Showing posts with label KLIA. Show all posts
Showing posts with label KLIA. Show all posts

Sunday, January 26, 2025

'Tahun ini tidak lagi dengar rungutan tiket mahal' - Loke

hmetro.com.my
BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook beramah mesra bersama penumpang semasa majlis pelepasan penumpang penerbangan lewat malam dengan tambang tetap pertama Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Tawau dan Sandakan untuk sambutan Tahun Baharu Cina, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam ini. FOTO BERNAMA

Sepang: Langkah kerajaan melanjutkan pemberian subsidi bagi menjayakan inisiatif kadar tambang penerbangan maksimum pada musim perayaan, berjaya mengurangkan rungutan rakyat mengenai harga tiket penerbangan yang mahal, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata kejayaan itu terbukti setelah setahun kerajaan MADANI melaksanakan pemberian subsidi sempena musim perayaan di negara ini.

"Tahun ini kita tidak lagi dengar rungutan di media sosial tentang tiket mahal seperti RM2,000 untuk balik Tawau atau Sandakan. Semuanya terkawal dan ramai yang mengambil peluang dengan tambang tetap ini.

"Setelah setahun kita melaksanakan dasar menetapkan kadar tambang tetap atau tambang maksimum, kita dapat lihat hasilnya. Harga tiket dapat dikawal dan tiada lagi aduan harga tiket (penerbangan) melambung seperti sebelum ini," katanya.

Loke berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan penerbangan tambahan Malaysia Airlines (MAS) ke Tawau dan Sandakan, Sabah sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarbangsa (KLIA) Terminal 1 (T1) di sini hari ini.

Loke berkata walaupun kerajaan menetapkan kadar tambang penerbangan maksimum berjumlah RM499 pada musim perayaan, namun terdapat syarikat penerbangan yang menawarkan harga lebih rendah.

"Ada syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap serendah RM300 bagi penerbangan khas waktu malam. Usaha ini membuktikan intervensi kerajaan berjaya meringankan beban rakyat," katanya.

Mengenai sambutan rakyat terhadap inisiatif itu, Loke berkata keputusan kerajaan melanjutkan pemberian subsidi adalah tepat, kerana mendapat sambutan menggalakkan dengan kapasiti tempat duduk dalam pesawat mencecah 95 peratus.

"Ini termasuk bagi penerbangan balik dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur. Selain MAS, syarikat penerbangan lain seperti AirAsia dan Batik Air turut menambah penerbangan untuk memenuhi permintaan tinggi sepanjang musim perayaan ini," katanya.

MAS sebelum ini mengumumkan 102 penerbangan tambahan pada waktu malam, menjadikan jumlah keseluruhan 219 penerbangan mingguan sepanjang musim perayaan ini.

MAS menawarkan tambang tetap sehala bermula RM349 ke Sabah dan Sarawak.

Sunday, July 2, 2023

Insiden KLIA: Notis penolakan pelancong China ikut prosedur

hmetro.com.my
Wartawan Harian Metro
am@hmetro.com.my
PELANCONG menjalani pemeriksaan pasport di Jabatan Imigresen Malaysia KLIA. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Penolakan kemasukan pelawat wanita dari China dikenali sebagai Wang Xu dijalankan mengikut prosedur serta selaras Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bil. 09 Tahun 2017.

Memetik laporan sebuah portal, Penolong Penguasa Imigresen Syahmi Syafie Md Nazmil memaklumkan dakwaan budaya rasuah dalam kalangan pegawai di lapangan terbang adalah tidak berasas.

Menurutnya, semasa soal siasat, subjek tidak memenuhi syarat kemasukan pelancong kerana tidak memiliki tiket pulang ke negara asal serta gagal menyatakan dengan jelas penginapan semasa berada di Malaysia.

"Soal siasat serta komunikasi dengan subjek juga agak terbatas kerana subjek hanya boleh berbahasa Cina dan sukar memahami soalan yang diajukan," kata laporan itu.

Dalam pada itu, seorang wanita yang berkomunikasi dengan pegawai penguat kuasa melalui telefon bimbit subjek serta memperkenalkan diri sebagai Emma memberitahu wanita itu datang dengan tujuan menjaga anaknya.

Sementara itu, laporan memaklumkan kemasukan pelawat yang dikemas kini daftar penolakan masuk ke dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) hanya boleh dibatalkan dengan kelulusan pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Ketua Pengarah Imigresen sahaja.

Dalam pada itu, Syahmi juga mendakwa pegawai bertugas juga tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan atau membela diri meskipun dituduh meminta wang berjumlah RM3,000 melalui ejen untuk dilepaskan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan JIM, semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan serta-merta dengan memulakan siasatan ke atas laporan berita itu.

Saturday, July 1, 2023

Imigresen buat siasatan serta-merta kekecohan libat menteri di KLIA

wartarakyat.com.my
By Wartawan WartaRakyat
-June 30, 2023

JABATAN Imigresen Malaysia telah memulakan siasatan serta-merta berhubung insiden seorang menteri didakwa melakukan kekecohan supaya seorang pelawat dari China dibebaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek berkaitan.

Sehubungan itu, Ruslin meminta orang ramai supaya memberi ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus.

Pada masa sama, beliau juga memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Jabatan ini telah mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan ke atas dakwaan kejadian yang dilaporkan. Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seorang menteri didakwa telah melakukan ‘kekecohan’ di KLIA kerana mahu ‘menyelamatkan’ seorang pelawat China yang ditahan daripada masuk ke Malaysia.

Menurut laporan Bebas News yang memetik sumber, menteri berkenaan dikatakan telah menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan.

Menteri berkenaan kemudiannya menggunakan kuasanya dan memarahi Polis Bantuan KLIA serta pegawai Imigresen apabila tindakannya mahu ‘membebaskan’ pelawat warga China itu dihalang.

Difahamkan, ini adalah kali ketiga menteri tersebut melakukan tindakan sedemikian membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara.

Jangan 'merepek' - menteri tegur ketua Pemuda Umno

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Jul 1, 2023
Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan, Tiong King Sing menuntut permohonan maaf daripada Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Salleh.

Ini selepas Akmal menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan terhadap Tiong yang dituduh menyalahgunakan kedudukannya dengan melanggar protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada hari Khamis.

"Jika dia dapat menjadi seorang ahli politik yang baik untuk membantu negara, saya sangat menghargainya.

"Tetapi jika dia tidak tahu cara menjadi seorang ahli politik, tolong jangan cakap merepek," kata Tiong.
Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Salleh.
Jelasnya, antara ciri seorang ahli politik yang baik adalah yang dapat menjaga ekonomi negara.

"Jika anda tidak tahu keseluruhan cerita tentang apa yang sedang berlaku, jangan hanya mengikuti media sosial.

"Saya patut menuntut supaya dia meminta maaf kepada saya, beritahu dia itu," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Akmal menggesa Anwar untuk mengambil tindakan tegas berdasarkan laporan oleh portal BebasNews yang mendakwa seorang menteri telah memasuki Dewan Ketibaan KLIA untuk "menyelamatkan" seorang warganegara China yang ditahan pihak imigresen.

"Seharusnya dilucutkan jawatan sebagai menteri," kata Akmal pada hantaran di media sosial.

Laporan tersebut mendakwa menteri tersebut didakwa masuk ke dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.

Pun begitu Tiong menafikan laporan itu, berkata dia sudahpun mendapatkan pas masuk yang sah sehingga Februari tahun depan.

Kakitangan stesen TV China

Tiong berkata dia pergi ke KLIA pada kira-kira jam 3 pagi, bersama dengan pegawai SPRM, selepas dimaklumkan tentang penahanan wanita itu melalui panggilan telefon daripada kakitangan Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou.

Wanita itu dilaporkan bekerja untuk stesen TV kerajaan China.

Tiong juga mendakwa ini bukan kali pertama dia campur tangan dalam kejadian sedemikian dan kehadirannya pada Khamis di Terminal 1 KLIA telah mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di lapangan terbang tersebut.

Selanjutnya, Tiong berkata dia bersedia untuk berdepan dengan kabinet susulan dakwaannya mengenai rasuah yang melibatkan pegawai imigresen.

"Ya, tiada masalah. Saya boleh katakan, saya tiada isu. Saya tidak mempunyai sebarang agenda.

"Kerana yang pertama kita mesti memberi keyakinan kepada pelancong dari seluruh dunia untuk datang," katanya kepada Malaysiakini.

Secara berasingan, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Mohd Khalid Harun (gambar, bawah) mengucapkan tahniah kepada Tiong atas usahanya untuk membasmi rasuah di pintu masuk negara.
Khalid juga berkata "salah faham" antara pegawai Imigresen dan pelancong yang tiba - terutamanya dari China - dapat di atasi dengan melibatkan penterjemah atau pegawai yang mahir dalam pelbagai bahasa.

"Sebagai pemain industri pelancongan negara, MATA tidak boleh menerima alasan yang mana komunikasi sebagai masaalah yang timbul diantara pelancong dari China dan pegawai imigresen seperti yang dilaporkan.

MATA berkata tidak wajar komunikasi menjadi batu penghalang bagi pertumbuhan ekonomi negara dalam industri pelancongan.

"Industri Pelancongan negara mempunyai banyak saingan dengan negara- negara jiran yang memudahcara pelancong asing untuk melancong ke negara mereka.

"Jika ini masih tidak diatasi, MATA percaya pelancong akan lari ke negara lain dan ini sudah tentu merugikan pendapatan negara dan pemain industri pelancongan negara yang baru keluar dari kemelut wabak Covid-19," katanya.

[Baca berita asal]

Friday, June 30, 2023

Menteri buat 'kecoh', tuntut bebaskan pelawat China ditahan di KLIA

hmetro.com.my
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular di media sosial menunjukkan kekecohan yang berlaku membabitkan seorang menteri di KLIA.

Kuala Lumpur: Seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membebaskan pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Bebas News yang memetik sumber melaporkan, menteri terbabit mendapat tahu mengenai penahanan itu dan segera ke KLIA.

Sumber itu berkata, apabila dihalang, beliau menggunakan kuasa menterinya termasuk memarahi Polis Bantuan KLIA dan pegawai imigresen.

Difahamkan ini adalah kali ketiga menteri itu melakukan tindakan demikian yang membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara ini.

Disiarkan pada: Jun 30, 2023 @ 12:27pm

Monday, March 21, 2016

Raja bomoh pecahkan tembikai untuk pulih cuaca panas

Individu yang pernah menggelarkan dirinya sebagai 'Raja Bomoh Malaysia', Datuk Ibrahim Mat Zin sekali lagi mencuri perhatian apabila melakukan upacara pelik.

Kali ini beliau mengadakan ritual bagi 'memulihkan' cuaca panas yang sedang melanda negara dengan menggunakan buah tembikai.

Dalam satu rakaman video, Ibrahim bersama empat pengikutnya dilihat membaca surah Yassin dan berdoa sebelum memecahkan lima biji buah tembikai.

Beliau kemudian mendakwa upacara itu sebagai simbolik menyejukkan badan dan udara.

“Ayat Yassin dan ayat Nabi Yunus yang dibaca (tadi) adalah merupakan petua orang zaman dahulu (dan) buah tembikai (sebagai simbolik) untuk menyejukkan badan, bumi dan udara supaya (fenomena) panas yang berlaku dapat dipulihkan, semoga (dengan) petua ini dapat menyejukkan udara supaya rakyat berbilang kaum dan bangsa di Malaysia.

“Kami kumpulan Datuk Ibrahim Raja Bomoh Sedunia berdoa dengan anak muridnya untuk menyelamatkan (masyarakat) berbilang kaum dan bangsa agar cuaca panas dapat dikurangkan dengan izin Allah” ujarnya dalam satu video yang dipaparkan portal Suara.tv.

Ibrahim mula menjadi popular selepas melakukan upacara di KLIA bagi 'membantu' mencari pesawat MH370 yang hilang dua tahun lalu.

Dengan memakai sut lengkap bertali leher dan bersongkok, beliau melakukan ritual dengan menggunakan bubu, kelapa, batang buluh dan beberapa peralatan lain bagi mencari pesawat berkenaan.

Selain itu antara ritual pelik yang pernah dilakukan adalah ketika mengadakan upacara di luar Penjara Sungai Buloh selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Beliau juga pernah mengadakan upacara di kawasan kemalangan mendiang Karpal Singh dan muncul di majlis pengumuman calon BN pada pilihan raya kecil Teluk Intan bagi 'merestui' calon BN yang bertanding ketika itu.

April lalu, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) dalam satu kenyataan mahu mengambil tindakan terhadap Ibrahim setelah mewartakan amalannya sebagai sesat dan haram.

Friday, December 4, 2015

Hishamuddin Rais disekat keluar negara

OLEH KC NAZARI
Published: 4 December 2015 12:28 AM

Aktivis politik Hishamuddin Rais ditahan di pintu imigresen malam tadi semasa mahu menaiki pesawat ke Seoul menggunakan penerbangan MAS. Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Disember 2015.

Aktivis politik Hishamuddin Rais disekat daripada keluar negara sewaktu mahu menaiki pesawat ke Korea Selatan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Menurut Hishamuddin, beliau ditahan di pintu imigresen sewaktu mahu menaiki pesawat ke Seoul menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS).

"Saya mahu kerajaan menjelaskam sebab saya tidak dibenarkan ke luar negeri," katanya apabila dihubungi The Malaysian Insider.

Hishamuddin merupakan bekas aktivis mahasiswa 1970-an yang pernah hidup dalam buangan selama 25 tahun. – 4 Disember 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hishamuddin-rais-disekat-keluar-negara#sthash.TuRUv4B9.dpuf

Wednesday, March 19, 2014

Apa ulasan Datuk Dr Harun Din.........


Tikar terbang tanda syirik berleluasa - Datuk Dr Harun Din


PETALING JAYA: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din mengajak umat Islam kembali kepada cara hidup Islam dan sistem Islam.

Katanya, air di empangan semakin kurang, hampir ¾ Malaysia berjerubu dan terbaru kehilangan kapal terbang MAS MH370.

“Berpuluh-puluh kapal dan kapal terbang mencari MH370 tapi tak jumpa pun. Allah menguji kita bahawa ilmu kita sangat sedikit berbanding dengan ilmu Allah,” kata beliau dalam kuliah maghrib di sebuah masjid di Selangor yang dimuatkan intipati kuliahnya dalam Facebook.

Inilah kali pertama beliau bersuara selepas berlakunya peristiwa kehilangan MH370 itu pada 8 Mac lalu.

Sambil memetik ayat al quran yang bermaksud, beliau berkata “ Jangan makan dan minum yang haram. Kalau kita langgar, ia mengundang kemurkaan Allah lalu Allah menurunkan bala kepada semua”.

Beliau turut mendakwa kehilangan pesawat MAS itu menjadikan negara kita tumpuan seluruh dunia.

“Tetapi Allah malukan kita dengan peristiwa tikar terbang sehingga Arab Saudi berkata kita biarkan syirik berleluasa,” katanya merujuk tindakan Raja Bomoh di KLIA yang menjadi bahan jenaka seluruh dunia.

Katanya, memang yang itu berlaku sebenarnya .

“Allah hina negara kita dengan peristiwa seperti itu,” katanya lagi.

Beliau berkata manusia tidak melihat peristiwa itu dengan mata hati kerana mata hati kita kotor dengan maksiat.

“Allah mahu kita kembali kepadaNya dan bertaubatlah dan insaflah,” tegasnya lagi.

Katanya, bila dah tiga empat hari kapal terbang tak diumpai, baru nak ingat pada Allah .

“Baru nak buat solat hajat. Bagi yang terang mata hati, terus baca innalihi waina ilahi rajuin sewaktu awal-awal peristiwa itu berlaku,” katanya.

Beliau mencadangkan supaya MAS mencontohi penerbangan Arab Saudi dan Brunei yang berdoa selamatkan penerbangan mereka sebelum kapal terbang berlepas.

“Sepatutnya kita berserah kepada Allah dalam setiap permulaan penerbangan,” katanya sambil mengajak umat Islam melihat dengan mata hati dan bukannya dengan mata kasar.
-freemalaysiatoday-

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-