Showing posts with label Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Show all posts
Showing posts with label Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Show all posts

Thursday, July 20, 2023

Felda: Hutang peneroka diselesai 2021, PM tandatangan FSRA Jun lepas

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Jul 20, 2023 6:07 PM
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjelaskan bahawa perjanjian bagi Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) antara lain memberi ruang kepada agensi itu untuk menstruktur semula komitmen kewangan terhadap kadar faedah dikenakan dan pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Felda dalam kenyataan hari ini memaklumkan penghapusan sejumlah hutang peneroka dilaksanakan di peringkat agensi itu tanpa penyaluran peruntukan geran daripada Kerajaan Persekutuan pada 2021 serta 2022 dan ia memberikan impak besar kepada aliran tunai serta prestasi Felda.

Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lepas menandatangani FSRA bagi penerimaan pertama geran RM990 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan untuk penebusan sukuk Felda.

"Perdana Menteri semasa Sambutan Hari Peneroka Felda pada 7 Julai lalu mengumumkan bermula tahun ini, Kerajaan Perpaduan meluluskan peruntukan sehingga RM990 juta setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda, antara lain bagi membiayai hapus kira hutang peneroka agensi berkenaan.

"Secara keseluruhan, inisiatif itu melibatkan bantuan kewangan kepada Felda sebanyak RM9.9 bilion bagi tempoh 10 tahun," menurut kenyataan itu.

Menurut Felda, kenyataan Perdana Menteri telah disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan janji kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Terdahulu, Anwar menerusi kenyataan ringkas hari ini mengotakan janji beliau dengan mengemukakan sebahagian dokumen FSRA yang ditandatanganinya sebagai Menteri Kewangan pada 26 Jun lepas.

Tiga helaian berkaitan FSRA itu menunjukkan ia ditandatangani Anwar bagi pihak kerajaan, dengan Pengerusi Felda ketika itu Tan Sri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Felda Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Pemeteraian dokumen itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Anwar menerusi kenyataan sama turut mendesak bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya berkaitan pelupusan hutang peneroka Felda.

Muhyiddin, dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, meminta Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis berhubung isu tersebut.

Ia susulan kenyataan Anwar yang mendakwa hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan di bawah pentadbiran Muhyiddin.

- Bernama

Thursday, December 21, 2017

Felda lapor polis pada pemaju tanah

Alyaa Alhajri
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuat laporan polis terhadap kemungkinan penipuan melibatkan pemaju induk untuk projek yang dibina atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad berkata laporan terhadap syarikat itu untuk mendapatkan semula pemilikan untuk empat bidang tanah yang keseluruhannya dianggar bernilai RM270 juta.

Katanya, walaupun pemaju induk telah dilantik untuk projek itu, pemilikan tanah itu harus kekal di pihak Felda.

Shahrir juga berkata, Felda membuat laporan polis setelah kronologi penuh kes itu dibangkitkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan peguam negara.

“Syarikat itu telah diberikan surat kuasa wakil dan memindahkan pemilikan tanah kepada mereka.

“Surat kuasa wakil itu diberikan pada 3 Jun 2014, tetapi hanya diterima oleh lembaga pengarah Felda pada 2 September 2014,” kata Shahrir.

Malaysiakini tidak menamakan syarikat itu buat masa ini sementara menunggu maklum balas rasmi pihak itu.

[Baca berita asal]

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/406243#YD9SdbVwE1Ti1xKk.99

Monday, July 24, 2017

Peneroka Felda sangkal dakwaan banyak berhutang

Bernama

Peneroka menjelaskan ia sebenarnya pinjaman sara hidup kerana peneroka perlu tunggu 3 tahun untuk mendapat hasil tanaman.
PUTRAJAYA: Warga peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menzahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan insentif khas dalam membantu kebajikan dan kesejahteraan komuniti itu.

Ketua Peneroka Felda Samsudin Othman berkata insentif jangka pendek, sederhana dan panjang itu merupakan berita gembira untuk kesemua 112,635 peneroka di 317 rancangan di seluruh negara yang akan meringankan bebanan sekali gus insentif pelupusan hutang memberi kelegaan kepada peneroka.

“Kami warga Felda berasa syukur dan berterima kasih kepada perdana menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Pada sambutan Hari Peneroka peringkat Kebangsaan 2017 di Dataran Putrajaya di sini hari ini, Najib mengumumkan 6 insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Mengulas dakwaan peneroka Felda banyak berhutang dalam pelbagai jenis pinjaman, Samsudin yang menyangkal dakwaan itu berkata hutang yang ditanggung peneroka termasuk pinjaman sara hidup di antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi membantu mereka yang menjalankan projek tanaman sawit bagi menjalani kehidupan yang lebih selesa.

“Kerajaan baik hati mendahulukan pinjaman sara hidup. Kalau kerajaan tidak bagi pinjaman, peneroka kena tunggu sampai 3 tahun baru mendapat hasil. Jumlah inilah yang menyebabkan hutang peneroka mencecah RM80,000. Ini adalah hutang ciptaan peneroka sendiri. Felda tidak mengalakkan polisi berhutang sebaliknya mereka yang tidak mahu mendapatkan pinjaman sara hidup, itu lagi baik,” katanya.

Mohammad Zainal Mohd Yusof, 61, dari Felda Palong, Negeri Sembilan berkata ia menggambarkan komitmen dan keikhlasan perdana menteri yang sentiasa mempertimbangkan kebajikan masyarakat peneroka walaupun tidak diminta oleh mereka.

“Inilah kali pertama kami mendapat enam insentif sekali gus. Saya amat bersyukur dengan pengumuman hari ini. Kami sentiasa setia bersama kerajaan kerana mereka sentiasa mempertimbangkan kebajikan kami. Saya juga gembira dapat raikan sambutan hari jadi perdana menteri di sini,” kata pesara tentera itu, sambil menambah Felda sentiasa memberikan pulangan lumayan kepada para peneroka.

Bagi Halimah Awang, 58, dari Felda Soeharto, Selangor, beliau sangat bersyukur dengan tanda ingatan kerajaan kepada rakyat yang setia dengan Felda dan sentiasa mendapat manfaat dalam pelbagai bentuk.

“Saya sangat sayangkan Felda yang banyak berjasa kepada peneroka. Kami berharap generasi Felda kini akan menjaga Felda dengan baik sehingga akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, Asmawi Ani atau lebih popular dikenali sebagai Mawi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor berkata kerajaan dari dulu sehingga sekarang sentiasa mengutamakan kebajikan warga peneroka Felda dengan memberikan segala bentuk insentif dan kemudahan sejak 1956.

“Lihatlah sendiri peningkatan positif sehingga hari ini. Kita perlu bersyukur apa yang sudah ada dan jaga elok-elok. Generasi muda khususnya jangan hanya dengar cerita negatif mengenai Felda dan cepat terpengaruh. Kena periksa dulu. Itu yang paling penting.

“Jadi, bila dah diterapkan dari kecil konsep bersyukur itu, segala apa yang saya dapat, saya amat bersyukur, Alhamdulillah,” katanya.

Pelakon Abdul Jalil Hamid yang merupakan anak jati Felda Cahaya Baru, Masai, Johor melihat pemberian insentif sebagai tanda kerajaan di bawah kepimpinan Najib mengambil berat serta sentiasa berusaha memakmurkan negara serta rakyat.

“Inilah keistimewaan kerajaan membantu warga Felda. Ada kala, hidup peneroka bergantung kepada komoditi sawit. Ada waktu meningkat, atau tidak. Saya pun anak jati Felda dan tahun-tahun kehidupan di Felda. Ada mereka buat rumah sendiri pun tak mampu. Ini adalah satu kesyukuran besar dari kerajaan,” katanya.

Monday, March 13, 2017

Felda kenal pasti jumlah sebenar hutang peneroka dengan Felda

By admin
Datuk Razali Ibrahim
JEMPOL – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan mengenal pasti jumlah sebenar hutang setiap peneroka yang dibuat dengan Felda bagi mengelakkan sebarang pertikaian terhadap penyata hutang yang dikemukakan kepada mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata jumlah hutang para peneroka perlu dimuktamadkan bagi membolehkan pengumuman beberapa penambahbaikan Felda oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan datang.

“Dalam keadaan Felda mahu kukuhkan prosedur kewangan, kami tidak mahu timbul pertikaian terhadap penyata hutang yang kami kemukakan kepada peneroka yang tidak setuju dengan jumlah hutang yang terdapat dalam penyata tersebut.

“Kami sedang buat, setiap satu kawasan rancangan kami minta semak slip pendapatan dan masing-masing (peneroka) mesti setuju berapa jumlah sebenar hutang mereka.

“Jumlah hutang perlulah dipersetujui oleh peneroka dan Felda sendiri dan jika mereka tidak setuju mereka perlu datang ke pengurusan wilayah masing-masing untuk berbincang dan kemukakan bukti bagi setiap pertikaian yang dibangkitkan,” katanya. Razali berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian serentak Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bahagian Jempol bagi tahun 2017 di sini, hari Ahad.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Jempol Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Mengulas lanjut, Razali berkata terdapat dua jenis hutang yang dibuat oleh peneroka dengan Felda iaitu hutang operasi dan hutang sosial.

“Hutang operasi ialah hutang sara hidup yang dibuat ketika pokok ditebang dan ditanam semula, ketika itu mereka tidak mempunyai hasil dan terpaksa buat pinjaman. Hutang sosial ialah hutang membeli komputer, besarkan rumah, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Razali berkata usaha Felda untuk terus meningkatkan kesejahteraan para peneroka tidak pernah terhenti bagaimanapun isu berbangkit perlu diselesaikan segera.

“Kami akan adakan mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk suku tahun pertama dijangka bulan depan dan saya jangka isu berbangkit mengenai jumlah sebenar hutang peneroka dapat diselesaikan sebelum mesyuarat diadakan,” katanya.

Terdahulu, Razali dalam ucapannya berkata Felda ketika ini menanggung sebanyak 1.2 bilion hutang rumah dan hutang sosial yang dibuat para peneroka dengan Felda.

BERNAMA

Friday, January 6, 2017

Shahrir Samad dilantik pengerusi Felda baharu

Bernama
January 6, 2017

Beliau menggantikan Isa Samad yang tamat tempoh perkhidmatannya tetapi akan terus memegang jawatan sebagai pengerusi FGV.
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melantik Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi baharunya selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan dan memantapkan lagi kepimpinan badan tersebut.

Shahrir menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi tetapi akan terus memegang jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd, kata Felda dalam satu kenyataan, disini, hari ini.

“Di bawah penyusunan ini, adanya pembahagian tanggungjawab iaitu terhadap kebajikan dan sosio-ekonomi peneroka, dan perniagaan Feld,” kata lembaga tersebut.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, pelantikan Shahrir bertepatan kerana mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah menjadi menteri di 3 kementerian.

“Saya yakin beliau dapat meneruskan segala usaha yang sedang dibuat bagi mensejahterakan lagi warga Felda”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Najib, Shahrir pernah menyandang jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bertanggungjawab mengaudit ketelusan badan-badan kerajaan.

Perdana menteri dalam kenyataan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Isa terhadap sumbangannya kepada Felda sejak memegang jawatan itu pada 2011.

Najib berkata di bawah kepimpinan Isa, Felda menjayakan banyak aktiviti kemasyarakatan serta program-program bagi meningkatkan kualiti hidup peneroka dan keluarga.

Friday, September 23, 2016

Felda diiktiraf badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia - Najib

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diiktiraf sebagai badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia yang tidak dapat disaingi oleh badan pembangunan tanah di negara lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun banyak negara luar seperti Afrika cuba mengguna pakai dan mencontohi modul pembangunan Felda yang diasaskan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein sejak 60 tahun lalu, namun tidak mampu dilaksanakan dengan jayanya.

"Apabila ketua kerajaan mereka datang ke sini, kita bawa melawat ke tanah rancangan Felda dan mereka kagum dan berhasrat untuk membawanya pulang ke negara masing-masing. Kita sendiri hantar rombongan Felda untuk membantu.

"Bagaimanapun perkara itu tidak menjadi kerana kerajaan mereka tidak mampu untuk melaksanakannya melainkan kita yang berani dan dapat membangunkan Felda sehingga berjaya dan dikenali di peringkat antarabangsa," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peneroka Felda 2016 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan 'Mensyukuri Nikmat, Kebersamaan dan Kebersatuan'di perkarangan Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di Maran hari ini.

- Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-