Showing posts with label MPN. Show all posts
Showing posts with label MPN. Show all posts

Thursday, September 29, 2022

Apa jasa Zahid pulihkan negara selain desak PRU awal dan jatuhkan kerajaan?

agendaily.com
29/09/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 3 Ogos 2021.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi kecamannya terhadap Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dianggapnya tidak membantu dalam usaha kerajaan memulihkan keadaan negara selepas penularan Covid-19.

Bagaimanapun, rakyat tertanya-tanya juga apa jasa Presiden UMNO itu dalam membantu usaha memulihkan negara selain hanya pandai mendesak pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan dan berkomplot dengan cikgunya menjatuhkan kerajaan?

Atau adakah Zahid sebenarnya dengki melihat peranan dan sumbangan diberikan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menerima elaun atau gaji sepanjang memegang jawatan dalam sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan tersebut?

Zahid dengan sikap angkuhnya semalam berkata jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan semula, mereka akan bertindak memansuhkan MPN serta-merta, begitu yakin beliau kemenangan selesa akan diperoleh selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Kesilapan besar yang dibangkitkan Zahid dengan mendakwa kononnya MPN gagal dalam menasihat kerajaan ke arah pemulihan negara, tetapi perkara yang tidak disentuhnya bagaimana MPN berperanan sebagai sebuah badan penting menjadi garis panduan kepada kerajaan dalam melaksakan usaha-usaha pemulihan negara.

Pendedahan Muhyiddin baru-baru ini hanya 16 daripada 69 perakuan berkaitan isu utama yang diusulkan majlis itu, dilaksanakan kerajaan dilihat sebagai agak mengejutkan kerana memperlihatkan sikap kerajaan sendiri yang tidak mengambil serius terhadap nasihat yang diberikan.

Sebagai contoh isu pembukaan sempadan negara dan juga syor mengisytiharkan fasa peralihan daripada pandemik kepada endemik, ia mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerajaan walhal MPN terlebih dahulu memberi syor tersebut kepada kerajaan.

Bahkan dalam isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi kebenaran pengeluaran khas sekali lagi, itu pun dibuat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Muhyiddin membangkitkan herhubung kesempitan rakyat ekoran kesan daripada penularan Covid-19.

Namun, bagi Zahid semua kerajaan adalah gagal dan yang tidak gagal hanya kerajaan UMNO.

Walaupun ketika ini petunjuk utama ekonomi negara tidak positif dan nilai ringgit jatuh serta inflasi meningkat sejak Perdana Menteri UMNO mengambil alih tampuk pemerintahan, itu pun Zahid masih kata MPN yang gagal.

Kenapa pula Zahid tidak menarik sokongan seperti yang dilakukannya sebelum ini dengan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun sudah jelas menunjukkan kegagalan kerajaan yang dipimpin UNO itu sendiri.

Atau adakah Zahid sudah terlupa nombor telefon cikgunya untuk menelefon dan mendapatkan nasihat seperti sebelum ini?

Selain hanya pandai memberi pandangan mengkritik dan menghentam MPN, rakyat juga tertanya-tanya apakah nasihat yang Zahid berikan kepada kerajaan sepanjang tempoh ini ke arah membantu pemulihan negara selain hanya berani mahu meredah banjir untuk berkempen semasa PRU-15 nanti.

Mungkinkah Zahid hanya pandai bercakap retorik politik dan sangat teruja untuk naik sampan bagi berkempen semasa musim banjir tanpa menghiraukan kesusahan rakyat?

Monday, August 29, 2022

Ketepikan perbezaan demi selamatkan negara, sedia berunding: Muhyiddin

agendaily.com
29/08/2022
Sidang media Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Usaha untuk menyelamatkan negara adalah lebih penting bagi mengelak negara kembali ke era kleptokrasi dan rasuah sebelum ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas berhubung cadangan rundingan dengan parti-parti politik lain.

Walaupun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli enggan berunding dengan Perikatan Nasional (PN), tetapi ia bukan alasan kepada usaha tersebut terhenti begitu sahaja, sebaliknya Pengerusi PN itu menegaskan kepentingan menyelamatkan negara adalah lebih penting.

“Yang saya baca tolak itu Rafizi, tak apalah kita, kita terima pandangan dia, tak apa.

“Apa-apa sebab pun kita (PN) berikan pandangan begitu kerana kita nak menentukan supaya masa depan negara ini lebih selamat. Kita tak mahu terus terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah, salah guna kuasa yang dilakukan oleh kerajaan barisan Barisan Nasional. Itu kebimbangan saya,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) petang ini.

Jelas Muhyiddin, langkah membuka pintu rundingan itu adalah demi rakyat yang bimbang sekiranya negara kembali menjadi seperti sebelum ini apabila rasuah dan salah guna kuasa berleluasa.

“Sebab itu yang saya suarakan itu bukan soal kepentingan politik Perikatan Nasional atau Bersatu. Ianya adalah kepentingan negara.

“Saya serahkan kepada pimpinan-pimpinan politik memikirkan soal itu. Adakah kamu memikirkan tentang parti atau kamu memikirkan tentang negara,” katanya lagi.

Baginya, isu kepentingan negara adalah lebih utama dan parti-parti politik perlu berani untuk duduk satu meja berunding tetapi jika Rafizi berkata tidak mahu diteruskan, ia terpulang kepada partinya untuk memutuskan berhubung isu rundingan.

“Bagi saya negara lebih utama daripada parti, disini menuntut orang kata satu keberanianlah untuk menyelamatkan keadaan.

“Pasal saya tahu di luar sana ramai rakyat mahu kalau boleh ada usaha dibuat untuk menyatukan bukan pihak pembangkang sahaja tetapi parti-parti lain supaya kita dapat menawarkan satu yang agak lebih baik kepada rakyat bila sampai pilihan raya.

Jadi tak apalah itu satu pandangan (Rafizi) dan kalau dia kata no go (tidak boleh). No go untuk dialah,” jelasnya lagi.

Sekiranya UMNO kembali berkuasa dominan, Muhyiddin bimbang negara akan kembali ke asal apabila semua institusi dirosakkan dan isyarat jelas itu sudah diperlihatkan semasa perhimpunan yang diadakan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu apabila peguam negara dan badan kehakiman dikecam pemimpin UMNO.

“Saya lihat macam mana cara nak menyelamatkan supaya tidak ada berulang hal-hal yang kita lihat berlaku dalam negara ini, kerosakan, kebobrokan, kehilangan harta benda, hilang duit rakyat, salah guna kuasa.

“Ditambah pula ada orang tidak lagi menghormati independence of the judiciary (kebebasan badan kehakiman), nak mencabar Perdana Menteri (PM) supaya menukar peguam negara, tidak setuju dengan keputusan hakim,” katanya lagi.

Untuk rekod, UMNO semasa mengadakan taklimat pada Sabtu kepada akar umbinya selepas Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara bertindak menyerang peguam negara dan mempertikaikan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan.

Malah, Penasihat Khas Undang-Undang kepada PM, Datuk Seri Azalina Othman Said juga mempersoalkan mengapa peguam negara tidak ditukar sehingga menerima kecaman banyak pihak.

Namun, sekiranya cadangan untuk berunding itu gagal, Muhyiddin berkata tiada jalan lain dan mungkin semua parti politik bertanding akan perlu berdepan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Saya sebutkan parti saya buat pendirian, kita akan hadap apa pun situasi. Orang kata tiga penjuru, dua penjuru, empat penjuru pilihan raya itu biasalah begitu,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin masih mengharapkan semua parti dapat menimbang cadangan untuk berunding dan duduk satu meja demi menyelamatkan negara tercinta.

“Tapi yang saya melihat ialah situasi sekarang ni, negara begini rupa saya terpaksa menyuarakan pandangan.

“Bukan atas kepentingan politik parti saya, kepentingan soal negara. And I think we all love of country to save this country we must have to sit down together and forget our differences.

“It’s okay tak usah fikir siapa nak jadi perdana menteri selamatkan negara dulu,” ujarnya lagi.

Friday, September 17, 2021

PM pernah bincang lantik saya jadi Pengerusi MPN, kata Dr M

FMT Reporters
-September 17, 2021 11:12 PM

Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, tiada tawaran rasmi daripada mana-mana pihak, termasuk Ismail Sabri Yaakob untuk jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara selepas itu.

PETALING JAYA: Pengerusi PEJUANG, Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau dan Ismail Sabri Yaakob pernah membincangkan jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) diisi olehnya.

Tetapi, beliau dipetik Sinar Harian berkata, tiada tawaran rasmi diterima daripada mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri selepas itu.

Pada 14 Sept lalu, Ismail mempertahankan keputusan melantik Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Ismail berkata, pelantikan Muhyiddin dibuat memandangkan bekas Perdana Menteri itu memegang jawatan berkenaan sejak MPN ditubuhkan ketika pentadbiran Perikatan Nasional.

Sementara itu, Mahathir menyifatkan tindakan Putrajaya melantik ahli politik memegang jawatan bertaraf menteri sebagai pembaziran kerana peruntukan bagi membayar gaji ahli politik itu sepatutnya disalurkan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pembabitan ahli politik dalam badan kerajaan harus dihentikan kerana ia hanya memberi manfaat berat sebelah kepada individu tertentu.

“Mana perkara boleh tangguh, tangguh dan yang perlu didahulukan adalah masalah rakyat. Ini penting kerana mereka takut dijangkiti penyakit. Ada ramai mati dan sudah ramai tak tahan dengan ‘lockdown’.

“Perkara yang tak penting kerajaan ada pula duit. Ada macam-macam duit untuk benda-benda politik, tetapi berkenaan masalah rakyat tidak diberi perhatian,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu di pejabatnya hari ini.

Wednesday, January 2, 2019

SPAD dibubarkan, tapi 260 bekas pekerja belum diserap ke agensi lain

Adam Abu Bakar
-January 2, 2019 8:00 AM

Putrajaya mengumumkan pembubaran SPAD pada 23 Mei lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan tahun lalu mendakwa beliau bersama lebih 250 rakan sekerjanya masih menunggu diserapkan ke agensi kerajaan lain.

Penjawat awam itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wan mendakwa ada di kalangan rakan sekerjanya yang ditempatkan di agensi lain dengan skop kerja jauh berbeza daripada tugas asal mereka di SPAD dan ada pula yang berdepan pemotongan gaji sehingga 60%.

Wan yang bimbang akan hilang punca pendapatan kerana belum mendapat penempatan semula di agensi lain, menyifatkan kerajaan tidak adil kerana tidak memberi maklumat kepada mereka atau diberikan masa secukupnya untuk mencari kerja lain.

“Selepas dimansuhkan, kakitangan SPAD sangat tidak bernasib baik. Masih berbaki 260 kakitangan yang tidak mendapat penempatan.

“Ini bermakna saya bakal kehilangan kerja dan kami tidak akan mendapat gaji lagi. Saya sendiri diletakkan dalam senarai nama yang tidak mempunyai apa-apa tawaran.

“Saya akan mencari kerja setakat mana yang boleh dahulu untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada FMT yang bakal menyambut kelahiran anak ke-2.

Wan bertugas di Bahagian Sumber Manusia SPAD cawangan Perak sejak 2013, sebelum Putrajaya mengumumkan pembubaran suruhanjaya itu pada 23 Mei lalu.

Beliau turut mendakwa ada di kalangan rakan sekerjanya yang ditempatkan di negeri lain yang jauh daripada tempat bertugas mereka sebelum ini.

“Penempatan baru juga tidak masuk akal…mereka ditawarkan bekerja di Pelabuhan Klang, sedangkan sebelum ini bekerja di Terengganu.

“Apabila tengok jumlah perjawatan yang diisi, banyak pula yang tidak kena. Contohnya, kerja yang ditawarkan lari dari bidang tugas (asal) terlalu jauh.

“Ramai kawan saya yang mempunyai keluarga sangat tertekan kerana selain perlu menyara keluarga, mereka juga perlu menanggung liabiliti yang ada.”

Pada 16 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook memberi jaminan kerajaan akan menjaga kebajikan kakitangan SPAD, termasuk memberi pampasan pemberhentian kerja.

Katanya, suruhanjaya itu secara keseluruhannya mempunyai 999 kakitangan merangkumi pekerja tetap dan kontrak, selain pekerja dilantik di bawah anak syarikat SPAD, iaitu SPAD Pro Berhad.

“Kebanyakan mereka akan diserapkan ke bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tapi bukan semua kakitangan itu adalah kakitangan penguatkuasaan.

“Kebanyakannya dalam JPJ kita perlukan bahagian penguatkuasaan, maka sesiapa yang terlibat dalam penguatkuasaan di SPAD, mereka akan diserapkan dalam JPJ tertakluk kepada kelayakan mereka.”

Loke berkata, pembubaran SPAD dapat menjimatkan kos perbelanjaan mengurus sebanyak RM38.5 juta setahun, manakala peralihan SPAD kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berperanan melaksanakan dasar pembangunan sektor pengangkutan awam darat, tidak lagi memerlukan penglibatan anggota sebagai anggota suruhanjaya.

Selain SPAD, Putrajaya turut membubarkan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negara.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-