Showing posts with label Shahrir Samad. Show all posts
Showing posts with label Shahrir Samad. Show all posts

Friday, November 18, 2022

'Penyandang digugur Umno berdepan kesukaran pertahan kerusi'

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Nov 18, 2022 10:24 AM
Tokoh Umno Shahrir Samad menjangkakan penyandang kerusi Parlimen BN yang digugurkan dan kemudiannya bertanding bebas pada PRU15 akan berdepan kesukaran untuk mempertahankan kerusi mereka.

Ketua Umno Johor Bahru itu berkata Umno juga tidak akan menerima mereka semula selepas ini.

"Saya tidak tahu yang sebenar-benarnya, tapi secara umumnya mereka akan berdepan kesukaran," katanya ketika ditemui selepas program kempen calon BN bagi Parlimen Johor Bahru, Johan Ariffin Ropi, malam tadi.

"Tapi tentunya panglima-panglima parti ini ada wang, yang merupakan soal penting dalam pilihan raya.

"Kita tak akan begitu terdesak (untuk terima mereka kembali). Mereka telah dipecat dan kita akan bergerak dengan apa yang kita ada," katanya lagi.

Langkah BN merombak barisan calonnya di Perlis menyaksikan dua pemimpin senior di negeri itu, iaitu Shahidan Kassim dan Zahidi Zainul Abidin, masing-masing digugurkan daripada bertanding di Arau dan Padang Besar.
Shahidan kemudian bertanding di Arau menggunakan tiket PN manakala Zahidi bertanding di Padang Besar, dan juga DUN Titi Tinggi, sebagai calon bebas.

Di Pahang, penyandang kerusi Parlimen Maran selama empat penggal, Ismail Abd Muttalib turut digugurkan dan kemudian bertanding di situ di bawah PN.

Bagi Shahrir, keadaan hari ini berbeza dengan semasa di mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru sebagai calon bebas dalam PRK 1988, yang tercetus selepas tindakannya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen di situ.

Ketika itu, Shahrir dipecat dari Umno tidak lama sebelum berlakunya krisis kehakiman pada tahun itu.

Dia kemudian kembali kepada Umno pada 1989 dan tidak bertanding dalam tiga PRU. Dia hanya kembali sebagai ahli parlimen Johor Bahru selepas PRU 2004 dan kekal sehingga 2013.

Umno angkat pemimpin muda

Terdahulu dalam ucapannya, Shahrir berkata Umno tidak lagi mengikut kezaliman terdahulu iaitu dengan mengangkat pemimpin di Johor, sebaliknya memberi laluan kepada golongan yang lebih muda.

Katanya, ia bermula dengan pemilihan Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar.

"Ini sendiri mencerminkan keperluan segera untuk Umno berubah. Kita tak seharusnya teruskan saja amalan biasa.

"Dan pastinya Adun Umno yang baru kebanyakannya muda dan baru, dan pada akhirnya, kita ada majoriti yang sangat kuat," katanya.

[Baca berita asal]

Thursday, October 27, 2022

PRU-15: Shahrir nak bersih nama di mahkamah dahulu, Zahid pula?

agendaily.com
27/10/2022
Pemimpin veteran UMNO yang juga bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad berhadapan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Veteran UMNO yang juga bekas ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad menunjukkan contoh baik kepada pemimpin partinya yang terpalit dengan kes mahkamah, apabila enggan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Mungkin untuk mengelak menjadi liabiliti kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), Shahrir bagaimanapun menjelaskan beliau mahu membersihkan dahulu namanya di mahkamah, dan sebab itu tidak mahu menjadi calon dalam pilihan raya ini.

“Adalah tidak adil untuk saya membiarkan pengundi Johor Bahru ‘membersihkan’ nama saya,” katanya setelah ramai yang bertanya sama ada beliau akan bertanding dalam PRU-15, 19 November ini.

Shahrir, yang merupakan ahli Parlimen Johor Bahru selama tiga penggal dari 2004 hingga 2018, berkata beliau perlu membersihkan namanya melalui proses mahkamah terlebih dahulu.

“Saya telahpun beberapa kali menyatakan saya tidak akan bertanding tetapi akan tetap mengetuai jentera pilihan raya BN (Barisan Nasional) untuk menangkan calon kita pada PRU-15.

“Sebabnya mudah sahaja. Saya sedang mempertahankan integriti dan nama baik saya dalam mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (27 Oktober 2022).

Menurutnya tuduhan yang dihadapi ialah mengikut Akta Pengubahan Wang Haram iaitu tidak mengistiharkan penerimaan wang sebagai pendapatan saya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Tidak adil bagi saya meminta pengundi JB untuk membersihkan saya. Saya harus membersihkan nama saya dulu melalui proses mahkamah,” tegasnya.

Shahrir sebelum ini didakwa melakukan pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang penyata cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2013, melanggar Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kesalahan itu berkaitan dengan wang RM1 juta yang dikatakan diterima daripada bekas perdana menteri dan presiden parti ketika itu Datuk Seri Najib Razak pada 2013.

Kesalahan itu di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penjelasan Shahrir itu, memberi tamparan kepada beberapa pemimpin UMNO dan BN yang kini berdepan kes mahkamah atas pelbagai tuduhan jenayah, termasuk rasuah, tetapi masih mahu bertanding dalam pilihan raya.

Seperti kata Shahrir “Adalah tidak adil untuk saya membiarkan pengundi Johor Bahru ‘membersihkan’ nama saya”, pemimpin lain itu pula mengharapkan pengundi akan membersihkan nama mereka, berbanding undang-undang dan mahkamah.

Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO dan BN sedang berdepan pertuduhan di mahkamah, termasuk presiden parti itu sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid, masih menghadapi 87 pertuduhan, termasuk rasuah di dua mahkamah yang melibatkan jutaan ringgit yang didakwa dilakukan ketika dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sebelum 2018 lalu.

Zahid dijangka kekal untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU-15 ini, manakala keputusan kesnya berkaitan Yayasan Akalbudi dijangka dibuat pada awal Disember.

Monday, September 5, 2022

Shahrir tak tahu sumber RM1 juta diterima daripada Najib, kata saksi

freemalaysiatoday.com
Bernama
-September 5, 2022 8:25 PM
Bekas pengerusi Felda, Shahrir Samad, berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Shahrir Samad, tidak mengetahui daripada mana bekas perdana menteri Najib Razak memperoleh wang RM1 juta, yang diberikan kepada bekas pengerusi Felda itu.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi mengesahkan perkara itu berkata, beliau berpengalaman dalam bidang perbankan selama 12 tahun, juga tidak mengetahui sumber wang tersebut.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam yang mewakili Shahrir, Dzulkifli Ahmad, pada perbicaraan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berhadapan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dzulkifli: Sebagai pegawai bank berpengalaman, jika cek bank tersebut (RM1 juta) ditunaikan bermakna tiada apa-apa isu berkenaan sumber wang tersebut.

Uma Devi: Ya, pada ketika itu tiada (isu).

Dzulkifli: Cik Uma boleh mengesahkan cek ini tiada masalah, apatah lagi Tan Sri Shahrir juga boleh beranggapan bahawa cek tersebut tiada masalah ketika menerima dan memasukkan (wang) ke dalam akaunnya.

Uma Devi: Ya.

Selain itu, Uma Devi bersetuju dengan Dzulkifli bahawa pihak LHDN tidak merakam percakapannya, memandangkan kes itu berkaitan dengan pengubahan wang haram yang mana Shahrir didakwa tidak melaporkan pendapatan sebenar kepada LHDN, bukan melibatkan rasuah.

Kata saksi itu, hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merakam percakapannya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek, yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

Thursday, August 11, 2022

Pengurus bank sahkan Shahrir terima cek RM1 juta dari Najib

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Aug 11, 2022 6:00 PM
Seorang pengurus bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad menerima sekeping cek bernilai RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sembilan tahun lepas.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R Uma Devi, 43, yang mengesahkan perkara itu berkata cek tersebut dikeluarkan oleh Najib sendiri atas nama bekas pengerusi Felda berkenaan pada 27 Nov 2013 dan telah ‘clear’ pada keesokan harinya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Berdasarkan salinan penyata bank Datuk Seri Najib, baki wang untuk bulan November 2013 adalah berjumlah RM48,273,239.26 manakala baki yang tinggal pada 30 Nov 2013 adalah RM36,922,068.26.
"Pada 28 Nov 2013, terdapat pengeluaran berjumlah RM1 juta daripada akaun tersebut,” kata saksi pendakwaan ke-12 itu.

Bagaimanapun, Uma Devi berkata akaun bank milik Najib itu, yang dibuka pada 31 Julai 2013, telah ditutup pada 9 Mac 2015 atas sebab yang tidak dinyatakan.

“Baki dalam akaun tersebut bersama dua lagi akaun beliau yang lain ialah sebanyak RM103,361.17 telah dikeluarkan menerusi cek atas nama Ihsan Perdana Sdn Bhd,” katanya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 5 Sept ini.

- Bernama

Tuesday, January 21, 2020

Ahmad, Shahrir mengaku tak bersalah

BERITA

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, mengaku tidak bersalah atas tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau didakwa gagal membuat pengisytiharan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung dana RM2 juta yang diterimanya daripada Najib Razak.

Ahmad yang juga bekas ketua penerangan Umno turut didakwa memberi kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertuduhan berkenaan dibacakan di depan hakim Azman Ahmad.

Sementara itu, di mahkamah berlainan, bekas ahli parlimen Johor Bahru yang juga bekas menteri, Shahrir Samad, turut mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan.

Beliau didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar kepada LHDN.

Mengikut kertas pertuduhan Shahrir didakwa menerima RM1 juta daripada Najib Razak melalui sekeping cek AmIslamic Bank Bhd bertarikh 27 Nov 2013.

Shahrir, 71, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan itu dibacakan kepadanya di depan hakim Azura Alwi.

[Berita lanjut menyusul]

Thursday, October 10, 2019

Ajaib, nama Mas Ermieyati tiada dalam senarai SPRM? – Shahrir


Tan Sri Shahrir Samad mempersoalkan bagaimana Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak ada dalam 81 entiti dan individu yang akan didakwa di bawah AMLA oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikatakan menerima duit 1MDB.

Sedangkan sebelum Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namanya bersama tiga pemimpin UMNO tersenarai sebagai individu yang telah ditawarkan untuk mengkompaun kes di bawah akta berkenaan.

Namun katanya, apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Lateefah Koya mengumumkan Isnin lalu hanya beliau dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan masih ada dalam senarai itu.

“Secara ajaib, Mas Ermieyati telah tidak lagi disebut namanya. Pada Ogos 2015, nama kita bertiga disebut oleh Sarawak Report. Pada 6 Oktober, Lateefah Koya gugurkan nama Mas Ermieyati. Tinggal sahajalah saya dan Ahmad Maslan.

“Umum tahu Mas Ermieyati yang pertama lompat keluar dari UMNO masuk PPBM tapi mengapa pula Lateefah Koya gadaikan integritinya untuk kecualikan seorang yang juga dilaporkan oleh Sarawak Report telah menerima sumbangan politik dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Mas Ermieyati tidak ada integriti politik kerana menjadi ‘katak politik’ kini Ketua Pesuruhjaya SPRM juga turut sama menggadaikan integritinya dengan bertindak secara selektif terhadap beliau yang tetap berpendirian politik bersama UMNO.

Kata Shahrir, inilah harga maruah tetapi terdedah kepada pendakwaan yang selektif oleh mereka yang tidak ada integriti.

Mengulas lanjut, katanya, beliau tidak mempunyai sumber kewangan lain untuk membiayai partinya peringkat negeri dan bahagian kerana tidak terlibat dalam sebarang perniagaan.

“Oleh itu, kepada siapa lagi yang saya boleh minta bantuan kewangan selain dari presiden parti saya (Najib) dan inilah penjelasan saya secara konsisten.

Sunday, November 25, 2018

ICERD: Tun M hari ini cakap lain, esok cakap lain

By Muhammad Azizul Osman
- 24 November 2018

Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad tidak percaya kerajaan tidak akan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ujar beliau, kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini tidak akan meratifikasikan ICERD tidak boleh diterima bulat-bulat sebelum ia dimuktamadkan.

“Takkanlah kita nak pakai, Tun Mahathir pun dia punya cakap saya tak pernah pakai. Pasal hari ini dia cakap lain, esok dia cakap lain.

“Betul dia Perdana Menteri tetapi saya tak terima dia sebagai pemimpin negara dia mempunyai pemikiran dan sayang kepada orang Melayu dan Islam,” katanya dalam Forum Isu Politik Semasa bertajuk Pelaksanaan ICERD: Adakah Orang Melayu Dan Islam Tergugat? di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur hari ini.

Forum berkenaan diadakan sempena program lawatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke UMNO Wilayah Persekutuan, hari ini.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, rakyat tidak perlu teragak-agak untuk turun padang pada Himpunan Aman Ummah di Dataran Merdeka, 8 Disember depan.

Katanya, biarpun kerajaan PH telah menarik balik ratifikasi ICERD namun rakyat perlu membuktikan bahawa golongan majoriti di negara ini akan terus menolak apa sahaja yang akan menggugat kedudukan istimewa kaum Melayu.

“Kita akan teruskan bukan kerana kita tak bantah, kita masih bantah ICERD, tujuan dan hasratnya yang terselindung, yang tersirat pun ada.

“Kita keluar 8 Disember untuk raikan Perlembagaan negara,” katanya lagi.

 -MalaysiaGazette

Sunday, February 11, 2018

Masuk kampung ada adabnya, kata Shahrir


Ketua Umno bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad hanya mempunyai satu kata nasihat kepada mereka yang merancang untuk melawat ke kawasannya.

"Kalau masuk kampung, ada adabnya," kata Shahrir kepada Malaysiakini.

Anggota Parlimen Johor Bahru itu diminta mengulas ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru malam tadi yang terpaksa dibatalkan selepas menerima gangguan penduduk setempat.

ADUN Stulang Andew Chen Kah Eng mendakwa gangguan itu berpunca daripada anggota Umno dan BN.
Namun, Shahrir belum mengesahkan sama ada ia disebabkan oleh ahli-ahli Umno atau sebaliknya.

Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, yang turut hadir pada majlis malam tadi, menggesa Shahrir menyatakan pendiriannya berhubung gangguan terhadap program berkenaan.

"Inilah sebabnya mengapa reaksi pertama saya malam tadi adalah meminta anggota parlimen yang lama di kawasan itu, Shahrir Samad, yang telah menjadi anggota parlimen Johor Bahru selama enam penggal sejak tahun 1978, memberikan penjelasan kerana saya tidak dapat membayangkan bahawa Shahrir boleh menjadi dalang atau mempamerkan wajah yang tidak demokratik.

"Saya selalu mengenali Shahrir sebagai salah seorang pemimpin Umno yang komited terhadap prinsip dan amalan demokrasi berparlimen," kata Lim.
Dalam kejadian malam tadi, beberapa penduduk menjerit marah ketika Chen bercakap dalam sidang akhbar yang disiarkan menerusi Facebook di sebuah warung di Kampung Bakar Batu.

Setiausaha HARAPAN Johor, Datuk Osman Sapian mendakwa beliau menghadapi gangguan yang sama oleh pemuda yang memakai tshirt biru sebelum ini, yang didakwanya sebagai anggota Umno dan BN.

Dalam satu kenyataan selepas itu, Chen berkata pemilik warung turut diugut dan diberikan tekanan politik oleh parti itu kerana membenarkan penganjuran program di premis mereka.

Kenyataan bersama daripada pengerusi HARAPAN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi BERSATU Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong turut menuntut Shahrir memohon maaf.

Kenyataan itu menyebut daripada lambang dan tulisan tertera pada tshirt mereka, pemuda-pemuda tersebut dipercayai dari Umno dan BN.

Pemimpin HARAPAN mendakwa tindakan 'ala samseng' itu tidak akan dilakukan tanpa restu daripada parti pemerintah itu.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/411887#kvIPhYRLKCuEDvjS.99

Friday, December 29, 2017

Khalid simpati nasib abangnya Shahrir


Anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad melahirkan rasa simpati beliau dengan nasib abangnya, Tan Sri Shahrir Samad yang kini terpalit skandal kehilangan hak milik tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Kesian abang saya. Sebenarnya, saya ada pesan padanya supaya berhati-hati, jangan sampai imejnya terpalit hanya kerana menangani satu biawak hidup sedangkan dia ikhlas untuk membantu,” katanya dipetik Sinar Harian.

Kata Khalid, abangnya mempunyai “imej yang baik” dan kini beliau digunakan untuk “menutup kerosakan yang berlaku” dalam Felda.

Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Bahru dilantik menjadi pengerusi Felda awal tahun ini, menggantikan Tan Sri Isa Samad.

Shahrir baru-baru ini memberikan jaminan akan memulihkan Felda daripada pelbagai kontroversi, termasuk isu pindah milik tanah dipercayai bernilai RM1 bilion di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Shahrir, 68, merupakan abang kepada Khalid, 60 yang mana kedua-dua mereka mempunyai pegangan politik berlainan, satu dalam BN dan satu bersama Parti Amanah Negara (AMANAH).

Namun, Khalid berkata walaupun berbeza parti, mereka tetap mempunyai hubungan baik.

“Kita memang berbeza fikiran, pandangan dalam hal politik tapi tidaklah sampai nak bermusuh, cara selamat, kalau jumpa tak perlu bincang soal politik.

“Ya, ada masa memang berbeza pendapat, bergaduh tapi tiada yang simpan dalam hati pun atau nak jatuhkan sesama sendiri,” katanya dipetik Sinar Harian.

Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang 'diragui' sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Berikutan itu, Jumaat lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah itu.


Read more at https://www.malaysiakini.com/news/406906#2e9PIfZfBLTyVEYh.99

Sunday, December 24, 2017

Asset Felda tergadai, benteng terakhir Melayu hanya slogan Umno

MALAYSIA DATELINE
December 23, 2017 11:10 am
Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil
Pengerusi Taskforce Felda parti Bersatu, Wan Mohd Shahrir Wan Abd Jalil berkata, Umno sudah mengkhianati amanah peneroka Felda yang selama ini menyokong mereka, mengkhianati orang Melayu, memusnahkan mitos Umno merupakan benteng terakhir Melayu dan ia hanya slogan tanpa makna, tiada roh dan kosong.

Menurut beliau, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan laporan akhbar pro-Umno, Berita Harian tentang Bangunan Felda bertukar nama kepada syarikat Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd.

“Sejurus selepas itu, Presiden Felda, Tan Sri Shahrir Samad membuat sidang akhbar. Sedikit demi sedikit kita dapat gambaran betapa Umno telah memperjudikan nasib institusi Felda hingga ke tahap menjengkelkan.

“Presiden Felda mengakui, ada berlaku penukaran tanah dengan cara yang meragukan. Menurut beliau, syarikat berkenaan hanya memegang Power of Attorney dan beliau sendiri ‘terpegun’ bagaimana hartanah itu bertukar nama.

“Beliau menyatakan ini merupakan satu penipuan (fraud). Namun beliau tidak menghuraikan secara terperinci bagaimana pemilik syarikat KLVC Sdn Bhd boleh mendapat PA atas hartanah Felda berkenaan. Lebih sedih apabila Presiden mengatakan Felda tidak mendapat sesen pun duit transaksi ini.

“Meragukan. Segalanya meragukan,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, masih terlalu awal untuk kita mengetahui siapa yang sebenarnya terlibat. Transaksi pada tahun 2015 ini, disusuli dengan berita Bernama pada 2016, menyatakan seorang ahli perniagaan bernama Abdul Rahman Soltan, telah membantu Perdana Menteri memberi zakat sebanyak seratus ribu ringgit di Pekan.

“Dan beliau juga salah seorang Pengarah dalam syarikat Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd, syarikat yang mendapat bangunan hartanah Felda berkenaan.

“Umno di bawah Najib sudah dilihat banyak menghilangkan kepentingan Melayu. Dan rampokan ini masih berlaku dan juga akan terus berlaku.

“Kita sudah tahu skripnya. SPRM kata ini kes penipuan dan bukan rasuah. Justeru, bidang kuasa siasatan jatuh atas batu jemala PDRM,” tambah beliau.

Thursday, December 21, 2017

Felda lapor polis pada pemaju tanah

Alyaa Alhajri
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuat laporan polis terhadap kemungkinan penipuan melibatkan pemaju induk untuk projek yang dibina atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad berkata laporan terhadap syarikat itu untuk mendapatkan semula pemilikan untuk empat bidang tanah yang keseluruhannya dianggar bernilai RM270 juta.

Katanya, walaupun pemaju induk telah dilantik untuk projek itu, pemilikan tanah itu harus kekal di pihak Felda.

Shahrir juga berkata, Felda membuat laporan polis setelah kronologi penuh kes itu dibangkitkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan peguam negara.

“Syarikat itu telah diberikan surat kuasa wakil dan memindahkan pemilikan tanah kepada mereka.

“Surat kuasa wakil itu diberikan pada 3 Jun 2014, tetapi hanya diterima oleh lembaga pengarah Felda pada 2 September 2014,” kata Shahrir.

Malaysiakini tidak menamakan syarikat itu buat masa ini sementara menunggu maklum balas rasmi pihak itu.

[Baca berita asal]

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/406243#YD9SdbVwE1Ti1xKk.99

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-