Showing posts with label Muktamar Tahunan PAS Ke-63. Show all posts
Showing posts with label Muktamar Tahunan PAS Ke-63. Show all posts

Tuesday, May 2, 2017

Mat Sabu: Dulu miskin, sekarang pemimpin PAS naik 'business class'

FMT Reporters
May 2, 2017

Presiden Amanah itu berkata tuduhan PAS kini berkisar mengenai gaya hidup pemimpinnya, bukan lagi mengenai soal aqidah atau dakwaan menolak pembangunan.
PETALING JAYA: PAS yang satu masa dulu dituduh menolak pembangunan material dan sesat akidah, kini berdepan dengan tuduhan baharu yang berkait dengan gaya kehidupan mewah pemimpinnya, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata, perubahan tersebut mula dirasakan beberapa tahun lalu, apabila gaya hidup mewah beberapa wakil rakyat parti itu menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli.

“Kita melihat kelainan setahun dua tahun sebelum 2015. Kita melihat pimpinan yang baru wakil rakyat sepenggal, tetapi hidupnya begitu mewah. Boleh pergi London naik kapal terbang business class, duduk di hotel, kalau di Indonesia, hotel 5 atau 6 bintang,” katanya pada sebuah program ceramah di Kota Bharu malam tadi.

Mohamad, atau Mat Sabu, berkata perkembangan itu sesuatu yang baru untuk PAS yang satu masa dulu terkenal sebagai parti “miskin”.

“Dulu tidak ada tuduhan ini. Sekarang boleh hadiah kepada isteri (Audi) Q7,” kata Mat Sabu, dipercayai merujuk kritikan terhadap pemimpin Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali, yang menghadiahkan kereta mewah kepada isterinya.

“Dulu tuduhan PAS dituduh parti miskin, parti menyeleweng aqidah, tolak pembangunan, ini tuduhan kepada kami dulu,” katanya, dan berkata tuduhan seumpama itu giat dilawan oleh pemimpin PAS terdahulu.

“Masakan pohon bergoyang tiada angin,” tambahnya.

Tuduhan gaya hidup mewah pemimpin PAS timbul lagi ketika Muktamar PAS ke-63 di Kedah yang berakhir semalam, di mana poster menunjukkan gaya hidup mewah beberapa pemimpin utama diedarkan kepada perwakilan.

Antara lain, ia menyasarkan Khairuddin dan Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan, dengan gambar kereta yang didakwa ‎dimiliki mereka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tahu siapa yang melakukan provakasi tersebut.

“Benda itu benda biasa dengan melakukan tindakan provokasi. Pihak-pihak yang terlibat sebenarnya kami kenal. Kami kenal siapa yang buat itu, sama ada poster oren ke mahupun poster mengenai sebaran-sebaran di sisipan di akhbar itu,” katanya.

Monday, May 1, 2017

Meninggalkan Muktamar ke-63 yang melabuhkan tirai.....

Oleh Wartawan BO
Oleh : Dr. Azman Ibrahim
Sekitar jam 5.30 petang, Kompleks PAS Kedah Kota Sarang Semut ditinggalkan dengan seribu makna. Setelah 4 hari berkampung di sini, berakhir sudah Muktamar Tahunan PAS Ke 63. Saya melangkah meninggalkan tapak muktamar sambil pegang kemas apa yang diucapkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden dalam ucapan penangguhan beliau sebentar tadi.

“Tahaluf siyasi kita dengan rakan-rakan tahaluf asasnya didasarkan kepada prinsip agree to disagree. Macam mana kita boleh agree bila orang menentang kerja Islam yang kita bawa??” Tegas Tuan Guru.

Ertinya tidak ada tolak ansur lagi dengan sesiapa pun dalam perkara yang melibatkan aqidah dan dasar perjuangan. Mereka yang bermati-matian menentang usaha memperkasakan syariat Allah bukanlah orang yang berani kerana benar, tapi orang yang takut kerana salah. Adat orang buat salah, tengok tugu seolah nampak hantu.

Muktamar PAS Alor Setar tahun ini begitu meriah sekali. Dari awal hari perasmian pada pagi 29 April 2017 sehingga melabuhkan tirainya pada petang 1 Mei 2017, perkarangan Kompleks PAS Kedah sentiasa penuh dengan pengunjung. Sambutan masyarakat sekitar terutama rakyat negeri Kedah sangat luar biasa. Bagaikan ada sinar harapan yang akan menyinari negeri Kedah dengan cahaya hijau dalam PRU 14 nanti.

Telah ke serata negara kita bermuktamar. Saya yang masih sangat baru dalam parti menilai bahawa orang Kedah adalah yang terbaik dalam bab memuliakan tetamu.

Husnu dhiafah. Orang Kedah tak miskin budi bahasa, sanggup berpenat lelah menjamu tetamu muktamar yang berjumlah puluhan ribu orang, surau dan masjid dibuka untuk musafir tumpang menginap malah mereka tolong bawa alas tidur, selimut dan bantal kepada kita yang menumpang ditambah pula dengan masyarakat sekitar yang ramah dan cakna. Kita tumpang parking kereta depan rumah, dia suruh masuk bawah garaj terus.

Hebatnya Kedah yang tak dapat dipisahkan dari 3P. Padi, Pondok dan PAS!

Awal pagi tadi, usai solat subuh, Ayahanda menelefon bertanya lagu mana keputusan usul putus dengan PKR kelmarin?

Bila saya bagitahu bahawa usul diterima, “Alhamdulillah…” Spontan Ayahanda jawab dengan nada lega dan bersemangat.

Ayahanda saya hanya aktivis parti peringkat kampung. Tapi sejak saya belum lahir lagi, dia sudah jadi ahli PAS. Saya tak pasti secara tepat bila Ayahanda jadi ahli PAS. Tapi yang jelas dan confirm, dia tak pernah menyertai parti lain kecuali PAS!

Dari segi zahirnya, Ayahanda tak dapat apa pun habuan dunia walau begitu lama dalam parti. Sekaki persegi tanah pun Ayahanda tak dapat kerana duduk dalam PAS. Apa yang ada sedikit sebanyak adalah rezeki kurnian Allah dengan asbab usaha dan kerja keras dari zaman remaja lagi. Walau begitu, tak pernah ambe dengar walau sepatah sungutan, dia inginkan sesuatu dari PAS. Orang lama kita hanya kenal memberi, memberi dan memberi. Mereka sayangkan perjuangan ini bukan kerana benda. Tapi kerana sayangkan agama Allah.

Kasihnya Ayahanda kepada PAS, tiada bait-bait ayat yang sesuai untuk saya susun. Setiap kali berlaku apa-apa isu bila PAS dipermainkan samada oleh Umno, DAP dan PKR serta sekutunya, Ayahanda selalu bersungut dengan wajah muram dan nada tak puas hati. Betapa dia terlalu sayangkan jemaah ini. Pagi ini bila dengar khabar usul putus dengan PKR telah diluluskan dalam muktamar, nada suara Ayahanda berubah ceria.

Berakhirnya muktamar, rasa sayu pula nak tinggalkan Kedah. InsyaAllah saya akan datang lagi ke sini walau empat hari di sini tak jumpa air. Kira minum ayaq saja. Sampainya hati orang Kedah…

PAS Selangor akan 'dengar dan patuh'

Oleh Wartawan BO
ALOR SETAR – Seluruh perwakilan Selangor hari ini bangun bagi menyatakan sokongan kepada pimpinan PAS Pusat dan menegaskan mereka akan sami’na waato’na (dengar dan patuh) kepada arahan pimpinan pusat.

Permintaan itu dibuat oleh wakil Selangor, YB Zaidi Abdul Talib ketika bangun membahaskan usul menyokong ucapan dasar Presiden PAS dalam sesi pagi semalam.

Pengakuan oleh wakil Selangor ini jelas memberikan isyarat jelas bahawa PAS Selangor tidak takut dengan ugutan dan ancaman daripada sesiapapun, tetapi ketaatan kepada pucuk pimpinan adalah keutamaan mereka.

Beliau sebelum itu telah menyenaraikan kejayaan-kejayaan PAS Selangor ketika diberi pinjaman kuasa oleh Allah kepada hadirin bagi membuktikan bahawa PAS boleh memerintah dengan baik.

Antara kejayaan yang disebut beliau ialah sebanyak enam buah Maahad Tahfiz Integrasi Sains telah berjaya dibina di Selangor dan sebuah maahad tahfiz mandarin bagi membuka ruang kepada rakyat memilih aliran agama yang moden.

Setelah 2008, Jakim turut mengisytiharkan bahawa masjid-masjid di Selangor adalah yang paling makmur di seluruh Malaysia, Selangor juga mengiktiraf hakim syarie Malaysia dan inilah katanya sebagai kejayaan Islam.

Ahli-ahli PAS menurut beliau, mesti berperanan, menjadi golongan yang bemanafaat kepada seluruh makhluk Allah sebagaimana yang disarankan oleh rasulullah saw, jangan hanya berdiam diri.

“Ahli-ahli PAS yang faham, tak perlu isi borang Umno untuk sokong Umno, tak perlu isi borang Pan untuk sokong Pan, begitu juga DAP,

“Tetapi cukup dengan hanya berpeluk tubuh sahaja, sudah dikira membantu dan menyokong Umno, Pan dan DAP,” tegas beliau

Tambah beliau lagi, jika lebih 800 ribu ahli PAS yang ada, menjalankan tugas masing-masing, PAS akan beroleh manafaat yang banyak.

Beliau yang kemudiannya mencuit perhatian semua dengan menyanyikan sebahagian lagu tamil nyanyian pelakon lagenda filem Tamil, MGR yang menyebabkan Ketua Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP), N. Balasubramaniam ketawa.

Saturday, April 29, 2017

Apakah isu panas berterusan dalam sesi utama Muktamar PAS?

Zulaikha Zulkifli
Muktamar Tahunan PAS ke-63 dipanaskan dengan pelbagai isu ketika sidang muktamar dewan-dewan yang diadakan pada hari Khamis dan Jumaat.

Antara isu 'panas' ketika sidang muktamar dewan-dewan apabila seorang pemimpin ulama PAS negeri melaungkan 'Jahanam PAN' selepas beliau memimpin bacaan ikrar.

Turut menjadi topik hangat ialah apabila terdapat perwakilan-perwakilan yang terus menerus 'menghentam' PKR.

Terdapat juga perwakilanmenggesa agar pimpinan tertinggi parti memberi kata putus sama ada untuk terus bersama atau 'bercerai' dengan PKR.

Hampir kesemua sayap dewan - Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda - menyentuh isu sama ada untuk meneruskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Jadi, tumpuan adalah kepada sesi utama Muktamar Tahunan PAS yang bermula hari ini hingga Isnin, sama ada isu-isu akan terus berlanjutan. Muktamar kali ini berlangsung di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Kedah.

Malam tadi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara tertutup mengingatkan pimpinan dan perwakilan agar tidak bercakap tentang isu sensitif.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, Abdul Hadi memberi peringatan itu supaya perwakilan dan pimpinan tidak bercakap perkara yang boleh merugikan parti terutama menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Jadi perkara itu (telah) diarahkan dan ia tak boleh banyak dipersoalkan," katanya kepada pemberita malam tadi.

Persoalannya berkaitan peringatan presiden PAS itu akan terjawab dalam sesi utama yang bermula hari ini.

Malaysiakini juga sebelum ini ada menyenaraikan tujuh tumpuan pada muktamar kali ini.

Jadi, sama-samalah kita nantikan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-