Showing posts with label Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ). Show all posts
Showing posts with label Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ). Show all posts

Thursday, September 14, 2017

Pembangkang sukar terima kejayaan lawatan Najib

By MT Webmaster On Sep 14, 2017
(Bernama) – Kejayaan lawatan kerja Datuk Seri Najib Tun Razak ke Washington yang menyaksikan berlangsung pertemuan mesra perdana menteri dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sukar untuk diterima pembangkang yang terus membuat tohmahan terhadap kerajaan, demikian menurut penganalisis politik.

Menurut mereka walaupun pertemuan itu meninggalkan kesan yang positif untuk negara namun pembangkang dilihat cuba mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat berhubung lawatan perdana menteri itu.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berkata strategi seumpama itu sering dilakukan pihak pembangkang khususnya ketika lawatan perdana menteri ke luar negara.

“Mereka menghentam seolah-olah kerajaan menjual negara, ini strategi yang sama mereka lakukan. Contohnya, apabila perdana menteri mengumumkan pelaburan di China, mereka mengatakan negara ini digadai kepada China,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Hasil pertemuan dengan Presiden Trump, Najib mengumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di Amerika Syarikat dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat.


Najib berkata KWSP dijangka melabur antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion di negara tersebut.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli serta Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menggunakan platform sosial media bagi memburukkan perjumpaan Najib dan Trump itu termasuk kononnya kerajaan menggadai kepentingan negara.

Azmi berkata pengumuman perdana menteri berhubung rancangan peningkatan pelaburan oleh KWSP dan Khazanah di Amerika Syarikat sebenarnya mampu memberi hasil lumayan kepada negara serta rakyat melalui pulangan dividen yang tinggi.

“Antara strategi Khazanah dan KWSP adalah melabur di luar negara dan pelaburan di Amerika Syarikat merupakan satu peluang baik kerana tidak semua syarikat asing boleh melabur secara terbuka di negara itu, ” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata kehadiran perdana menteri di Amerika Syarikat telah menepis pelbagai tanggapan negatif sebelum ini khususnya mengenai isu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan 1MDB.

“Dengan menjejakkan kaki di Amerika Syarikat, beliau (Najib) telah menepis tanggapan bahawa beliau tidak berani ke sana,” katanya yang menyifatkan kunjungan Najib memberi kelebihan dari sudut ‘legitimasi moral’ kepada perdana menteri.

Friday, September 2, 2016

Semua peguam boleh sahkan Najib bukan subjek siasatan DOJ, kata Rahman Dahlan

FMT Reporters

Tapi Dr M dan rakan-rakan sengaja campur aduk untuk perdaya rakyat, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN
PETALING JAYA: Semua peguam boleh sahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan subjek siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) keatas dakwaan pengubahan dan pelesapan wang 1MDB, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Pengarah Komunikasi Strategik BN berkata perkara itu sebenarnya jelas umpama hitam dan putih, namun bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan konconya dalam pembangkang bermain muslihat untuk mengelirukan rakyat.

“Mana-mana peguam dapat mengesahkan bahawa perbezaan antara dinamakan sebagai subjek dalam saman sivil dengan mereka yang hanya dirujuk dalam siasatan, adalah seperti hitam dan putih.

“Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan barunya dalam pembangkang sengaja mencampur adukkan kedua-duanya untuk memperdaya rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam wawancara bersama badan penyiaran Britain BBC semalam, Mahathir dilaporkan berkata individu yang dirujuk sebagai MO1 oleh DoJ adalah Najib.

Susulan itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan memberikan penjelasan manakala Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang mendesak Najib membersihkan namanya dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan ini.

“Ramai lagi yang dirujuk DoJ. Namun, paling penting sekali, tiada seorang pun dalam kalangan mereka termasuk MO1 dinamakan sebagai subjek siasatan,” jawab Rahman.

Beliau menambah kempen ‘tohmahan’ terhadap Najib akan gagal, apatah lagi selepas siasatan terperinci pelbagai pihak berkuasa membersihkan Presiden Umno itu daripada sebarang kesalahan.

“Sama seperti gagalnya setiap percubaan beliau (Mahathir) untuk menggulingkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik,” katanya lagi.

Monday, August 29, 2016

Kenapa sampai sekarang DOJ masih menyepi?

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
29 OGOS 2016
SHAH ALAM - Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang mengenakan saman sivilnya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu tampil dengan penjelasan mengenai kesahihan dakwaan mereka yang sepatutnya memanggil individu berkaitan pada 22 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, namun sehingga ke hari ini, perkara itu masih sepi tanpa makluman daripada pihak DOJ.

"Isu 1MDB digemburkan dengan lebih dasyat lagi apabila ada pihak yang 'menangguk di air keruh' hanya untuk mengambil kesempatan. Bahkan juga, media asing turut menghentam kita secara terang-terangan.

"Kita tidak seperti negara lain di mana rakyatnya akan sedaya upaya menangkis tohmahan luar setidaknya mendesak pihak kedutaan untuk memberi penjelasan.

"Jika dakwaan yang dikeluarkan oleh DOJ adalah boleh diguna pakai, kenapa media seperti The Wall Street Journal (WSJ) dan Telegraph tidak pernah sesekali menggunakan sumber dari DOJ kononnya menggunakan sumber sendiri yang boleh dipercayai," katanya dalam satu kenyataan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan alu-alukan siasatan DOJ]

Oleh itu,katanya kini timbul persoalan apakah DOJ tidak mempunyai sumber sahih yang boleh dipercayai.

"Segala dakwaan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh DOJ haruslah ada tindakan susulan, namun apa yang saya lihat, DOJ seolah-olah tidak serius mengenai hal ini.

"Kenyataan yang mereka keluarkan tidak bersifat profesional apabila mereka tidak menamakan kepada siapa aset yang ini dikembalikan. Sejujurnya saya boleh katakan ini adalah ketidakadilan DOJ dan hanya mahu membuli negara kita," katanya.

Katanya lagi, harapanya agar rakyat Malaysia tidak bersekongkol dengan pihak asing yang sedaya upaya cuba mengambil kesempatan untuk mencampuri urusan dalaman negara kita.

"Ambillah iktibar kemerdekaan bersempena hari kemerdekaan yang ke -59. Porak peranda dan dakyah orang asing hanya mahu menjatuhkan negara kita yang sememangnya lebih makmur tanpa campur tangan asing," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Irmohizam turut menggesa agar golongan mahasiswa pada hari ini, sentiasa fokus dengan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa.

"Fokuslah terhadap masa depan kerana mereka ini adalah barisan pelapis yang akan menerajui negara. Fahamilah sejarah negara kita dengan baik, jangan lagi perjudikan nasib negara dengan menjemput orang asing yang sudah pastinya tidak rugi apa-apa jika negara kita musnah.

"Tanamkanlah sikap betanggungjawab terhadap negara dengan memahami, menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara Malaysia kita," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-