Showing posts with label Kimberly Motley. Show all posts
Showing posts with label Kimberly Motley. Show all posts

Sunday, September 18, 2016

Kimberly tidak gentar Jamal mahu halau pulang ke AS

Adam Abu Bakar
September 18, 2016

Ugutan Jamal memperlihatkan seolah Anwar tidak bersalah dan harus dibebaskan, kata peguam hak asasi itu.
PETALING JAYA: Peguam Amerika Syarikat , Kimberly Motley tidak gentar dengan ugutan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang mahu menghalaunya pulang ke negara asal bulan depan.

Menurutnya, sepanjang kariernya sebagai peguam hak asasi manusia, ini bukanlah kali pertama beliau menerima ugutan dan kecaman seperti yang dilakukan Jamal.

“Anwar adalah seorang tahanan politik dan seharusnya dibebaskan. Saya menghormati hak bersuara dan Jamal mempunyai hak untuk tidak bersetuju dengan saya.

“Saya juga mempunyai hak kebebasan bersuara dan menjadi hak saya untuk tidak mendengar ancaman Jamal dan sesiapa lagi yang mengarut,” katanya kepada FMT menerusi kirimin e-mel.

Kimberley sebelum ini merupakan peguam wanita warga asing yang berkhidmat di Afghanistan, negara konflik yang terkenal dengan pemakaian burqa dan layanan buruk terhadap wanita.

Pada 15 September lepas Jamal menggesa orang ramai supaya hadir di Mahkamah Persekutuan bulan depan untuk menghalau Kimberly yang terbabit dalam usaha bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon semakan kehakiman ke atas pensabitannya.

Anwar sekarang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh atas dakwaan salahlaku seks. Pendengaran ditetapkan 12 Oktober.

“Tindakan Jamal itu menunjukkan bahawa Anwar tidak bersalah dan seharusnya dibebaskan,” kata Kimberley.

“Saya percaya tindakan Jamal cuba menafikan hak peguam Anwar sepatutnya membimbangkan seluruh rakyat Malaysia dan dunia yang menghargai nilai kebenaran dan keadilan.

“Malah tingkah laku Jamal menghalang Anwar mendapatkan haknya menunjukkan karakter dan kekurangan dalam dirinya, terutamanya dalam isu keadilan.”

Kimberly menasihatkan Jamal, sebagai seorang pemimpin tempatan, supaya menunjukkan contoh untuk diikuti rakyat Malaysia. Katanya Jamal perlu menunjukkan minat untuk menghargai undang-undang dan keadilan.

“Malangnya Jamal lebih berminat menggunakan kedudukannya untuk mempromosikan taktik samseng untuk menafikan hak Anwar.

“Saya tidak tertarik dengan tindakan itu dan saya berharap dapat meneruskan kerja saya membuktikan Anwar tidak bersalah,” tegasnya.

Motley dilantik Anwar secara pro-bono (tanpa bayaran) bagi membantu beberapa kes sedang berlangsung termasuk semakan penghakiman keputusan Mahkamah Persekutuan.

Pada 10 Februari tahun lalu, Anwar gagal dalam rayuannya mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang menyabitkannya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan itu dibuat panel 5 hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff serta hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Tuesday, September 13, 2016

Terdapat bukti Anwar tak lakukan liwat, kata peguam AS

Zikri Kamarulzaman
Peguam dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley percaya terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun tidak melakukan liwat.

"Baik, maksud saya Anwar tidak melakukannya," kata peguam itu apabila ditanya rancangannya untuk mencabar sabitan itu.

Sebagai contoh, Motley menegaskan bahawa penuduh Mohd Saiful Bukhari Azlan bertemu pegawai kerajaan dua hari sebelum kejadian yang dikatakan itu.

"Terdapat keterangan kononnya DNA ditemui pada pakaian mangsa yang dikatakan itu yang berbeza daripada pakaian yang dipakainya semasa dia kata dia diliwat.

"Kenyataan mangsa dikatakan menjadi sangat tidak konsisten dari awal hingga akhir, DNA tidak konsisten dari awal hingga akhir, DNA diganggu oleh pegawai polis dalam kerajaan ... Itu adalah keterangan di mahkamah dan kami gembira untuk berkongsi semua dokumentasi dengan anda ...

"Satu perkara bahawa kenyataan Anwar, versi beliau mengenai apa yang telah berlaku, perkara yang benar dari Anwar sentiasa konsisten. Dan itu adalah perkara tentang kebenaran bukan? Yang benar tetap sama dan penipuan berubah-ubah," katanya kepada pemberita di Putrajaya petang ini.

Anwar melantik peguam hak asasi manusia yang terkenal itu untuk membantunya dalam beberapa kes termasuk kajian beliau daripada Februari 2015 mengenai sabitan liwat.

Bekas pemimpin pembangkang itu sentiasa mengekalkan bahawa pertuduhan liwat itu, sama dengan yang pertama dihadapinya pada tahun 1999 dan telah direka oleh pesaing politiknya.

Bagaimanapun, kerajaan menafikan perkara ini.

Dinafikan hak, Peguam Amerika wakili Anwar mahu temui TPM

Hafiz Yatim
Peguam tersohor Amerika Syarikat, Kimberly Motley berharap dapat bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi petang ini selepas tidak dibenarkan berjumpa dengan anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara Sungai Buloh.

Motley dilantik oleh Anwar untuk membantu beberapa kes yang sedang berlangsung, termasuk kajian semula sabitan liwatnya pada bulan Februari 2015.

Menurut Raul Lee Bhaskaran dari firma undang-undang Daim & Gamany yang mewakili Anwar dalam beberpa permohonan itu, firma tersebut telah menulis kepada Jabatan Penjara pada 10 September lalu untuk mendapatkan kebenaran supaya Motley boleh berjumpa dengan bekas pemimpin pembangkang itu.

Walau bagaimanapun, permohonan mereka ditolak.

"Motley menjalankan kes-kes itu secara pro-bono (tanpa bayara)," kata Raul kepada Malaysiakini.

Beliau berkata surat memohon pertemuan dengan Zahid telah difakskan serta dihantar dengan tangan ke pejabatnya, tetapi tiada tindak balas setakat ini.

Motley, seorang graduan lulusan Marquette Law School pada tahun 2003, berkhidmat di Amerika Syarikat dan Afghanistan. Beliau juga telah menjalankan kerja penyelidikan dalam bidang keadilan juvana yang mendapat laporkan di peringkat antarabangsa.

Beliau juga membantu melatih ratusan peguam Afghanistan.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-