara dua parti itu secara rasmi.
Khairil Nizam Khirudin
Terdahulu dalam sesi town hall hari ini, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin menggesa parti komponen BN agar bersuara jika piagam yang bakal dimeterai tidak menepati objektifnya kelak.

Katanya, jika ia tidak memperjuangkan keadilan berdasarkan Islam dan tidak memperjuangkan rakyat merentasi ideologi politik tetapi hanya menumpukan kepada soal orang Melayu, mereka boleh membuat demonstrasi bantahan di ibu pejabat PAS dan Umno.

"Tegur dan betulkan kami. Sebab jika permulaan kita telah dimulakan dengan langkah yang sumbang, kita akan berada dalam keadaan yang sumbang seperti kerajaan PH sekarang," katanya.

Selain itu, beliau turut menawarkan "resepi mengambil hati orang Melayu" yang menurutnya hanya dapat dilakukan melalui Islam.

"Kalau kamu nak perjuangkan kemenangan bangsa Melayu dengan menggunakan pendekatan liberal, kamu takkan menang dengan PKR.

"Kamu takkan menang dengan Bersatu (jika guna pendekatan seperti Bersatu), kamu kena faham resipi kejayaan untuk menarik hati orang Melayu adalah pada nama agamanya, Islam," katanya lagi.

Isu ‘bunting’: Annuar persoal ‘matematik’ menteri, Khalid minta maaf

Faiz Zainudin
-September 13, 2019 12:20 AM

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Tuduhan Khalid Samad kononnya Umno menipu tentang jumlah “bunting” Himpunan Penyatuan Ummah yang dipohon parti itu menunjukkan perangai sebenar kepimpinan menteri Wilayah Persekutuan itu, kata Annuar Musa.

Setiausaha Agung Umno itu hari ini tampil membuat penjelaskan bahawa hanya 150 bunting sahaja yang telah dipasang sepertimana kelulusan yang diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun permohonan asal yang dibuat adalah untuk 1,000 bunting.

“Dia mengunakan bahasa yang kurang cantik, Tweet kata pasang (bunting) 1,000. Saya rasa ia memberi gambaran tentang karakter seorang yang bergelar menteri. Saya fikir beliau seharusnya bertindak sedemikian. Beliau menuduh seolah-olah kita memfitnah.

“Kita telah pohon hitam putih (surat rasmi) pasang 1,000 dan kita bayar RM2,000 seperti mana disyaratkan DBKL. Kita mohon 1,000, tapi diluluskan 150 dan kita ikut apa yang diluluskan. Usahkan 1,000, pasang 300 pun tak sampai.

“Takut dia bilang (macam mana tak tahulah),” katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn, PWTC hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Terdahulu Annuar dalam hantarannya di Twitter turut memaparkan surat kelulusan DBKL mengenai pemasangan “bunting” di sekitar PWTC, di sini.

Lokasi tiang lampu yang dibenarkan ialah di Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Chow Kit, Jalan Loke Yew, Jalan TAR dan sekitar kawasan Masjid Negara.

Terdahulu, Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh, Mohd Razlan Rafii menerusi akaun Twitter berkata, DBKL merampas dan menurunkan “bunting” yang baru dipasang oleh petugas parti itu.

Khalid menyifatkan kenyataan Razlan itu tidak boleh dipercayai kerana surat permohonan hanya menyebut Umno memohon untuk memasang 150 “bunting” sahaja.

Ia mencetuskan perang mulut antara kedua-dua pemimpin Umno dan kerajaan itu di media sosial.

Terkini Khalid akhirnya akur bahawa Umno memohon untuk memasang 1,000 “bunting” bukannya 150 seperti yang didakwanya sebelum ini.

Beliau berkata, DBKL telah mengesahkan bahawa Umno memohon untuk memasang 1,000 “bunting”.

“DBKL minta maaf kerana sebut permohonan untuk 150 dalam surat kelulusan mereka. Saya rujuk surat DBKL,” katanya di Twitter.

Himpunan Perpaduan Ummah anjuran Umno dan PAS bermula esok di PWTC. Ia dijadualkan berakhir pada Sabtu dengan perisytiharan dokumen Piagam Muafakat Nasional yang mengesahkan kerjasama politik antara 2 parti politik terbesar orang Melayu itu.

Thursday, September 12, 2019

Menanti naratif baru politik Melayu di bawah Umno, PAS

Haspaizi Zain 


ULASAN | Orang Melayu dan umat Islam pastinya tertumpu kepada detik sejarah yang akan menyaksikan penyatuan dua parti politik terbesar orang Melayu pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 Sept nanti.

Umno dan PAS kini sedang menghitung detik bagi menantikan "hari bahagia" untuk dua parti meraikan "persandingan" selepas secara rasmi memeterai piagam kerjasama politik.

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, pastinya merakam sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya juga lagu rasmi PAS akan berkumandang di dewan keramat Umno itu, selain bendera parti Islam itu juga pasti turut menghiasi setiap sudut di PWTC.

Pastinya, 14 Sept akan menjadi detik sejarah bukan saja kepada Umno dan PAS yang menamatkan sengketa politik mereka sejak puluhan tahun, malah akan mencorak hala tuju baru politik orang Melayu di negara ini.

Secara teorinya, penyatuan Umno dan PAS adalah kebaikan kepada orang Melayu dan umat Islam, itu tidak dapat disangkal meskipun "Melayu Bersatu, Melayu Amanah, Melayu PKR dan Melayu DAP" cuba menafikannya.

Malah, Islam turut menyeru umatnya supaya bersatu padu, mengelak daripada perpecahan kerana perpaduan adalah kekuatan kepada orang Islam dan dalam konteks Malaysia, pastinya orang Melayu.

Mengapa saya kata kerjasama Umno, PAS adalah baik untuk orang Melayu dan umat Islam, jawapannya mudah saja, kerana sejak sekian lamanya orang Melayu ataupun umat Islam di negara ini berpecah kerana "mazhab politik" dua parti dominan ini.
Amanat Haji Hadi misalnya, telah membuatkan orang Melayu Umno dan Melayu PAS bersengketa sehingga menyebabkan haiwan sembelihan orang Umno misalnya, haram bagi orang PAS makan.

Begitu juga pernikahan dengan orang Melayu Umno dianggap haram dan tidak sah, masjid dua imam, kafir mengkafir sesama Islam dan banyak lagi perpecahan tercetus akibat perbezaan politik Umno dan PAS sejak puluhan tahun lamanya.

Pertelingkahan yang merugikan

Namun, pada masa itu, meskipun perpecahan orang Melayu berlaku, tetapi tidak dirasai kerana Umno masih lagi kuasa dominan dalam BN dan kerajaan kerana masih mendapat sokongan padu daripada kaum India serta Cina melalui MCA dan MIC.

Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, orang Melayu khususnya Umno dan PAS mulai sedar betapa pertelingkahan antara mereka sebelum ini amat merugikan Melayu.

Perpecahan Melayu semakin parah apabila parti Melayu seperti Bersatu dan Amanah ditubuhkan bagi menarik sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun, dua parti ini secara faktanya masih gagal menarik sokongan Melayu yang kekal dengan Umno dan PAS.

Namun, sejauh mana "taawun siyasi" antara Umno dan PAS ini akan berupaya mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan rakyat Malaysia, pastinya akan terjawab pada 14 Sept ini apabila piagam kerjasama muafakat nasional dimeterai.

Piagam kerjasama Umno, PAS akan menjadi penanda aras baru kepada politik orang Melayu di negara ini.
Jika piagam yang ditawarkan mampu meyakinkan orang Melayu dan umat Islam, ia pastinya akan menjadi kekuatan baru kepada politik orang Melayu dan sekaligus akan memperkukuhkan sokongan kepada Umno dan PAS.

Piagam kerjasama Umno, PAS akan mencorakkan perjalanan politik dua parti dominan itu menuju PRU ke-15. Yang pasti dalam keadaan Umno yang sudah kehilangan kuasa, piagam Umno dan PAS perlu berpijak di bumi nyata dan bukan bersifat retorik.

Kerjasama ini juga akan menentukan sama ada Umno akan terus kekal sebagai parti keramat orang Melayu dan terus relevan untuk membawa agenda Melayu.

Oleh itu, Umno dan PAS perlu mencorakkan piagam yang mampu menyakinkan orang Melayu yang berupa satu tawaran sekiranya Umno dan PAS berjaya merampas kuasa pada PRU-15 nanti.

Begitu juga, dengan termeterainya kerjasama Umno dan PAS, corak politik Umno juga pasti perlu berubah, apakah Umno sedia dengan perubahan ini?

Apakah Umno sedia mengedarkan tabung derma pada setiap ceramahnya? Sebab masih ada pemimpin Umno yang agak "segan" untuk kutip derma ketika ceramah dan masih lagi bersifat elitis.

Begitu juga apabila termeterainya kerjasama Umno, PAS, pastinya rakyat Malaysia mahu melihat sejauh mana relevennya penyatuan ummah dan mampukah ia menjadi satu agenda inklusif untuk semua kaum dan tidak hanya eksklusif kepada Melayu Islam.

Juga, bagaimana penerimaan rakan komponen Umno dalam BN iaitu MCA dan MIC terhadap agenda perjuangan mereka selepas PAS secara rasmi menjadi rakan sekutu baru.

Himpunan Penyatuan Ummah Sabtu ini juga bakal menjadi medan yang akan menguji kepimpinan Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden Umno dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam mengemudi bahtera parti selepas laluan baru dirintis secara bersama.

PH pula jangan pandang enteng terhadap agenda penyatuan ummah Umno, PAS. Jika kerjasama yang dibentuk ini dapat "dilayari" secara berhemah dan berhikmah sehingga PRU ke-15, tidak mustahil PH akan kehilangan banyak kerusi di kawasan majoriti Melayu.

Malah, tidak keterlaluan juga untuk diperkatakan bahawa kedudukan kerajaan PH di Perak dan Kedah juga turut goyang selepas Umno dan PAS membentuk "taawun siyasi".

HASPAIZI ZAIN merupakan wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Bulan akhirnya berkibar di PWTC


Kali pertama dalam sejarah apabila bendera PAS berkibar di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Bendera ‘Bulan’ itu dikibarkan bersama bendera Umno ‘Sang Saka Bangsa’ menjelang Himpunan Penyatuan Ummah pada Sabtu ini.

Umno Online melaporkan lebih 10,000 pengunjung dijangka membanjiri PWTC bermula esok.

Program bermula dengan zikir munajat Wanita Umno dan Muslimat PAS selain program bersama Puteri dan Ameerah PAS pada sebelah pagi.

Selepas solat Jumaat akan diadakan solat hajat dan disusuli “Wacana Intelektual Penyatuan Ummah” anjuran Penerangan Umno, selain Himpunan Anak Muda yang dikendalikan bersama antara Pemuda Umno dan Pemuda PAS di Dataran PWTC.

Pada malamnya pula, akan diadakan Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka yang menampilkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada Sabtu, hari kemuncak, piagam kerjasama Umno dan PAS akan ditandatangani oleh presiden kedua-dua parti, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang.

Susulan pilihan raya umum lalu, pakatan Umno-PAS terbukti berjaya dalam tiga pilihan raya kecil, iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Ketika ini, BN-Umno memiliki 38 kerusi Parlimen manakala PAS pula memegang 19 kerusi. BN-Umno juga mengawal negeri Pahang dan Perlis manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu.

Friday, September 6, 2019

Takjub ada keris dan bulan tersemat di dada, kata Mahfuz

Yasmin Ramlan
Diterbitkan Hari ini 8:22 malam 


Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, menyifatkan gambar pemimpin-pemimpin PAS yang menyarungkan baju-T dengan lambang bendera PAS-Umno tersebar di media sosial baru-baru ini satu yang menakjubkan.

Kata anggota parlimen Pokok Sena itu, ketika kedua-dua parti pernah saling membenci suatu ketika dulu, kini di dada masing-masing terpampang lambang Umno dan PAS.

Mahfuz berkata suatu ketika dulu PAS melabel Umno sebagai tidak Islamik, manakala Umno pula mempersenda PAS sebagai ‘parti ajaran sesat.’

“Menakjubkan, telah tersemat di dada - bendera dan keris Umno pada dada pemimpin PAS yang dahulu membakar semangat ahli-ahli parti untuk membenci.

"Hari ini mereka sematkan di dada masing-masing lambang tersebut kononnya atas semangat penyatuan namun ia tidak lebih daripada hipokrasi politik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai sesi bergambar pemimpin PAS dan Umno yang duduk bersama memakai baju-T putih dengan bendera kedua-dua parti sambil melemparkan senyuman.

Ia merupakan sesi bergambar dirakam pada ketika sidang media mengenai Himpunan Penyatuan Ummah peringkat Kedah pada 4 Sep lalu.
Ia diadakan menjelang termeterainya piagam yang menjadikan kerjasama Umno dan PAS berlangsung secara rasmi di PWTC, Kuala Lumpur pada 14 Sept ini.

Antara pemimpin utama yang dilihat dalam gambar tersebut ialah Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa; Pengerusi Umno Kedah, Jamil Khir Baharom, dan Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Baca Patut PAS tanya khabar pada Rameli, kata Mahfuz

Mahfuz yang juga merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia menggambarkan Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai di antara Pas dengan Umno nanti bukannya demi penyatuan ummah.

Katanya hal itu dapat dilihat melalui ceramah kedua-dua parti sebelum ini yang sering menyebut tentang hasrat untuk memenangi pilihan raya akan datang menerusi kerjasama tersebut.

“Jadi, saya ucapkan terima kasih dan tahniahlah kepada mereka, sebab mereka beritahu tentang hipokrasi politik mereka kepada umum.

"Jadi orang ramai tak payah fikir banyak-banyak.

“Tahniah juga saya ucapkan kerana dapat terima parti kleptokrat dan pemimpin kleptokrat untuk bersama berganding bahu, berpimpin tangan dalam politik negara.

“Selamat pengantin baru didoakan moga berbahagia hingga ke anak cucu,” katanya secara sinis.

Wednesday, September 4, 2019

Penyatuan UMNO-PAS: Wujud protes senyap akar umbi PAS - AMANAH

Oleh Nazura Ngah
nazura_ngah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan penyokong PAS berhubung usaha parti pembangkang itu memeterai piagam kerjasama dengan UMNO dalam Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September ini.

Timbalan Pengerusi Biro Dakwah AMANAH, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, berkata protes senyap itu berlaku di hampir seluruh negara berikutan peringkat akar umbi PAS tidak boleh menerima bentuk kerjasama dengan parti yang menjadi lawan sejak 60 tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Meru, berkata ada pihak mendakwa penyatuan ummah itu dilaksanakan tanpa persetujuan akar umbi PAS.

Katanya, walaupun penyatuan UMNO dan PAS diakui dapat mengukuhkan kekuatan di peringkat akar umbi untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH), kekuatan itu bukan satu ancaman besar kepada parti pemerintah.

“Kekuatan itu bukanlah satu ancaman besar kepada PH kerana dari sudut yang lain, ramai akar umbi mereka tidak setuju dengan kerjasama ini, namun hanya berdiam diri.

“Kajian rasmi (mengenai protes dalam diam) tiada... maklumat ini diterima daripada rakan kami dalam PAS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Selangor itu berkata kerjasama dua parti pembangkang itu turut membuktikan dakwaan sebelum ini bahawa wujud ‘kerjasama gelap’ antara UMNO dan PAS sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, AMANAH tidak akan terjejas dengan kerjasama UMNO dan PAS, walaupun ia kelihatan kuat tetapi itulah maksimum kekuatan gabungan parti berkenaan, sedangkan kekuatan AMANAH terus bertambah sejak kerjasama itu berlaku.

“Ini terbukti setiap bulan, ribuan keahlian baharu direkodkan menyertai AMANAH seluruh negara, malah kekuatan AMANAH bertambah dengan kerjasama erat dari rakan komponen PH.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perunding PAS-UMNO, Dr Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata kajian terutama di negeri yang dikatakan ada perselisihan antara akar umbi PAS dan UMNO, mendapati golongan itu menerima baik usaha muafakat antara dua parti berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, berkata penentangan akar umbi dalam isu penyatuan atau muafakat dua parti pembangkang itu hampir sifar.

“Secara kasar, memang kerjasama PAS/Gagasan Sejahtera dengan UMNO/Barisan Nasional boleh dilihat berupaya untuk menumbangkan PH, tetapi PH adalah kerajaan, maka mereka mempunyai kelebihan.

“Sebagaimana ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar PAS baru-baru ini, lonjakan kedua selepas Penyatuan Ummah PAS dan UMNO ialah mengajak pelbagai kaum bersama muafakat yang dimeterai ke arah integrasi nasional,” katanya.

Friday, August 30, 2019

'Mereka takut bayang-bayang'

Mohd. Fairuz Yusof
30 Ogos 2019


KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pihak yang melemparkan tohmahan sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Pasir Salak hari ini merupakan mereka takut pada bayang-bayang.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, tuduhan dilemparkan itu harus diketepikan kerana apa diusahakan itu adalah kesatuan umat yang akan memberi manfaat secara menyeluruh.

"Tohmahan yang mengatakan bahawa ini adalah perhimpunan rasis, perkauman dan lain-lain adalah tidak betul. Apa yang perkaumannya dengan perhimpunan seperti itu.

"Perhimpunan ini semata-mata menyatupadukan orang Melayu Islam dan itu dituntut oleh Allah SWT supaya bersatu padu. Apakah kita mengikut apa dituntut oleh Allah dan ajaran Islam itu boleh dianggap sebagai rasis," katanya seperti dipetik portal UMNO Online.

Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 di Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik kawasan Parlimen Pasir Salak bakal menghimpunkan 50,000 orang dengan dukungan penuh dari UMNO dan Pas.

Tajudin turut mengingatkan tohmahan yang dilontarkan perlu diketepikan, sebaliknya terus sama berusaha memastikan kejayaan ummah.

"Jadi, mereka rasa bimbang dan takut menggagalkan kesatuan ini dengan membuat pelbagai tuduhan..Kita jangan ambil peduli dengan tuduhan seperti itu. Tuduhan daripada musuh-musuh yang tidak mahu melihat kejayaan dalam soal ini," ujarnya. 

- UTUSAN ONLINE

Thursday, August 29, 2019

Himpunan Penyatuan Ummah di Pasir Salak Untuk Semua, Jangan Ada Mana-Mana Pihak Rasa Terancam, Terpinggir

 rhg


Tiada mana-mana pihak yang sepatutnya berasa terancam atau terpinggir dengan Himpunan Penyatuan Ummah termasuklah yang akan diadakan di Pasir Salak pada esok, 30 Ogos, Jumaat ini.

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, himpunan seumpama ini adalah untuk kepentingan dan semestinya bakal memberi manfaat yang menyeluruh bukan sahaja kepada bangsa Melayu tetapi juga kepada seluruh rakyat.

Menurut beliau tanggapan dan dakwaan sinis jika ada ditimbulkan hanyalah sekadar untuk mengganggu-gugat kelancaran penyatuan ummah yang hari ini cukup segar dan bersemarak di seluruh negara.

“Penyatuan ummah ini tidak akan meminggirkan mana-mana pihak sekali pun kerana nawaitu kita adalah untuk kesejahteraan dan kebaikan bersama seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Apabila perpaduan itu berlaku semestinyalah negeri dan juga negara yang rakyatnya berbilang bangsa dan agama akan mendapat manfaat kerana keharmonian dan kesejahteraan jelas akan terpancul,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Lantaran kejayaan program Melayu Bangkit dan penyatuan ummah yang diadakan tahun lalu maka UMNO Pasir Salak sekali lagi bakal menganjurkan himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0.

Himpunan yang bakal diadakan pada 30 Ogos ini dijangkakan bakal mengumpulkan 50 ribu orang.

Ketua UMNO bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, himpunan ini merupakan sambutan bagi kejayaan program yang sama tahun lalu.

“Kita telah berjaya dengan dua program ini dalam menyuntik semangat untuk bersatu di kalangan orang Islam dengan satu nada mempertahankan bangsa dan agama kita.”

Pada 13 dan 14 September ini, Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena majlis tandatangan piagam kerjasama kedua-dua parti berkenaan.

Zolkafly yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput seterusnya menambah orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menyertai himpunan berkenaan bagi menyemarakkan lagi himpunan tersebut.

“Percayalah… dan yakinlah… himpunan mahupun penyatuan ummah yang digerakkan ini tidak seharusnya mana-mana pihak berasa terancam… sekali lagi kita tegaskan tidak seharusnya merasa terpinggir.

“Marilah kita jayakan bersama untuk melihat manfaat yang menyeluruh kelak,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu lagi.

 – UMNO Online

Wednesday, August 28, 2019

Pemimpin tertinggi UMNO, PAS bertemu bincang piagam penyatuan ummah

Oleh Nazura Ngah
nazura_ngah@bh.com.my

KEPEMIMPINAN UMNO dan PAS bertemu di kediaman Ahmad Zahid bagi memperhalusi piagam yang akan ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September ini. 
- Foto FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: 
Kepemimpinan tertinggi UMNO dan PAS hari ini bertemu bagi membincangkan agenda pengukuhan dan penyatuan ummah melalui piagam yang akan ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September ini.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Melalui laman Facebook, Ahmad Zahid berkata, pertemuan dan perbincangan ke arah penyatuan ummah itu berlangsung dalam suasana amat positif.

“Ada beberapa insan yang membuatkan dunia ini lebih baik kerana keberadaannya. Kalian adalah seorang dari insan tersebut. Pertemuan dan perbincangan saya dan rakan-rakan kepemimpinan UMNO bersama Datuk Seri Presiden PAS dan saf kepemimpinan PAS di kediaman saya.

“Pertemuan dan perbincangan amat positif dan memperkukuhkan lagi penyatuan ummah,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika dihubungi secara ringkas menjelaskan situasi yang berlangsung selama dua jam itu adalah pertemuan biasa pimpinan kedua-dua parti dalam menjayakan agenda penyatuan ummah.

Katanya, ia bagi mendapatkan laporan berhubung persiapan majlis menandatangani piagam berkenaan.

“Secara umum persiapan berjalan lancar dan berada atas landasan yang tepat,” katanya.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang dihubungi turut mengakui pertemuan itu hanya membincangkan persediaan menghadapi Himpunan Penyatuan Ummah.

"Ia hanya pertemuan santai sahaja, tiada perkara yang berat, serius dibincangkan, hanya berkisar persiapan menghadapi 14 September ini," katanya.

Yang turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut kelihatan dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa dan rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Takiyuddin Hasan.

Kedua-dua parti menyasarkan kehadiran 10,000 ahli serta penyokong pada himpunan berkenaan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-