Showing posts with label Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). Show all posts
Showing posts with label Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). Show all posts

Saturday, January 21, 2023

KJ balas Puad: Umno bukan milik pemimpin tertinggi saja

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 21, 2023 1:50 PM
Khairy Jamaluddin membalas semula sindiran Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Puad Zarkashi terhadapnya, selepas dia memuji dua tindakan dua ahli parti itu yang membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan usul tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno.

Khairy berkata Umno adalah parti milik anggotanya dan mana-mana anggota ada hak untuk mendapatkan penjelasan daripada ROS.

"Adakah Umno hanya milik kepimpinan tertinggi? Umno milik semua anggotanya. Mana-mana anggota boleh minta penjelasan daripada ROS.

"Kita mesti hormat mana-mana anggota Umno yang mahukan kejelasan memandangkan usul (Umno bahagian) Rembau sangat kontroversi dan ramai pakar undang-undang mempersoalkan kesahannya," katanya seperti dipetik New Straits Times, hari ini.

Bekas ahli parlimen Rembau juga mengulangi sokongannya terhadap mana-mana anggota Umno yang mahu mendapatkan penjelasan berkenaan kesahan usul itu.

Terdahulu, Puad membidas tindakan dua ahli Umno tersebut serta menyindir Khairy kerana menyuarakan sokongannya.

"Berani atau dipergunakan? Sepatutnya orang ataslah yang buat aduan. itu baru berani namanya

"Jangan guna orang bawah apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri. Itu waras ke?" kata Puad.

Dua ahli Umno berkenaan - Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom (ahli Umno Negeri Sembilan) dan Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir (Terengganu) - sebelum ini dilaporkan menghantar notis bantahan kepada ROS.

Mereka mendakwa usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Umno.

Mereka memetik Perkara 9.3 Perlembagaan Umno yang menyatakan jawatan presiden dan timbalan presiden perlu dipilih menerusi mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

Usul agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dibawa perwakilan Umno Rembau Mohd Shukri Samsudin, yang menghantar usul tambahan ketika membahaskan ucapan dasar presiden ketika Perhimpunan Agung Umno yang lalu.

Sunday, October 11, 2015

Langkah baru, permulaan baru cabaran buat Amanah

oleh Alyaa Alhadjri

KOMEN: Apabila tiba waktu pergi, ianya waktu untuk pergi.

Ianya mungkin ideal jika perpisahan boleh dirancang lebih awal tetapi dalam kebanyakan kes, dalam keadaan seseorang tidak punya pilihan, kecuali untuk pergi dan berharap yang terbaik.

Selepas menerima hakikat bahawa ianya mustahil untuk terus kekal, langkah seterusnya adalah memutuskan ke mana perlu pergi.

Kadangkala, mungkin terdapat satu tempoh ketidakpastian seperti memutuskan bagaimana untuk maju ke hadapan juga sama penting.

Terdapat pengorbanan yang perlu dilakukan. Perkara yang perlu ditinggalkan dan cabaran baru untuk dihadapi.

Pertimbangan begitu mungkin membebankan seorang, atau sesekali satu pasukan.

Dalam kes pemimpin PAS yang meinggalkan parti Islam itu untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah), keputusan bersama mereka juga akan memberi kesan kepada semua ahli yang memilih untuk mengikut jejak langkah mereka.

Pada 9 Oktober, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Amanah telah secara rasminya berpindah ke pejabat baru, malah sesetengah pihak dalam PAS menuduh parti baru itu cuba untuk mengambil alih premis parti Islam itu, termasuklah ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Pejabat baru Amanah dilaporkan terletak di tingkat tiga dalam bangunan empat tingkat yang dinamakan Wisma Amanah di Jalan Kuching di ibu negara, dan parti itu telah menyewa ruang itu untuk menempatkan ibu pejabat dan pekerjanya.

Parti itu, dilancarkan pada Hari Malaysia pada 16 September, mempunyai hampir 10 orang pekerja tetap, diketuai oleh setiausaha agung Anuar Tahir.

Pada 6 Oktober, Amanah menerima pengiktirafan rasmi selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan nama, logo dan slogannya.
Salahudin Ayub
“Kami akan menjadikan Wisma Amanah pangkalan operasi kami dan kami berjaya melakukan ini melalui dana dan sokongan kami sendiri daripada ahli dan penyokong,” timbalan presiden Amanah Salahudin Ayub dipetik sebagai berkata.

Penceraian antara PAS dan pemimpin Amanah telah dicetuskan oleh satu tempoh pergaduhan sengit yang kemuncaknya dalam penguasaan kelompok ulama’ di pemilihan parti itu.

Walaupun telah melaburkan wang mereka dalam membina aset parti - termasuklah ibu pejabat PAS yang dinilai kira-kira RM10 juta - pemimpin Amanah sanggup meninggalkan itu semua di belakang.

Bekas progresif dalam PAS telah bekerja untuk memindahkan ibu pejabat PAS dari pusat sebelum ini di Taman Melewar, dekat Gombak.

Pemindahan itu bertujuan untuk menyingkirkan imej “kedaerahan” kepada lebih “kosmopolitan” yang dimahukan kumpulan progresif, walaupun terdapat bantahan daripada kelompok konservatif dalam parti itu.

Selepas menubuhkan pangkalan operasinya, The Malaysian Insider turut memetik timbalan presiden Amanah Salahudin Ayub sebagai berkata bahawa parti itu telah berbincang untuk menyiapkan perlembagaan baru ia.

Sesetengah pemimpin PAS dilihat daripada kelompok progresif memilih untuk kekal, walaupun terdapat spekulasi bahawa mereka juga akan dipaksa tinggalkan parti.

ADUN Salor PAS Husam Musa baru-barun ini mengisytiharkan bahawa beliau kekal dalam parti sehingga meninggal dunia.

Manakala bekas naib presiden PAS Mahfuz Omar kelihatan meletakkan kaki mereka di kedua-dua belah pihak - kekal dengan parti Islam itu tetapi pada masa sama dilihat sekutu mesra Amanah dan gabungan Pembangkang baru, Pakatan Harapan.

Mereka yang tinggalkan PAS telah lakukannya dengan kehendak sendiri, tetapi pemerhati mengatakan bahawa ia tidak dapat dipertahankan buat pemimpin itu untuk meneruskan perjuangan mereka dari dalam.

Dengan langkah rasmi dan wawasan jelas digariskan dalam perlembagaannya, sekarang adalah masa buat pemimpin Amanah melangkah ke hadapan dan tinggalkan PAS untuk menguruskan masalah dalamannya sendiri.

Dan mungkin dalam tangani sebarang perpisahan drastik, pelajaran terbesar untuk belajar adalah seseorang mesti faham keutamaan mereka dan untuk memilih pertarungan mereka untuk berjaya, sama ada tahap peribadi atau sebagai parti politik dengan sasaran untuk mengubah Malaysia.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Langkah-baru-permulaan-baru-cabaran-buat-Amanah#sthash.npwqFLja.dpuf

Saturday, September 5, 2015

Harapan Baru sedia bertanding jika esok PRU14

NIZAM ZAIN
Dr Dzulkefly Ahmad
SHAH ALAM – Gerakan Harapan Baru sedia mempertaruhkan Parti Pekerja-pekerja Malaysia pada PRU14 akan datang sekalipun parti itu gagal dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara (Amanah) oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausahanya, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, Harapan Baru tidak lagi ragu-ragu kerana NGO itu sudah mempunyai platform politik yang kukuh dan sah, bagi membolehkan ia turut serta menyaingi parti politik lain dalam pilihan raya akan datang.

“Itu tiada masalah, bila-bila masa kita boleh bertanding kerana kita sudah ada kapal dan rumah, tetapi yang lebih penting kita bukan baru dalam politik.

“Tengoklah wajah-wajah itu, kami ini ahli politik yang berpengalaman, sudah lalui keadaan baik dan sukar, kita telah lalui semuanya, kami bersedia dengan apa juga cabaran dan rintangan,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan Parti Pekerja-Pekerja Malaysia tidak boleh dijenamakan semula sebagai Amanah kerana ia bukan parti politik tetapi sebuah parti yang memperjuangkan hak pekerja.

Nur Jazlan berkata, Harapan Baru tidak boleh menggunakan nama Amanah sebagai nama rasmi wadah politik mereka selagi Perlembagaan parti pekerja itu tidak dipinda dan mendapat kelulusan ROS.

Dalam pada itu, Dzulkefly juga berkata, kekangan untuk menukar nama lama kepada baharu bukan satu halangan untuk pihaknya meneruskan agenda yang lebih penting, iaitu untuk menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0.

“Ya, asalkan Pakatan Rakyat 2.0 tertubuh, usaha itu perlu didahului dengan penubuhan satu wadah politik baharu,

“Apa pun namanya, dalam Islam, sesuatu itu dinilai dari sudut isinya, bukan pada namanya, kalau dapat dua-dua lagi cantik, dalam Islam bukan nama tapi apa kandungannya,” ujarnya.

Ditanya tentang Harapan Baru terdesak hingga terpaksa menggunakan parti yang berasaskan pekerja, beliau bagaimanapun menafikan perkara tersebut sambil menegaskan pemilihan parti itu kerana mempunyai matlamat sama untuk memperjuangkan nasib rakyat.

“Bukan soal terdesak, kami pilih parti ini kerana mereka ini pekerja, mereka ini datang membawa satu agenda yang akhirnya mengangkat kepentingan pekerja sebagai satu segmen rakyat yang hari ini mereka fikir terpinggir,” katanya lagi.

Monday, August 31, 2015

Adake dari parti Islam ke 'Parti Pekerja' perginya.........., Mat Sabu ni dah benar-benar buat lawak

GHB ambil alih Parti Pekerja untuk parti baharu

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Mohamad Sabu memngumumkan nama parti baharunya yang dikenali sebagai Parti Pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Ogos, 2015.

Gerakan Harapan Baru (GHB) hari ini secara rasminya mengumumkan untuk muncul sebagai parti politik dengan menggunakan platform nama Parti Pekerja, kata Mohamad Sabu.

Pengerusi GHB itu berkata butiran lanjut mengenai pertukaran nama dan perlembagaan parti akan diputuskan kemudian dan ia akan diumumkan semula pada 16 September kelak.

"Pada tanggal keramat 31 Ogos 2015, kami GHB secara rasminya mengumumkan kami sudah pun memutuskan untuk muncul sebagai sebuah parti politik golongan pekerja dengan mengekalkan namanya 'Parti Pekerja'

"Ada pun pindaan nama serta perlembagaan parti akan kita kemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) selepas diputuskan bersama, tarikh hari pelancaran pada satu lagi tanggal keramat akan diumumkan pada 16 September akan datang," katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – 31 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ghb-ambil-alih-parti-pekerja-untuk-parti-baharu#sthash.D5VSvezC.dpuf

Friday, August 28, 2015

RoS tolak permohonan GHB guna nama Parti Progresif Islam

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Islam adalah hak untuk semua yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik hanya boleh menyebabkan kekeliruan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Ogos, 2015.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak permohonan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam sebagai nama parti baharu yang hendak ditubuhkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana Islam adalah hak untuk semua yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik hanya boleh menyebabkan kekeliruan.

"Mereka mengharapkan agar golongan yang berada dalam PAS tetapi tidak setuju dengan ulama tetapi setuju dengan Islam yang progresif, dapat menyokong parti itu.

Saya ingin nyatakan bahawa kita tidak akan benarkan mana-mana parti menggunakan nama agama kerana Islam bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk kita dan untuk orang Islam yang tidak ada parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Marang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, di Marang hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Umno Bahagian Marang A Latif Awang.

Zahid berkata sebagai menteri dalam negeri yang bertanggungjawab, beliau tidak mahu mengulangi kesilapan lepas yang membenarkan sebuah parti politik menggunakan nama Islam sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam di negara ini.

"Kita tidak mahu kesalahan dulu yang memberikan keizinan kepada sebuah parti menggunakan nama Islam sehingga memberi tanggapan seolah-olah hanya dengan menyertai parti itu kita memperjuangkan Islam dan masuk syurga.

Sehubungan itu, katanya RoS akan memberikan surat kepada pemimpin GHB agar memilih nama lain untuk digunakan pada parti baharu berkenaan.

Zahid berkata, sebagai sebuah negara yang demokratik, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu di negara.

Namun dalam masa yang sama, katanya beliau berharap parti baharu yang ditubuhkan itu tidak memecah belahkan orang Melayu.

"Jangan cuba memecah belahkan perpaduan orang Melayu. Kita mahu seluruh Melayu, jika atas agenda memperkasakan Melayu dan negara, perlu bersatu hati tidak kira dalam parti politik mana sekalipun (kita) berada," katanya.

Dalam masa yang sama Zahid turut mengulangi gesaan supaya anggota Umno supaya kembali memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, tidak kira apa permasalahan yang sedang dihadapi kini.

"Kita sukar tumbang jika diserang dari luar, tetapi akan mudah hancur jika kita berperang sesama sendiri.

Jadi kita asahlah kuku dan tanduk dari sekarang agar jangan parah diserang musuh nanti. Gunakan ia untuk menyerang musuh di luar supaya Umno dapat rampas kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini," katanya. – Bernama, 28 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ros-tolak-permohonan-ghb-guna-nama-parti-progresif-islam#sthash.s4qlwKcY.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-