Showing posts with label Menteri Pendidikan Maslee Malik. Show all posts
Showing posts with label Menteri Pendidikan Maslee Malik. Show all posts

Sunday, October 20, 2019

Komik diedar ke sekolah perlu lalui saluran KDN, kata Maszlee

Mohamad Fadli
-October 20, 2019 12:24 PM

Menteri Pendidikan Maszlee Malik (tengah) pada sidang media di Sekolah Menengah Tanjung Kerang, Pontian hari ini.

PONTIAN: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, sebarang komik politik, buku politik atau apa-apa bahan bersifat “propaganda” yang mahu diedarkan di sekolah perlu mengikut saluran yang betul.

Beliau berkata, salurannya adalah melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebab negara mempunyai undang-undang.

“Jadi kita bertindak atas undang-undang, ‘rule of law’, atau landasan undang-undang.

“Apa-apa hal kena rujuk kepada KDN kerana bahan cetak ada akta dia sendiri,” katanya pada sidang media dalam satu majlis di Sekolah Menengah Tanjung Kerang di sini, hari ini, merujuk kepada pengedaran komik kontroversi bertajuk “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” ke sekolah menengah seluruh negara baru-baru ini.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, berdasarkan laporan awal Bahagian Keselamatan kementerian berkenaan. terdapat “perkara tidak betul” dalam komik berkenaan dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang menerbit dan mengedarnya.

Terdahulu Kementerian Pendidikan turut menafikan membenarkan komik tersebut disedarkan ke sekolah.

Maszlee berkata, kementerian akan bertindak atas nasihat KDN.

Laman Malaysiakini sebelum ini melaporkan 43 pemimpin akar umbi DAP, termasuk beberapa ahli Dewan Undangan Ngeri (Adun) parti itu membantah larangan pengedaran komik itu ke sekolah.

Kenyataan tersebut ditandatangani lima Adun iaitu Phoong Jin Zhe (Adun Luyang), Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata), Chow Yu Hui (Adun Tras), Lee Chin Chen (Adun Bilut) dan Leong Yu Man (Adun Triang).

Komik “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama” diterbitkan hasil kerjasama antara kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia, Hew Kuan Yau dengan artis tempatan Chong Po Ling.

Henti provokasi isu komik, Pemuda PPBM beritahu akar umbi DAP

Faiz Zainudin
-October 19, 2019 9:41 PM

Ulya Aqamah Husamudin turut memaklumkan sayap pemuda PPBM akan membuat laporan polis terhadap penulis komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama”.

PETALING JAYA: Pemuda PPBM tampil mempertahankan larangan pengedaran komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” ke sekolah oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik, mengatakan serangan segelintir pemimpin akar umbi DAP terhadap menteri kerajaan itu sebagai biadap.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata tindakan Maszlee menahan penyebaran komik kontroversi itu tindakan tepat.

“Pertamanya, komik itu tidak mengikuti saluran yang betul oleh Kementerian Pendidikan untuk tujuan penyebaran. Kedua, isi kandungannya bermasalah dan tidak sesuai disebarkan kepada sekolah-sekolah,” katanya kepada FMT.

Ulya berkata komik tersebut juga berbaur propaganda dari China yang mengagungkan negara tersebut, melakar persepsi tidak tepat mengenai masyarakat Melayu-Islam, dan tidak menjaga sensitiviti antara kaum.
Ulya Aqamah Husamudin.
Beliau juga mengingatkan penulis dan penerbit komik itu akan dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Buku itu juga telah menyalahgunakan gambar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai tujuan promosi,” katanya.

Laman Malaysiakini melaporkan seramai 43 pemimpin akar umbi DAP, termasuk beberapa Adun parti itu, membantah larangan pengedaran komik itu ke sekolah.

Kenyataan tersebut ditandatangani lima Adun iaitu Phoong Jin Zhe (Adun Luyang), Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata), Chow Yu Hui (Adun Tras), Lee Chin Chen (Adun Bilut) dan Leong Yu Man (Adun Triang).

Pemuda PPBM hari ini secara rasmi mendesak pemimpin akar umbi DAP menghentikan provokasi.

“Pimpinan DAP menafikan penglibatan rasmi parti dalam isu buku ini, sekarang akar umbi keluarkan kenyataan biadap apabila kementerian menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Pemuda PPBM juga meminta DAP mendisiplinkan ahli-ahlinya yang menyerang menteri Pakatan Harapan.

“Disiplinkan mereka yang dikatakan ahli dan pimpinan akar umbi yang menyerang menteri-menteri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda PPBM akan membuat laporan polis bagi mendesak siasatan terhadap penulis dan penerbit komik itu.

“Tiada tempat untuk kebiadapan dan sikap pentingkan diri yang akan terus menganggu gugat keharmonian Pakatan Harapan dan rakyat Malaysia umumnya,” kata Ulya.

Tuesday, August 13, 2019

Maszlee: MP Klang pembohong

News | Diterbitkan Hari ini 6:41 petang 


Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyangkal dakwaan anggota parlimen Klang Charles Santiago bahawa perdana menteri membuat keputusan sendiri dalam isu-isu penting dalam negara.

Katanya pelbagai perkara dibincang dalam kabinet, termasuk isu Statut Rom, Lynas dan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd) secara terbuka dan muafakat.

“Untuk itu, kenyataan yang mengaitkan YAB perdana menteri membuat keputusan secara unilateral adalah tidak berasas dan satu pembohongan nyata,” kata Maszlee.

Santiago sebelum ini mendakwa Dr Mahathir Mohamad kerap keputusan sepihak dan perkara itu semakin membimbangkan.

Wakil rakyat DAP itu berkata demikian dengan merujuk isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah Cina dan India dan isu desakan supaya penceramah kontroversi Zakir Naik diusir dari Malaysia.

Menjawab bidasan itu, Mahathir semalam secara sinis berkata akan meminta kebenaran Santiago dulu sebelum membuat keputusan kerana “dia setaraf dengan saya (sebagai perdana menteri)”.

Dalam kenyataan petang ini, Maszlee berkata sepanjang menghadiri mesyuarat melibatkan perdana menteri, beliau tegas mencari kata putus dan dalam masa sama amat menghargai suara setiap ahli mesyuarat.

“Ingin saya tegaskan bahawa YAB perdana menteri merupakan pemimpin yang mengutamakan kepentingan serta pandangan semua pihak dan setiap keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan atau Pakatan Harapan (PH) merupakan keputusan bersama,” katanya.

Friday, May 17, 2019

Ramasamy: Apa beza Maszlee dengan ahli politik Umno?


Kenyataan Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang mengaitkan aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi dengan ketidakadilan ke atas golongan Melayu dalam memohon pekerjaan di sektor swasta adalah mengejutkan, kata Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang P Ramasamy.

"Dia berkata selagi sektor swasta, dengan kata lain, majikan Cina terus mengambil pekerja berdasarkan pengetahuan dalam bahasa Mandarin, maka kerajaan akan mengekalkan kuota matrikulasi sekarang.

"Pertama, saya terkejut apabila seorang menteri pendidikan masih terperangkap dengan pemikiran mengikut garis perkauman.

“Apakah perbezaan beliau dengan ahli politik Umno?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemimpin DAP itu berkata jika orang Melayu menghadapi kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan di sektor swasta, Maszlee harus menimbulkan perkara itu dengan kabinet.

Semalam, Maszlee berkata keadilan bukan hanya dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.

Bercakap kepada penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) ketika sesi soal jawab hari ini, beliau memberikan contoh keperluan untuk berbahasa Mandarin sebagai kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan.

Maszlee menjawab soalan seorang siswa mengenai kemungkinan melonggarkan sistem kuota bagi kemasukan ke program matrikulasi praunivesiti.

"Kalau kini kita nak ubahkan (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan bahawa peluang pekerjaan kepada bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin," kata menteri itu.

[Baca berita penuh]

Sunday, November 18, 2018

Laporan: Maszlee silap, susu kotak PS1M tak hilang

Diterbitkan 18 Nov 2018, 12:44 tengah hari


Laporan Mingguan Malaysia hari ini menyangkal kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa Program Susu 1Malaysia (PS1M) penuh skandal dan gagal.

Menurut laporan akhbar itu yang memetik sumber, semua lima syarikat pembekal susu yang dilantik pentadbiran lalu telah menghantar bekalan kepada lebih 7,000 sekolah yang terlibat dalam program itu, bermula Ogos hingga Oktober 2017.

Sumber yang dikatakan terlibat secara langsung dalam program itu mendakwa, proses pembekalan telah mengikut prosedur, termasuk mempunyai dokumen yang lengkap seperti surat setuju terima (SST), surat akuan penerimaan (SAP) dan invois tuntutan pembayaran.

“Kalau macam itu (susu tidak dihantar), penolong kanan serta guru besar juga perlu disiasat dan ditahan memandangkan mereka yang menandatangani SAP selepas bekalan tersebut dihantar ke sekolah,” katanya seperti dipetik.

Pada 8 November lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa PS1M bagi tahun 2018 yang sepatutnya berjalan tahun ini dan telah diluluskan peruntukan, tidak diketahui kedudukannya.

Dalam laporan itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock mendakwa bekalan sepatutnya diedarkan ke sekolah melalui dua fasa, iaitu pada Mac dan Jun, bagi memenuhi keperluan murid dalam tempoh setahun.

"Bagaimanapun sejak awal tahun ini sekolah tidak menerima susu kotak tersebut. Memang ia tidak ada sebelum 9 Mei lagi," katanya ketika dihubungi.

Berhubung perkara itu, sumber yang dipetik akhbar itu berkata PS1M tidak diteruskan untuk tahun ini selepas peralihan kuasa pasca-PRU ke-14.
"PS1M 2018 sudah dibincangkan tetapi tiada kontrak dikeluarkan, maka untuk tahun ini memang tiada susu dibekalkan tetapi tahun lepas semua telah selesai,” katanya.

Terdahulu, Maszlee berkata program itu sudah gagal dan bekalan "hilang selama setahun".

"Apabila kita periksa kita pun tak tahu ke mana perginya, dan bukan itu saja (skandal yang ada)," katanya yang menjamin akan menyiasat penyelewengan yang berlaku dalam kementeriannya ketika pentadbiran terdahulu.

Bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid, yang sebelum ini berkata "tidak tahu" tentang masalah itu, hari ini berkata punca PS1M tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini kerana kegagalan kementerian kewangan mengeluarkan waran untuk tender pemerolehan susu kota.

Menurut Mingguan Malaysia, beliau berkata wang peruntukan program itu tidak hilang tetapi masih di bawah seliaan kementerian kewangan.

PS1M merupakan program di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sepatutnya mengedarkan susu kotak kepada murid miskin di sekolah.

Untuk rekod, perlaksanaan RMT telah menerima peruntukan RM299 juta daripada kerajaan BN seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2018.

Lima syarikat pembekal yang terlibat dalam pengedaran susu kotak pada tahun lalu ialah Konsuma Sdn. Bhd, Sabah International Sdn. Bhd, Dutch Lady Milk Industries Bhd., Hybrid Allied Dairy Company Sdn. Bhd. dan Holstein Milk Company Sdn. Bhd.

Tuesday, November 13, 2018

‘Mahathir minta saya rombak kukurikulum bukan mahu gugur saya’

Diterbitkan 13 Nov 2018, 11:25 pagi 


Menteri Pendidikan Maszlee Malik menafikan berita berhubung rombakan kabinet melibatkan dirinya dan menyifatkan ia sebagai hanya satu khabar angin bagi mengalihkan kes siasatan berprofil tinggi sebelum ini.

Malah, menurut beliau, pada pertemuan baru-baru dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri telah memintanya agar merombak kokurikulum pelajaran pada pertemuan baru-baru ini.

“Beliau minta saya rombak kokurikukum dan bukannya pasal Kabinet.

“Takkan perkara yang memerlukan komitmen empat tahun, hendak rombakan kabinet pula," katanya selepas melakukan tinjauan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), di Putrajaya hari ini.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan Mahathir akan melakukan rombakan kabinet bulan depan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa menteri Bersatu. Portal itu turut mendakwa nama Maszlee dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun antara bakal digugurkan.

Spekulasi mengenai kemungkinan rombakan kabinet bermula apabila Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat selepas menang pada PRK Port Dickson.

Ada yang mengatakan ia bagi membolehkan Anwar membiasakan diri dengan pentadbiran sebelum menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri. Anwar bagaimanapun berkata beliau tidak terburu-buru mengambil alih jawatan itu.

Namun spekulasi berkenaan perkara itu berterusan apatah lagi sejumlah menteri menerima kritikan dalam beberapa isu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-