Showing posts with label KDM. Show all posts
Showing posts with label KDM. Show all posts

Saturday, January 7, 2023

Selepas paling tadah dari Bersatu, Hajiji bakal hilang kerusi KM pula

agendaily.com
07/01/2023
Datuk Seri Hajiji Noor yang berpaling tadah daripada Bersatu bakal hilang kerusi Ketua Menteri kepada sama ada Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal atau Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Barisan Nasional (BN) dijangka bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti kecil lain untuk menawarkan kerajaan negeri baharu, menggantikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada masa sama, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang mempunyai tiga ADUN, turut mengikut jejak 18 ADUN UMNO menarik sokongan kepada GRS dan Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Hajiji Noor.

“Saya, Peter Anthony, Presiden KDM dan ADUN Melalap, bersama Juil Nuatim (ADUN Limabahau) dan Datuk Wetrom Bahanda (ADUN Bandau) percaya ADUN Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor kekurangan majoriti untuk menjadi Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Peter, yang pernah menjadi Naib Presiden Parti Warisan, memetik Perlembagaan Negeri Sabah yang menyatakan bahawa seorang KM harus menjadi pemimpin parti yang mendapat majoriti kerusi semasa pilihan raya negeri (PRN).

Beliau seterusnya berkata di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Hajiji sepatutnya meletakkan jawatan serta-merta.

Setakat ini, Hajiji mendapat sokongan daripada 15 bekas ADUN Bersatu; masing-masing tujuh daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pakatan Harapan (PH), enam daripada Parti Solidariti Tanah Airku, masing-masing seorang daripada Pakatan Harapan Rakyat Sabah, Parti Progresif Sabah dan PAS Sabah.

Bagaimanapun difahamkan, ADUN PH juga akan memberi sokongan kepada BN dan Warisan membentuk kerajaan negeri baharu, sesuai dengan kerjasama ketiga-tiga parti itu dalam Kerajaan Persekutuan.

Tujuh ADUN PH ialah Datuk Christina Liew (Api-Api); Datuk Fung Ming Poon (Tanjung Papat); Datuk Ewon Benedick (Kadamaian); Phoong Jin Zhe (Luyang); Jannie Lasimbang (Kepayan); Tan Lee Fatt (Likas); dan Peto Galim (Inanam).

Ewon yang mewakili UPKO kini adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi setelah menang Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Bagaimanapun, pada sidang media sebelum UMNO dan KDM menarik sokongan terhadap GRS dan Hajiji, ketujuh-tujuh ADUN PH itu dalam kenyataan bersama menafikan memberi sokongan kepada mana-mana pihak.

Terdahulu, dalam sidang media khas malam tadi, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa kerjasama asas di bawah payung longgar GRS dilakukan antara BN Sabah, Perikatan Nasional (PN) dan PBS pada PRN 2020 apabila mereka mengalahkan Warisan dan PH.

Menurutnya Hajiji dipilih sebagai KM kerana ketika itu beliau adalah Pengerusi Bersatu Negeri Sabah di bawah PN.

“Apabila beliau memutuskan untuk meninggalkan Bersatu (pada 8 Disember 2022), keseluruhan kerjasama berakhir,” kata Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag.

Selain itu, beliau berkata Hajiji dan GRS telah melanggar kerjasama dengan BN dengan memecat ADUN Usukan daripada UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai pengerusi cabang pelaburan negeri Qhazanah Sabah Berhad.

Merujuk kepada Perkara 6(3) dan Perkara 6(7) Perlembagaan Sabah, Bung Moktar berkata Hajiji mengelirukan rakyat dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan mengatakan beliau adalah ahli GRS secara langsung.

“Ini bertentangan dengan Perlembagaan Negeri yang mewajibkan Ketua Menteri daripada parti yang mempunyai majoriti tertinggi di DUN.

“Kami meminta Yang Di-Pertuan Sabah melihat kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri dan kesahihannya mengikut Perlembagaan Negeri,” katanya.

Bung berkata Hajiji juga tidak membincangkan rancangan untuk rombakan Kabinet yang diumumkan awal Jumaat seperti yang diperlukan di bawah kerjasama antara GRS dan BN Sabah.

Keputusan menarik diri, tambahnya, melibatkan 17 ADUN dan bekas ADUN Parti Bangsa Malaysia Datuk Mohammadin Ketapi.

Bagaimanapun, tanpa menamakan sesiapa, beliau mengakui sekurang-kurangnya lima ADUN UMNO masih belum menyokong langkah menarik balik sokongan terhadap GRS dan Hajiji.

“Kami masih berbincang dengan mereka kerana ini adalah keputusan melibatkan parti dan bukannya individu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang tidak mengikut keputusan parti.

Saturday, November 5, 2022

PRU-15: Pencalonan Peter Anthony ditolak kerana kes mahkamah belum selesai

hmetro.com.my
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

TANGKAP layar rakaman tular berhubung kekecohan di luar perkarangan Dewan DSP Antanom, Tenom. FOTO tular

Kota Kinabalu: Insiden rusuhan tercetus selepas Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony ditolak untuk bertanding kerusi Parlimen Tenom.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi itu, rusuhan tercetus di luar pekarangan pusat penamaan calon Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, selepas keputusan itu tidak dipersetujui Peter dan penyokongnya.

Difahamkan, pencalonannya untuk bertanding di Parlimen Tenom ditolak atas alasan masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, berdasarkan pengamatan polis, seramai kira-kira 300 penyokong cuba merempuh masuk ke dalam dewan.

Katanya, pihak keselamatan yang terdiri daripada anggota Light Strike Force (LSF) dan Tugas Am serta dibantu anggota Rela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertindak menghalang penyokong dari memasuki dewan.

"Selepas itu, satu perbincangan diadakan antara peguam Peter, Pegawai SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Satu keputusan dapat dicapai dalam memastikan penyokong tidak bertindak liar dan seterusnya mematuhi arahan pasukan keselamatan," katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, di sini, hari ini.

Idris berkata, pada 12.32 tengah hari, Peter kemudiannya keluar dari dewan dan meminta penyokongnya supaya bersabar dan menerima keputusan SPR.

"Peter juga membuat satu laporan polis selepas tidak puas hati terhadap penolakan pencalonan beliau.

"Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, dalam keputusan yang dikeluarkan pada jam 2.20 petang tadi, SPR menetapkan empat calon yang layak bertanding adalah Noorita Sual (Pakatan Harapan), Ukim Buandi (Warisan), Riduan Rubin (Bebas), Jamawi Jaafar (BN), dan Peggy Chaw Zhi Ting (Bebas).

"Pada jam 2.38 petang, keadaan keselamatan di pusat penamaan calon terkawal dan penyokong terus beredar meninggalkan dewan," katanya.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kekecohan di luar perkarangan Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, sehingga memaksa pasukan keselamatan yang berkawal melepaskan das pemedih mata untuk menyuraikan keadaan.

Disiarkan pada: November 5, 2022 @ 6:53pm

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-